NATALIA kembali semula ke pejabat. Belum sempat duduk, pintu biliknya diketuk dari luar.
"Masuk," jerit Natalia dari dalam, seraya duduk di kerusinya yang empuk.
Sarah masuk ke ruangannya. Fail berwarna hitam diserahkan kepada Natalia.
"Saya dah siapkan scenes untuk Klien 3271."
Natalia selak helaian kertas satu per satu. Mereka menggunakan nombor sebagai rujukan, tanpa menggunakan nama sebenar klien. Ia adalah untuk melindungi butir-butir diri klien daripada terdedah. Selain itu, mereka tidak mahu pekerja yang tidak terlibat tahu mengenainya.
"I rasa kita kena hold dulu. Let me check the target first." Natalia beri kata putus.
Dia rasa seperti ada yang tidak kena. Sama ada SIT yang terlepas pandang atau sasarannya itu yang aneh. Tak mungkin seorang manusia hanya berulang-alik dari rumah dan pejabat setiap hari, tanpa membuat aktiviti lain. Tiada aktiviti riadah atau aktiviti lain?
"Tapi..."
"Nanti I bagi SIT," potong Natalia.
Mereka tak dibenarkan mendekati sasaran tanpa kebenaran daripada SIT. RH Agency tidak mahu sasaran menghidu kewujudan mereka.
"Jangan buat apa-apa selagi I tak keluarkan arahan," sambung Natalia lagi.
Helaian kertas dikepilkan menjadi satu dan dimasukkan ke dalam sebuah fail, lalu dibawa turun ke bawah.
Natalia melihat fail dan kunci kereta di tangan. Dia mengeluh perlahan kerana terlupa membawa tas tangan. Disebabkan sudah berada di tapak parkir, dia putuskan untuk meneruskan perjalanan.
Kereta diparkir di bahu jalan. Jam sudah berada di angka lima. Sementara menunggu, Natalia makan biskut untuk mengalas perut sambil melihat lobi. Menunggu seseorang keluar.
Dia mahu pastikan laporan yang diterima daripada SIT adalah tepat. Oleh kerana itu, dia putuskan untuk turun padang.
Biskut dikunyah perlahan, bola mata masih tak berganjak dari lobi sebuah bangunan. Mencari susuk tubuh lelaki bernama Hanz. Selesai menghabiskan dua keping biskut, plastik biskut dimasukkan ke dalam plastik dan diikat.
Belum sempat meneguk air, seseorang yang ditunggu-tunggu keluar dari lobi dan masuk ke dalam sebuah kereta.
Kereta dipandu mengekori kereta yang keluar dari lobi itu. Natalia memandu dengan berhati-hati dan menjaga jarak kereta. Bimbang sasarannya sedar sedang diekori.
Natalia menjeling lampu isyarat yang sudah bertukar warna kuning. Pedal minyak ditekan sambil mengetap bibir. Jika dia terlepas sasarannya hari ini, dia harus turun padang sekali lagi. Jadi, dia tidak mahu bazirkan masa.
Natalia tarik nafas lega apabila sempat melepasi lampu isyarat yang hampir bertukar warna merah. Kini, keretanya berada betul-betul di belakang kereta Hanz. Dia perlahankan kereta yang dipandu dan apabila mahu menukar lorong, kereta belakang bunyikan hon.
"Sabarlah!" marah Natalia seorang diri. Signal dimatikan kerana tak jadi mahu menukar lorong.
Hanz beri arahan dan kereta yang dipandu Carl membelok, masuk ke satu lorong.
Natalia turut memusing stereng. Hon kedengaran daripada beberapa buah kereta kerana tiba-tiba saja dia membelok. Kereta yang diekorinya tadi hilang dalam sekelip mata. Stereng diketuk kasar. Geram kerana sasarannya sudah terlepas.
Mata meliar, memandang sekeliling. Tercari-cari kereta berwarna hitam tadi. Hampir setiap lorong yang ada, dia masuk. Namun, kereta yang diekori tadi masih tak kelihatan.
Natalia masuk ke sebuah lorong yang berada di hujung. Dia mencuba untuk kali terakhir dan jika dia masih tidak menemui kereta itu, dia putuskan untuk pulang.
Hari juga sudah lewat petang. Jalan raya utama mulai sesak. Orang berpusu-pusu pulang ke rumah. Tak sabar menikmati hari cuti pada esok hari.
Bibir Natalia mengukir senyum apabila kereta yang diekori tadi ada di situ. Keretanya diparkir agak jauh.
"Kenapa dia masuk lorong ni?" Lama dia perhatikan kereta yang tidak bergerak itu.
Natalia melihat sekeliling dan mula rasa tak sedap hati kerana keadaan sekeliling sunyi sepi. Tiada satu kenderaan pun yang lalu-lalang, kerana kawasan ini baru nak dibangunkan.
Masa bekerja juga telah lama tamat, jadi pekerja di tapak pembinaan di sekitar situ sudah pulang ke tempat istirahat mereka.
Kereta berwarna hitam dan keadaan sekeliling yang sepi, dipandang bersilih ganti. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena.
"Dia tahu aku ikut kereta dia?" Kereta diundur.
Dia harus keluar dari kawasan ini dengan kadar segera.
Baaammm! Natalia kaget apabila terdengar bunyi kuat di belakang keretanya. Dia melihat melalui cermin, namun tiada apa yang kelihatan. Akhirnya, dia putuskan untuk turun, bimbang terlanggar seseorang.
Klip tali pinggang keselamatan dibuka. Natalia keluar dari kereta dan melangkah perlahan-lahan. Takut mahu melihat kalau ada sekujur badan sudah terbaring.
Dia menarik nafas lega setelah melihat tong yang bergolek-golek ke kiri dan kanan. Tong dialihkan ke tepi kerana sudah menghalang laluan keretanya.
Sewaktu dia pusingkan badan untuk masuk ke dalam kereta semula, Natalia tergamam. Kaki seolah-olah sudah digam. Terkejut melihat seorang lelaki yang sedang bersandar pada pintu keretanya.
Hanzalah Aryan!
YOU ARE READING
[Terbit & Revamp] Rich Husband Agency / Agensi
RomanceTajuk: Agensi (versi revamp) Harga: RM40 Muka surat: 430 Detil buku: A5 (bulky paper) Penerbit: @bookuet.booklub (Instagram) ISBN: Agency Series (2) RICH HUSBAND AGENCY merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan bagi membantu individu menyelesaikan...