bab 44

47 4 0
                                    

Rina menghamburkan tawa besar. Dia gelak sakan tidak ingat dunia sambil menampar-nampar lengan Faleq yang sedang berdiri di depannya. Faleq kira, lebih kurang dua minit jugalah isterinya ketawa tanpa henti. Lengan yang ditampar terasa sakit lalu dia terus menahan tapak tangan Rina daripada terus melakukan benda yang sama.

Barulah sekarang Rina kembali normal seperti biasa. Kepalanya mendongak. Cecair jernih yang hampir-hampir mengalir dari ekor mata dikesat. Wajah Faleq pula tidak dapat dilihat dek visor helmet terlalu gelap.

Dengan beraninya, tangan yang bebas daripada cengkama Faleq naik ke udara dan berhenti tepat pada visor. Dia daratkan tangan di permukaan visor dan kemudiannya menolak ia ke atas. Sekarang barulah dia dapat lihat wajah tampan suaminya. Tanpa serba salah, dia tayang segaris senyuman kepada Faleq.

"Awak handsome, tahu tak?"

Soalan itu dengan tak sengaja terkeluar dari hujung bibirnya. Mata membulat, terkejut dengan diri sendiri. Dia fikir dia hanya katakan itu di dalam fikiran tapi mulut pula.

Reaksi Faleq terus bertukar dari serius ke senyum senget. Dia mendekatkan wajahnya dengan wajah Rina.

"Nasib kau ingatkan, kalau tak aku lupa yang aku ni handsome." Ujarnya dan senyum simpul.

"Ahem!"

Automatik dia bangun dan membersihkan kotnya, tudung bawal dibetulkan kemudian terus mencapai tiga kuntum bunga yang ada di sisinya tadi. Kelopak bunga ros itu dibetul-betulkan, bau harum itu pula dihidu. Ekor mata sipi-sipi cuba mengintai riaksi wajah Faleq yang sudah bertukar serius semula.

"Mana orang tu? Berani dia bagi bunga kat bini aku. Dia tak tahu ke yang kau isteri aku? Cincin kau mana?" Soalnya, gelisah.

Rina pula senyum sampai ke telinga. Hampir mahu sambung ketawa tapi digeleng kecil.

"Tadi bukan awak kata 'ouh' ke? Tiba-tiba datang sini kenapa?"

"Jawab ajelah. Aku nak bagi pengajaran kat dia sebab tak tahu malu." Zip jaket kulit sudah dibuka separuh. Dia bersedia nak berlawan dengan orang yang beri bunga kepada isterinya.

"Betul awak nak tahu?" Soal Rina sambil memandang ke arah sekumpulan budak kecil sana.

"Haih...kau ni. Kenapa? Dia tu lagi besar daripada aku ke sampai kau tanya macam tu."

"Taklah. Awaklah lagi besar daripada dia." Jawabnya.

Faleq senyum sinis. "Tahu pun. Sekarang bagitahu aku."

Jari telunjuk naik, menunding ke arah mata sedang memandang ketika ini. Pantas, Faleq mengikuti arah jari isterinya dan menapak dengan yakin sambil mendengus perlahan. Tak sabar-sabar nak layangkan satu tumbukkan istimewa kepada orang itu.

Tapi sebaik sahaja dia tiba di tempat yang Rina maksudkan tadi, langkahnya mati serta-merta. Sekejap dia memandang Rina yang sedang berjalan ke arah itu, sekejap lagi dia menundukkan kepala. Melihat ada beberapa budak kecil sedang bermain origami bersama tanpa sedar kehadiran Faleq.

Dia hairan. Mana orang yang dimaksudkan Rina tadi? Ini hanyalah budak kecil.

Kening terjongket. Kepala disengetkan. "Mana orang tu?"

Faleq bertanya lagi.

"Inilah orangnya." Jawab Rina sambil mengendurkan kedua-dua lututnya. Tapak tangan itu naik mengusap kepala budak kecil lelaki yang memberinya bunga. Tatkala budak itu melihat Rina, dia tampilkan senyuman sambil tangan yang memegang origami kapal dihulurkan kepada Rina.

Faleq mendekati Rina dan bisikan sesuatu.

"Ini budak kecil. Tak akanlah aku nak belasah budak ni?"

Rina ketawa kecil.

"Inilah 'orang' yang saya maksudkan tadi. Seorang budak kecil yang bagi saya tiga kuntum bunga ros sebagai tanda terima kasih sebab saya dah bedah mak dia." Terang Rina dan berdiri dengan tegak semula.

