BAB 2

138 18 2
                                    

BANGUNAN berpuluh tingkat yang berdiri gah di hadapan itu membuatkan kepala Hani terngadah untuk melihat puncaknya. Bangunan pencakar langit. Tinggi betul! Berapa ramailah agaknya pekerja di dalam syarikat itu, ya?

"Cik Hani!"

Kepala Hani terus tertoleh sebaik menerima sapaan itu. Muncul di sebelah seorang lelaki yang lengkap bersut sedang tersenyum lebar ke arahnya. Lelaki itu dah kenapa? Dan, macam mana lelaki itu tahu nama dia?

"You siapa?" soal Hani bersama kerutan di dahi.

"Saya Megat, PA Encik Fawwad." Megat memperkenalkan diri. Sempat dia berbalas senyuman dengan lima orang jejaka bersut hitam yang mengelilingi Hani.

"Macam mana you kenal I? Fawwad beritahu dekat you tentang I, ke?" soal Hani lagi.

"Saya ada dekat meja sebelah semasa korang tengah berbual semalam."

"Oh." Wajah Hani tiba-tiba berbahang. Pasti Megat dengar setiap patah bicara yang dia bertukar dengan Fawwad semalam. Malunya!

"Cik Hani ada apa ya datang ke sini?" soal Megat.

"I nak jumpa bos terpaling bagus you tu." Hani malas mahu menapis apa yang berada di dalam kepala terlebih dahulu. Dihambur saja sesuka hatinya. Tidak kisah jika Megat mahu mengadu dekat Fawwad tentang apa yang terlepas dari bibirnya sekali pun.

Lagi dia suka, sebenarnya. Manalah tahu kalau Fawwad geram dengan perangai dia, lepastu lelaki itu terus membatalkan niat untuk mengahwininya. Betul tak?

"Jom, Cik Hani. Ikut saya." Tenang Megat mendahului perjalanan mereka. Kata-kata Hani yang jelas sedang merendah-rendahkan bosnya itu tak ubah seperti masuk ke telinga kanan, dan keluar ke telinga kiri.

Hani hanya mengangguk sebelum kakinya diangkat untuk membuntuti langkah Megat. Masuk saja mereka di perkarangan lobi, rata-rata pekerja yang melepak di situ sudah tegak berdiri dan membongkokkan badan masing-masing apabila ternampak kelibat dia dan Megat.

Raut wajah Hani berkerut, pelik. Kenapa penghormatan yang diterima Megat seumpama Megat adalah seorang bos? Bukankah Megat cuma personal assistant Fawwad? Ke, pekerja-pekerja itu menunduk kepada dia? Tapi dia bukan sesiapa.

"Cik Hani?"

Panggilan Megat melayangkan fikiran Hani bercempera tanpa tujuan. "Ya?" Wajah terpinga-pinga.

"Cik Hani tak mahu masuk dalam lif, ke? Nak naik ke bilik Encik Fawwad guna tangga, ke?" Megat berkias dengan lagak formalnya.

Hani menggelengkan kepala.

"Silakan masuk, Cik Hani." Megat memberikan ruang kepada Hani agar masuk terlebih dahulu.

Hani mengangguk. Kaki yang sedikit bergetar ketika melangkah masuk cuba diabaikan.

Kening Megat sudah berkerut. Pelik menyaksikan tingkah Hani yang sepertinya sedang ketakutan itu. Hani ada claustrophobia, ke?

"Cik Hani okey?" Dia terus bertanya. Risau juga dia kalau ada apa-apa yang buruk berlaku kepada Hani.

Hani cuma mengangguk. Wajah disetkan agar kelihatan tenang apabila pintu lif itu mula tertutup.

Megat mengerling Hani di sebelah. Bertambah kerutan di keningnya apabila melihat mulut Hani yang terkumat-kamit membebelkan sesuatu. Hani sedang berjampi ke apa?

Saat lif itu mula terangkat, tubuh Hani terus hilang keseimbangan. Lantas dia berpaut pada dinding lif agar tubuhnya tidak terjelepok. Sejujurnya, ini kali pertama dia naik lif setelah 26 tahun dia bernafas di atas muka bumi.

"Cik Hani okey?" Salah seorang pengawal peribadi yang sedari tadi mengunci mulut, akhirnya bersuara. Risau sebaik menangkap wajah Hani yang berubah sedikit pucat.

Cinta BitaraWhere stories live. Discover now