#LCA 01

650 13 0
                                    

Kalaulah sekeping hati boleh diganti setelah teruk dikhianati, pasti sudah dibeli. Hati pernah mati. Tetapi hati tidak akan menangis lagi. Hati sudah belajar untuk sentiasa mengasihi. Bukan untuk mereka yang tidak menghargai. Tetapi untuk diri sendiri.


Alisia mendaki tapak ke anak tangga di sudut kerja. Langkahnya tegap laksana seorang perwira sungguhpun dia seorang wanita. Hati panas lihat keletah anak-anak didik yang entah dimana letaknya kesedaran sivik mereka. Bila ditanya apakah wawasan, suatu pun tidak dapat dilayahkan. Kasut tumit tinggi merah sudah dihentak-hentak ke lantai sekolah, geram dengan budaya tidak mahu berubah.


Waktu senggang hanya sementara. Alisia menghampiri meja dan menarik kerusi empuknya. Ah, memang enak bermalas tatkala hati sedang melengas. Baju kurung merah jambu sudah berlipat belakangnya. Pasti tadi ikut suka hati marah-marah sampai kekemasan diri lupa mahu diendah. Alisia tersandar dan cuba meneroka di mana hilang gaya lembutnya.


"Alisia, sudah minum pagi?", teman sejawat menyapa ceria. Ah, guru muda itu sentiasa mengukir wajah bahagia – hari bersejarah bakal berlangsung tatkala cuti sekolah yang bakal menjelma.


"Tidak mengapa Liyana. Alisia banyak kerja lagi. Mungkin tengah hari nanti", Alisia melemparkan senyuman mesra. Ah, kalau orang berbudi, kita harusnya berbahasa. Itu amalan yang Emak dan Abah terapkan dalam diri sejak kecil lagi. Ada tugasan yang menanti dia sejak pagi tadi.


Timbunan kertas dicapai. Pelajar Tingkatan Satu memang banyak ragamnya. Borang kaunseling disemak satu persatu. Kelakar melihat betapa bersungguhnya mereka menulis di ruangan cita-cita. Alangkah indahnya kalau impian itu dibajai dengan usaha yang berlipat ganda cantiknya.


Mata terpempan dengan beberapa helaian borang yang terkedang di hadapan. Barisan cita-cita mereka sama seperti mereka. Mereka yang pernah aku cinta. Mereka yang pernah mengukir riwayat yang penuh dengan noktah dalam kanvas coretan hati yang parah. Luka dan berbalut sakit hingga bernanah.


Telefon genggam berbunyi. Berpaling dan mencari di dalam tas tangan coklat yang tersandar di tepi. Lihat nama yang muncul di skrin paparan hadapan. Oh Tuhan, mengapa mesti dia tatkala hati mula berjimba?


Kenangan menerpa seiring jari mula mencoret di atas buku catatan maklumat pelajar. Jari menari, fikiran menerawang, kenangan melangkaui sebuah impian dan mimpi.


Doktor.


Dia bermula dengan langkah yang penuh bergaya dan berjaya. Dalam perjalanan hidupnya, tiada istilah gagal dalam arena akademik. Semua peperiksaan disapu bersih dengan tinta yang bersinar sentiasa. Lahir dalam keluarga yang agak berada, tiada istilah hidung disangkut di langit baginya. Senyuman penawar duka. Air mata pernah tumpah di hadapan seorang gadis yang setia menyimpul rasa dalam diam buat dirinya.


Dia kini mula melangkah dalam mengenal cinta setelah entah berapa kali melalui episod duka. Ya, kelemahannya hanya melibatkan wanita. Gadis hanya mampu lihat dan mengucapkan tahniah. Beri nasihat dan menemani ketika dia perlukan teman berbicara. Untuk melangkaui batas, gadis sudah tidak mampu lagi melangkah.


Jurutera.


Terkenal dengan kegemaran menukar wanita sejak di bangku sekolah, entah mengapa gadis terjebak jatuh cinta dengan dia setelah doktor menceritakan si jurutera berminat dengan telatah si gadis yang ceria. Gadis rela walaupun hatinya telah diberi kepada doktor yang berkaca mata. Demi persahabatan antara doktor dan jurutera, gadis pasrah menghitung kasih sayang dan menyulam rasa bersama jurutera kacukan Melayu dan Belanda.

Legasi Cinta AlisiaWhere stories live. Discover now