"Kau tak tahu betapa takutnya aku masa tu," bait-bait kata lelaki ini perlahan-lahan meresap ke dalam saluran pendengaranku dan dihadam dalam otak. Aku menggigil sekejap. Mungkin kerana sekarang awan sedang menangis, mencurahkan air matanya untuk menyucikan kota dosa ini. Atau mungkin saja aku menggigil bila mendengar cerita lelaki ini. Lelaki yang aku baru kenal setengah jam yang lalu.
Pagi tadi aku terlewat bangun. Jam menunjukkan angka lapan, sedangkan aku perlu berada di pejabat jam 0815. Kelam-kabut aku basuh muka, gosok gigi dan terus bersiap hendak ke pejabat. Semasa aku sedang menghidupkan motorsikal, langit sudah gelap. Sesekali kedengaran bunyi guruh berdentum. Mungkin sempat saja aku sampai ke pejabat sebelum baju jadi lencun dek hujan kalau aku memecut laju motorsikal aku. Tapi malang, baru sahaja aku keluar daripada simpang jalan rumah aku hendak ke jalan besar, hujan turun dengan lebat. Cepat-cepat aku berhenti berteduh di sebuah warung di tepi jalan.
"Teh tarik satu bang!" dah alang-alang lambat ke kerja, baik aku ambil MC saja. Senang.
"Ni teh tariknya bang," aih. Aku panggil dia abang, dia pun panggil aku abang. Siapa yang jadi adiknya? Lantaklah. Teh tarik suam, aku hirup perlahan. Biar panas badan.
"Aduh. Perut lapar pulak. Bang, roti canai banjir satu!"
"Siap!" amboi. Terus siap? Aku lihat pekerja kedai itu baru hendak menebar roti canai. Kening aku berkerut. Mungkin itu tabiatnya setiap kali orang memesan makanan. Ah, lantaklah.
"Boleh duduk kat sini tak?" aku mendongak, melihat seorang lelaki dengan bajunya yang lencun sedang menggigil. Aku melihat sekeliling warung ini. Penuh. Aku cuma mengangguk sekali. Dia menarik kerusi dan duduk selepas memesan makanan pada pekerja warung yang sedang menebar roti canai itu.
"Siap!" kuat suara lelaki itu meningkah hujan.
"Kau pun nak pergi kerja jugak ke bro?" aku bertanya pada lelaki itu.
"Eh, taklah. Aku memang nak sarapan kat sini. Masa on the way tadi, hujan pulak. Tak kerja ke?" lelaki itu mengelap cermin matanya dengan tisu yang diletakkan di atas meja.
"Nak kerja macam mana? Hujan lebat. Aku mintak MC je karang."
Kami membiarkan bunyi hujan dan guruh menjadi pemecah sunyi antara kami.
"Roti canai banjir dengan roti telur untuk korang. Barli suam tunggu jap na?" lelaki semeja aku mengangguk. Barli suam sampai dan kami mula makan. Masih tiada perbualan antara kami. Biarlah alam yang berbicara. Asyik mendengar muzik manusia saja. Bukankah opera alam lebih merdu?
"Bang, mintak derma untuk sekolah anak-anak yatim di Bangi bang," seorang remaja berkopiah sedang berdiri di sisi meja kami. Dia memegang satu fail yang menunjukkan bermacam sijil dan sebelah lagi tangannya memegang satu kotak bersaiz sederhana dengan tertampal gambar budak kecil berbaris, berlatarbelakangkan sebuah sekolah.
Lelaki di hadapan aku mengeluarkan dompetnya. Sekeping not merah dia masukkan ke dalam kotak saiz sederhana itu. Aku cuma mengangkat tangan, tanda tidak berminat untuk menderma, dan budak itu berlalu pergi. Dia sambung makan. Sesekali, aku mengintainya.
"Kau tak takut ke kena tipu? Aku dengar dah banyak dah sindiket buat benda-benda macam ni."
Lelaki itu cuma tersenyum. Dia memperbetulkan letak cermin matanya dan mula bicara.
"Biarlah aku kena tipu. Itu urusan diorang dengan yang atas. Pengalaman mengajar aku untuk terus buat apa yang disuruh. Menyebarkan kebajikan itu perlu dan aku sendiri tak nak benda yang sama berlaku lagi."
Eh, sedih pula bunyi dia macam tu. Apa benda yang berlaku sampai dia tak nak benda tu terjadi lagi? Aku tidak mahu menyibuk dengan hal orang lain, tapi mulut aku terasa ringan untuk bertanya.
YOU ARE READING
LOLIPOP
Short StoryHidup kita sering dihidangkan dengan berbagai pilihan. Apa kau mahu memandu kereta atau berjalan saja? Atau apa mahu makan di kedai hipster atau cukup di kedai mamak saja? Atau apa mahu terus hidup atau meninggalkan dunia? Apa jadi jika suatu hari d...