SETELAH menelaah sendiri salinan karya Walili di perpustakaan universiti, Lianna ambil keputusan untuk menjadikan Puteranda Bayan sebagai karya rujukannya. Bagi
mendapatkan lebih banyak maklumat tentang karya tersebut, Lianna terus berkunjung ke Muzium Negara sebaik sahaja hujung minggu tiba.“Puteranda Bayan dipercayai siap ditulis oleh Walili pada pertengahan tahun 1825. Naskah aslinya telah disimpan rapi oleh keturunan beliau sehinggalah akhirnya diangkat
sebagai artifak negara pada tahun 1980. Jika dikira-kira, kisah Puteranda Bayan adalah kisah yang sudah berusia lebih dari 200 tahun. Karya hebat yang terselamat dan berjaya menempuhi peredaran zaman.”Penerangan daripada staf muzium didengar dengan penuh teliti oleh Lianna. Telefon pintarnya sekali sekala diangkat, menangkap gambar naskah asli Puteranda Bayan yang
tersimpan di dalam kotak kaca. Naskah itu terlihat sangat lama dan hampir reput. Kertas yang digunakan bersaiz agak lebar dan tebal jika hendak dibandingkan dengan
kertas yang ada di pasaran sekarang. Lianna tidak rasa kertas itu dihasilkan daripada kulit binatang. Mungkin kertas daripada kulit kayu. Lianna sendiri tidak pasti. Tulisan pada naskah tersebut juga sudah memudar. Agak sukar untuk dibaca apa yang tertulis.“Saya dengar ada halaman daripada karya ni yang berkemungkinan hilang. Betul ke?” soal Lianna. Sewaktu dia membaca salinan Puteranda Bayan di perpustakaan, terdapat beberapa kejanggalan yang dia perasan tentang isi karya tersebut. Alur kisahnya terasa seperti
seolah-olah ada sesuatu yang tidak lengkap dan tidak diceritakan.“Kami tak dapat nak pastikan fakta tu tetapi berdasarkan apa yang diberitahu oleh keturunan Walili sendiri, mereka memang betul-betul jaga naskah ni. Mereka kata ini adalah buku berharga yang Walili wariskan untuk keturunan mereka dan bangsa Melayu,” ujar Puan
Husna, staf perempuan yang dari tadi menemani Lianna.“Pada kurun ke-18, Tanah Melayu ketika itu sedang bergolak dengan masalah pemerintah dan perebutan kuasa. Walili nukilkan karya ini berdasarkan situasi yang berlaku
pada masa tu. Dia cipta watak seorang pemerintah yang memerintah dengan penuh saksama dan berjiwa rakyat. Watak Raja Nata Shah di dalam Puteranda Bayan boleh dikira sebagai imej pemerintah yang rakyat mahukan daripada raja mereka pada ketika itu.”Kepala Lianna terangguk-angguk mendengar penerangan tersebut. Perakam suara dibiarkan terpasang agar dapat merakam penerangan yang diberikan Puan Husna. Lianna
jarang mencatat sebarang nota ketika menemubual seseorang. Dia lebih gemar memberi fokus sepenuhnya kepada individu yang dia temubual. Apabila dia mahu menyiapkan laporan nanti barulah dia mendengar semula rakaman yang sudah tersimpan.Selain daripada naskah asli Puteranda Bayan, terdapat juga beberapa replika manusia berpakaian tradisional ada dipamerkan berhampiran kotak kaca. Pada setiap replika tersebut ada tertampal plat nama karakter daripada Puteranda Bayan. Mata Lianna ralit memerhati replika-replika itu sehinggalah pandangannya terhenti pada salah satu replika karakter lelaki yang memegang busur panah. Nama pada replika tersebut dibaca.
Bayu Adika.
“Puan Husna, saya ada satu soalan nak tanya puan. Pada pendapat puan, Walili cuba gambarkan Bayu Adika sebagai apa sebenarnya? Pengkhianat atau pejuang?” Soalan yang sentiasa menjadi perdebatan hangat di kalangan pembaca Puteranda Bayan diaju Lianna.
