Keadaan di kafe pada hari itu tidak sesak seperti selalu. Aiman mengambil tempat duduk di meja yang terasing dari orang ramai. Dia sedang menunggu seseorang. Gadis yang dikenalinya melalui laman media sosial. Dia menjeling jam di tangan kirinya. Dia awal sepuluh minit dari waktu yang dijanjikan.
"Encik nak minum apa?" sapa seorang lelaki yang sedang berdiri di sebelahnya. Dia menoleh memandang lelaki itu atas dan bawah. "Sekejap lagi boleh? Saya tunggu kawan saya datang dulu." jawab Aiman. Pelayan itu cuma tersenyum dan berlalu ke arah meja yang terletak di belakangnya.
Hari itu dia berpakaian segak, tidak seperti biasa. Seluar jean ketat berwarna hitam dipadankan dengan baju berwarna putih yang tercetak gambar kugiran Paramore. Dikepalanya terletak cantik topi berwarna coklat yang sering digayakan oleh pemain golf profesional.
Di kakinya tersarung kasut Vans berwarna hitam yang sudah dimilikinya sejak dua tahun lepas. Badannya disembur dengan minyak wangi berjenama Calvin Klein Eternity Summer sebelum dia keluar meninggalkan rumah pagi tadi. Dia meraskan hari itu dia sudah cukup bersedia dari segi gaya dan penampilan. Tiada apa yang kurang.
"Hai Aiman, saya Farah. Lama ke tunggu?" tegur seorang gadis yang mengambil tempat duduk di hadapannya. "Tak adalah lama mana pun, baru sepuluh minit." jawab Aiman sedikit terkejut. "Awak dah pesan minuman?" tanya Farah. Aiman cuma menggelengkan kepalanya.
"Kita makan dulu kemudian baru kita jalan-jalan. Saya laparlah." ujar Farah seraya melambaikan tangannya pada seorang pelayan yang berdiri tidak jauh dari situ. Aiman cuma memerhati. "Awak nak makan apa?" tanya Farah sambil membelek-belek menu yang berada di hadapannya.
"Saya tak kisah, saya ikut awak." jawab Aiman ringkas. Dia bukan berselera sangat pun untuk makan, tambahan pula perutnya masih kenyang. "Tak kisah? Tak apalah, kita makan benda yang sama." jelas Farah. Aiman cuma mengangguk tanda setuju.
Farah memesan nasi goreng kampung dan teh ais dua set, buat dirinya dan juga buat Aiman. Aiman cuma menjadi pemerhati pada segalanya tanpa sedikit bantahan pun. Dia sedikit terkejut dengan gelagat Farah yang selamba walaupun itu kali pertama mereka berdua bersua muka.
"Kenapa awak pandang saya macam itu?" tanya Farah yang melihat Aiman kelihatan bingung. "Tak adalah awak, kita baru jumpa tapi awak selamba gila tegur saya apa semua. Manalah saya tak terkejut." jawab Aiman berterus-terang. Farah cuma tersenyum mendengar penjelasan Aiman.
"Kalau awak nak tahu, saya memang macam ini. Saya bukan jenis gadis yang pendiam. Bukannya saya tak tahu malu cuma saya ramah dengan semua orang. Awak jangan takut, saya tak makan orang." jelas Farah sedikit berseloroh. Aiman berpuas hati mendengar jawapan Farah seraya tersenyum kecil.
********************
"Kau pergi mana semalam? Aku telefon kau tak jawab pun, sibuk sangat ke?" tanya Nizam pada Aiman yang sedang duduk di sebelahnya. Nadanya sedikit geram. "Aku keluar dengan gadis yang aku kenal di laman media sosial." jawab Aiman seraya menghirup air teh tariknya.
"Gilalah kau, comel tak?" tanya Nizam penuh dengan perasaan ingin tahu. "Boleh tahanlah kalau nak dibandingkan dengan aku." jawab Aiman. "Lagipun kau tahulah aku macam mana, manalah reti nak memikat gadis depan-depan." tambahnya lagi.
"Agaklah, kau kalau dengan perempuan bukan main pemalu lagi. Dari zaman sekolah sampailah sekarang." jelas Nizam. Dia cukup kenal dengan perangai Aiman yang sudah dikenalinya sejak mereka berada di tingkatan satu lagi. Aiman cuma tersenyum sambil menghembus asap shisha yang dihisapnya.
"Tahu pun kau, lagipun dia bukan macam aku. Dia jenis yang peramah. Semalam pun dia yang banyak cakap." jelas Aiman sambil tersenyum bangga. Selama ini, dia bukanlah jejaka pilihan di sekolah mahu pun di universiti. Dan apabila dia dapat mengenali seseorang seperti Farah, hatinya sudah cukup puas.
Mungkin Farah merupakan seorang gadis yang tepat untuknya. Ramahnya, lagaknya dan perangainya amat berlainan dengan dirinya. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya lantas menukar nama "Farah" yang disimpan di dalam telefon bimbitnya kepada "Pembunuh Sunyi".