Mungkin ada sesuatu yang tak kena dengan aku. Atau mungkin juga tidak. Apa yang tidak kena dengan aku itu mungkin bukanlah masalah aku, tapi itu lebih kepada masalah orang di sekeliling aku. Mereka mungkin tidak dapat menerima apa yang aku lakukan, mungkin juga mereka tidak menyukai mana-mana perlakuan aku. Tapi aku sudah katakan bukan, itu masalah mereka. Jika mereka ada masalah tentang itu, merekalah yang sepatutnya berubah dan bukannya aku kerana aku rasa aku tiada apa-apa masalah yang boleh memberikan mereka semua itu masalah. Jadi mengapa diri aku yang mereka jatuhkan hukuman? Sepatutnya diri merekalah yang lebih layak dihukum kerana suka menghukum orang lain.
Dunia ini menjadi semakin menjengkelkan. Kau harus menjadi kuat untuk terus survive dalam dunia yang bodoh ini. Tiada sesiapa yang akan datang menghulurkan bantuan buat kau. Mereka lebih suka melihat daripada menghulurkan tangan. Biarkan mereka. Satu hari nanti bila mereka perlukan sesuatu daripada orang lain, mereka juga akan mengalami nasib yang sama seperti itu. Tiada sesiapa yang akan datang membantu mereka. Biarkan. Mereka ada kaki. Dan suatu hari nanti mereka akan kembali berdiri dengan kaki mereka itu. Namun apabila mereka kembali bangun semula, mereka pasti akan berkelakuan sama seperti mereka-mereka itu juga. Ah, perlu ke aku bantu mereka sedangkan mereka tidak pernah membantu aku ketika aku berada dalam situasi yang sama dahulu? Aku mampu berdiri sendiri semula tanpa memerlukan satu pun bantuan. Jadi aku harap kau mampu untuk jadi seperti aku, kuat seperti aku, berdiri semula seperti aku. Oleh itu aku harap kau faham mengapa aku menolak untuk datang dan membantu kau berdiri.
Manusia itu.
Patutkah aku pergi mencarinya dan mula berkawan dengannya? Aku suka manusia sebegitu. Mereka kuat biarpun mereka kedengaran angkuh. Keangkuhan mereka itu berkemungkinan besar lahir daripada kejayaan mereka yang tidak ramai manusia yang mampu lakukan. Jadi adakah mereka yang mampu beridiri semula itu istimewa? Seorang insan terpilih? Aku mahu berkata-kata dengan mereka. Mahu mendalami mereka. Dan kemudian aku mengkin akan meninggalkan mereka. Bukan kerana aku sudah dapat apa yang aku perlukan tetapi aku tinggalkan mereka kerana aku bencikan kemegahan mereka. Itu satu sifat yang aku paling bencikan ada pada seorang manusia.
Mungkin aku tidak seharusnya salahkan mereka. Bila difikirkan betul-betul, aku mungkin juga berada di dalam kelompok manusia-manusia angkuh itu. Ianya terlalu obnoxious.
Aku boleh simpulkan bahawa aku ini bukanlah seorang yang baik sangat.
Tapi aku percaya dalam keburukan itu, akan terdapat juga kebaikan. Biarpun kebaikan itu terlalu sedikit dan kecil, tetapi kebaikan adalah kebaikan. Ianya adalah sesuatu yang mengecewakan apabila mereka lebih suka melihat apa yang buruk berbanding apa yang baik. Itu sifat manusia. Kita diberi rasa untuk menghukum. Jadi mengapa tidak digunakan rasa itu untuk menghukum sesuatu yang tidak kena pada mata kita, bukan? Ianya tidak salah. Walaupun ianya juga bukanlah betul sangat pun. Tapi kepuasan yang dirasai selepas itu adalah sesuatu yang kau tak mampu tuturkan dengan kata-kata. Nikmat barangkali.
Atau ia tidak lebih daripada satu perasaan orgasma yang kau rasakan selepas kau berjaya jatuhkan dan malukan manusia lain di hadapan manusia yang lain.
Perasaan itu mungkin berada pada sama tahap dengan satu kemuncak keseronokan seksual yang kau sedang, bakal, mungkin atau tidak pernah akan rasainya.
Aku sendiri tidak pernah mengerti akan rasa itu. Aku mungkin akan merasainya suatu hari nanti tetapi segenap inci tubuh badan aku menafikan semua itu. Mereka tahu mereka tidak akan dapat merasai kenikmatan yang manusia-manusia itu ura-urakan. Mereka seperti tahu akan ada sesuatu yang bakal terjadi yang menyebabkan mereka faham bahawa aku tidak mungkin akan merasa apa-apa lagi hatta tiupan angin di muka aku sekalipun. Atau mungkinkah tiupan angin itu adalah benda yang terakhir yang bakal aku rasakan.
Tapi bukankah satu objek keras adalah benda yang aku bakal rasakan buat kali terakhir?
Tidak juga.
Kata mereka kau akan terurai ketika kau sedang melihat wayang-wayang penyesalan bermain-main di depan mata kau. Wayang-wayang yang menyiarkan tentang apa yang kau telah lakukan selama ini dan juga gambar-gambar bergerak tentang apa yang kau bakal alami pada masa depan kau. Kau mampu melihat betapa hidup kau berbeza dengan apa yang kau fikirkan bakal terjadi. Pada ketika itu kau hulurkan tangan kau untuk menggapai apa yang kau lihat. Jika itulah yang tersimpan untuk masa depan kau, maka kau dengan rela hati mahu mendaki semula ke atas. Kau sudah tidak mahu lagi terawang-awang senegini. Dengan nasib sebegini. Kau mahukan apa yang kau lihat itu. Kau menjadi tamak. Tamakkan satu perkara yang boleh buatkan kau tersenyum dan bahagia. Kau bukan lagi diri kau pada suatu hari nanti.
Bagi kau ia adalah satu dosa. Dosa kerana memberitahu kau apa yang kau bakal lepaskan apabila kau sedar bahawa segala itu telah pun kau lepaskan. Dan kau juga berasa berdosa dengan apa yang kau sedang lakukan. Adakah rasa berdosa ini sebenarnya adalah satu rasa penyelesalan?
Kau tanpa sedar menitiskan air mata kau. Kau sendiri sudah lupa bila kali terahir kau luruhkan air mata kau. Kau bencikan diri kau. Tapi kau bibir kau tersenyum. Kau sendiri berasa ianya sesuatu yang pelik. Mengapa kau tersenyum sedangkan mata kau mengalirkan air mata kesedihan? Adakah kau sedih kerana kau pasti kau tidak mampu menggapai wayang-wayang itu? Adakah kau tersenyum kerana kau sudah terlalu pasrah dan kau sudah serahkan segalanya kepada takdir? Atau mungkinkah tidak seperti apa yang kau fikirkan?
Dan kemudian wayang itu menjadi gelap. Segelap pandangan mata kau.
Sehingglah kau kembali membuka mata kau disebabkan oleh bunyi seakan mesin taip yang datang dari dalam kepala kau.
KETAP TAP! TAP!
KETAP TAP! TAP!
YOU ARE READING
PENYINGKIRAN
General FictionJika seseorang menawarkan kau sesuatu yang langsung tidak masuk akal, aku nasihatkan kau supaya menolak dan larilah dari seseorang itu jauh-jauh. Pasti akan ada seseuatu yang kau perlu bayar untuk mendapatkan tawaran yang sesuatu itu. Tolonglah den...