“Saya tak pasti tentang Walili. Tapi kalau Cik Lianna tanya pendapat saya, saya akan kata Bayu Adika adalah pengkhianat kerajaan Bayan.”
Lianna berkalih memandang Puan Husna di sisinya.
“Kenapa?” Jawapan Puan Husna dipersoalkan Lianna.
“Erm... disebabkan ulah Bayu Adika banyak nyawa tidak berdosa yang terkorban. Disebabkan ulah Bayu Adika, kerajaan Bayan lenyap tidak tersisa.” Jawapannya diklarifikasikan oleh Puan Husna.
“Cik Lianna pula macam mana? Pada pandangan Cik Lianna, Bayu Adika pejuangkah? Atau pengkhianat?” Kali ini giliran Puan Husna pula menyoal. Lianna kembali memandang
replika Bayu Adika. Wajah yang terukir pada replika itu ditatap.“Pengkhianat. Karakter yang digambarkan sebegitu kejam oleh Walili, tidak mungkin boleh jadi pejuang,” ujar Lianna penuh yakin. Lihat replika yang ada di hadapannya sahaja boleh buat Lianna jadi seram sejuk. Habis naik semua bulu roma Lianna. Replikanya sahaja pun sudah bengis, tidak boleh Lianna bayangkan jika lelaki seperti Bayu Adika benar-benar wujud. Pasti menakutkan.
“Tapikan puan. Masih ada satu benda yang saya tak faham tentang karya Puteranda Bayan ni. Kenapa pengakhiran kerajaan Bayan macam tu? Kenapa Walili biarkan watak
antagonis sekejam Bayu Adika kalahkan raja seadil Nata Shah? Kenapa dia biarkan kejahatan
kalahkan kebaikan?”Baru sahaja Puan Husna mahu menjawab pertanyaan Lianna, radio mudah alih di dalam poket baju staf muzium tersebut tiba-tiba berbunyi. Lianna membiarkan Puan Husna bercakap di radio mudah alih itu sementara dia menunggu jawapan si staf.
“Cik Lianna sekejap ya. Ada orang cari saya. Cik Lianna tengok-tengoklah dulu. Ambil gambar apa yang patut. Sekejap lagi saya datang semula.”
Kepala diangguk Lianna dan Puan Husna segera beredar. Keadaan di Muzium Negara agak meriah dengan kehadiran para pengunjung tetapi agak sepi di bahagian pameran
Puteranda Bayan. Hanya ada beberapa orang pengunjung sahaja yang berlegar di kawasan pameran itu termasuk Lianna sendiri. Lianna kembali mengangkat telefon pintarnya dan kali ini gambar-gambar replika pula ditangkap.Dalam pada dia menangkap gambar replika-replika tersebut, Lianna tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu jatuh berdeting. Bunyinya seperti bunyi besi jatuh ke lantai. Mata Lianna terus sahaja meliar ke bawah, mencari-cari punca bunyi tersebut. Seketika mencari, Lianna ternampak seutas gelang perang terdampar berhampiran dengan kaki replika Bayu Adika.
Tidak berfikir panjang, Lianna terus sahaja membongkok untuk mencapai gelang tersebut. Sebaik sahaja jarinya bersentuhan dengan gelang perak itu, telinga Lianna tiba-tiba berdesing dengan satu bunyi bingit. Mata Lianna terpejam dan kedua-dua telinganya terus ditutup. Setelah bunyi itu reda, matanya dibuka dan tubuhnya ditegakkan semula. Namun
apabila tubuhnya ditegakkan kembali, tubuh Lianna serta merta kejung membeku.Dengan gelang perak yang ada di tangannya, dia memandang sekeliling. Layar matanya kini disapa manusia-manusia berpakaian tradisional melayu lama, kereta kayu yang ditarik lembu serta jalan bertanah merah tanpa tar. Kepalanya digeleng-geleng Lianna dan mata pantas digosok-gosok. Tiada perubahan. Dia kini tidak lagi berada di Muzium Negara. Tetapi di tempat asing yang dia sendiri tidak tahu di mana!
“Apa yang...”