Di tengah taman bunga, Melissa melihat seorang wanita yang memakai gaun putih yang berambut perang bersinar di bawah cahaya bulan. Wanita itu berpusing menghadap Melissa. Jelas senyuman terpapar pada wajah itu.
"Mama Melinda!" Melissa berlari mendapatkan ibunya.
"Melissa." Panggil Melinda lembut.
"Ya mama."
"Melissa, ni rantai mama. Mel simpan ya. Jaga untuk mama." Melissa menyambut pemberian ibunya.
"Cantik la mama tapi kenapa rantai ni ada bentuk pedang mama? Siap ada sayap lagi pada pedang ni."
"Maksudnya bebas. Tiada sesiapa pun yang mampu halang mama. Mama nak kamu buat perkara yang sama macam mama buat."
"Buat apa mama?" Melissa memandang tepat ke arah ibunya. Setia menunggu jawapan.
"Mel akan tahu suatu hari nanti. You're my daughter. Melinda's daughter."
"Yes mama. I'm your daughter." Melissa memeluk erat ibunya.
"Dengar cakap mama ya, suatu hari nanti perubahan akan berlaku dalam hidup Mel. Macam sebuah mimpi yang Mel takkan tahu ia nyata atau tidak. Tapi kamu perlu tahu yang tanggungjawab kamu untuk lindungi seseorang yang menentukan masa depan kamu." Melinda mengambil rantai dari tangan Melissa. Dia memakai rantai itu pada leher Melissa.
"Jaga elok-elok ya Mel. Jangan bagi dekat sesiapa pun sampailah Mel rasa yang Mel patut beritahu."
"Kenapa mama?"
"Ini rahsia kita berdua. Janji dengan mama ya jangan bagitahu sesiapa pun walaupun keluarga Mel sendiri. Tapi Mel boleh cakap dekat orang yang panggil Mel- Wind."
"Okey Mel janji. Jom kita main kejar-kejar mama."
"Boleh tapi Mel kejar mama." Melinda mencubit pipi gebu Melissa kuat. Dia segera berlari jauh daripada Melissa.
"Melissa.. datang dekat mama nak." Melinda menjerit kuat supaya Melissa mendengar.
Melissa berlari mengejar ibunya yang berada jauh di hadapannya.
"Tunggu Mel mama.. Mel datang ni!" Melissa melajukan larian apabila tubuh ibunya semakin menjauh dan kabur dari pandangannya.
Melissa tersepak batu. Dia jatuh tersungkur menyembah bumi. Sudah tiada ibunya di hadapannya. Tiada suara. Tiada bayang.
"Mama.. mama!"
Melissa tersedar dari tidurnya. Nafasnya tercungap-cungap. Air mata mengalir laju membasahi pipi tanpa dia perasan. Dia mimpikan ibunya yang telah lama meninggalkannya.
Dia menggosok dahi, berusaha mengingat kembali mimpi yang baru saja dilalui. Setiap kali dia memejamkan mata, ibunya muncul dalam mimpinya. Melinda, yang telah meninggal dunia hampir dua tahun yang lalu. Wajahnya tenang, seolah-olah hidup kembali dalam dunia mimpi yang penuh misteri.
Melissa menggenggam rantai pemberian ibunya yang selalu dipakainya. Rantai itu selalu berada di lehernya, seperti tanda ikatan yang tidak dapat diputuskan. Terasa berat di dadanya, tidak hanya kerana logam itu, tetapi juga kerana perasaan yang dibawanya. Setiap kali mimpi itu datang, dia merasa lebih terasing, seperti ada sesuatu yang menunggunya.
"Mama.. Mel rindukan mama Melinda." Melissa mencium rantai di lehernya. Dipegang erat seperti dia memeluk ibunya.
"Kenapa perlu mama hadir dalam mimpi Mel.. kenapa hadir dan hilang kembali?"
Kata-kata ibunya bergema semula di fikirannya.
'..tanggungjawab kamu untuk lindungi seseorang yang menentukan masa depan kamu.'