"Dia...ni ke?" Soalnya ragu-ragu.

Rina angguk sekali lalu ukir senyum lebar.







Helmet yang ada di atas kepala ditanggalkan setelah sekian lama dan diletakkan di atas paha lalu merehatkan lengannya di atas kepala helmet. Sebenarnya dia mahu sahaja pakai helmet itu sehingga pulang tapi terbatal pula niat itu tika Rina mengarah dia untuk tetap tanggalkan helmet dari kepala.

Dahi sudah basah dengan peluh dek tiada ruang udara yang keluar dan masuk. Sejak dia mengetahui kebenaran tadi, dia jadi malu dan mengelak daripada terus terpanar dengan mata Rina yang duduk sebangku dengannya.

Rina yang duduk di sebelah sudah tertahan-tahan suara daripada ketawa lagi. Rasanya kalau dia mengetawakan Faleq tentang tadi mungkin Faleq akan memarahinya.

"Awak tak nak pandang saya ke?" Rina bertanya. Dari tadi hanya dia yang melihat sisi wajah Faleq. Agaknya lelaki itu masih menahan malu.

"Nanti kau perli aku."

"Perli? Untuk apa?"

"Pasal tadi."

"Buat apa nak perli? Tapi kan kalau betul-betul ada orang dewasa lelaki bagi saya bunga, awak still akan datang macam tadi ke?"

Sekarang, Faleq toleh ke sebelah, tempat di mana isterinya duduk.

"Mestilah! Kau isteri aku. Kau hanya boleh terima bunga dari aku..."

"Dan budak kecil macam dia tu aje." Sambungnya.

Timbul satu rasa terharu di dalam hatinya mendengar jawapan yang amat memuaskan hati.

"Tapi betul awak akan datang macam ni?" Soal Rina lagi sambil memandang pakaian yang melekap pada tubuh Faleq dari atas hingga bawah. Lelaki itu turut memandang fesyennya dan akhirnya sedari kenapa rupanya dari tadi Rina asyik pandang ke bawah.

Selipar jamban bintik-bintik berwarna jingga yang begitu menarik perhatian dipandang sekilas Faleq. Ah, sebab itu rupanya Rina gelak tadi.

"Dari atas dah nampak bagus tapi selipar pula spoil." Tutur Rina dan menyelitkan tawa kecil pada hujung ayat.

Faleq pun ikut ketawa. Itu sahaja yang sempat dia sambar setelah mendapat khabar yang membuatkan diri ini tercabar. Tidak sempat melihat ke bawah lagi dan terus memecutkan pacuan dua roda itu.

"Suka eh kau." Pintas Faleq. Makin dia diam, makin menjadi-jadi gelaknya.

"Sukalah! Lawak. Entah-entah sepanjang awak datang sini tadi, orang kat sekeliling awak dah pandang lain macam." Katanya. Tawa itu semakin lama semakin perlahan dan menghilang.

Bila difikirkan balik, betullah ada orang pandang dia dengan pandangan yang semacam saja. Seperti dia seorang pesalah yang terlepas dari tirai besi. Padahal dia orang biasa.

Eh, salah.

Seorang suami yang sedang cemburu dengan budak yang berusia 6 tahun.

Itu baru betul.

Lama mereka berdiam sambil menatap kebesaran-Nya yang ada di langit dan di darat. Punggung dingesot ke kiri, rapat dengan Rina dan meletakkan lengannya di belakang batang leher itu. Spontan.

Terus Rina menolehkan mukanya menghadap Faleq di sisi dengan dua alis yang terjongket.

"Aku nak ajak kau pergi satu tempat. Tempat ni spesial. Kita berdua aje." Tutur Faleq, lembut.

"Kita nak pergi mana? Bila?" Soal Rina dengan teruja. Matanya sudah bersinar-sinar menaruh harapan.

"Malam ni, kita gerak. Sebab aku nak kita sampai sana aje dah pagi. So, kau bolehlah packing barang-barang untuk tiga hari ni." Kata Faleq dengan senyum.

Dia tidak sabar-sabar untuk menunggu hari esok, berdua-duaan buat masa yang agak lama dan bakal mencipta sejuta kenangan di sana setelah beberapa bulan mereka berkahwin namun sibuk dengan kerja masing-masing. Tapi lebih kepada Rina yang merupakan seorang doktor. Dengan peluang yang ada esoknya, dia jadi lebih teruja dan bersemangat.

Faleq Nisrina [HIATUS]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang