Bab 3

10.3K 206 17
                                    

Habis menonton wayang, Kaisara dan Bakhtiar memutuskan untuk melepak di kedai mamak. Hasnah dan Syakir yang menonton bersama mereka memohon diri untuk balik.

"Lepaklah dulu, Has. Esok cuti kut." Tak sportinglah Hasnah ni.

"Jangan cerdik sangat. Yang cutinya kau orang. Aku esok syif pagi." Macam tak ingat aje yang dia kerja di bahagian pengurusan hotel. Ada syif. Dapat keluar malam ni pun kira bagus sangat dah.

Sampai ke kedai mamak. Dua-dua oder roti canai sardin. Kesukaan mereka memang sama! Semuanya hampir sama walaupun dahulu belajar dalam jurusan yang berbeza, kolej yang berbeza dan mempunyai cita-cita yang berlainan, namun mereka kekal sekepala.

Kedua-duanya diam melayan perasaan. Mungkin terkesan dengan kisah tragis semasa menonton wayang tadi. Pertama kali tengok kisah cinta! Sebelum ni perang, aksi, hantu dan cerita lawak. Tapi kali ini Bakhtiar sendiri yang memilih untuk menonton wayang Love Rosie adaptasi novel berjudul Where Rainbows End karya Cecelia Ahern.

Akal Bakhtiar mula scan kembali jalan cerita yang ditonton sebentar tadi. Tentang Alex dan Rosie yang berbeza tapi ditakdirkan menjadi teman baik dari kecil lagi. Hubungan mereka akrab hari demi hari.

"Kau apa pasal senyap? Bila kau isi borang jadi OKU bisu. Tak ajak aku pun!" sergah Kaisara, pelik. Dari tadi Kaisara perasan, mamat sebelahnya ni memang lain habis malam ni.

"Kalau aku diberi pilihan untuk jadi OKU, aku nak jadi OKU yang pekak! Senang... Tak payah dengar kau membebel!"

"Weh, orang bisu memang biasanya pekak! Tuhan dah cipta elok-elok walau kau tak berapa nak handsome." Sempat lagi Kaisara mengutuk. Entah kenapa malam ini mereka kelihatan canggung. Agaknya penangan cerita cinta tadi. Siapa suruh rajin sangat melayan perasaan!

"Amboi, cantik betul bahasa. Macam dia cantik sangat!"

"I am beautiful in my way. Because, God makes no mistake, okay."

Setiap kecantikan itu ada simbolik yang tersembunyi. Hitam ke, putih ke, kelabu ke, tentu ada keistimewaan di mana-mana. Pengadil untuk kecantikan itu adalah mata! Mata yang bisa melihat. Tapi jangan terpedaya kerana sememangnya mata juga pandai menipu.

"Ya... Tahu dah, wahai cik penulis! Sudahlah berjiwang... Bersawang telinga aku dibuatnya," usik Bakhtiar. Kaisara mencebik!

"Eh, bila novel kau tu nak dijadikan movie atau drama? Teringin juga aku nak tengok," tanya Bakhtiar sambil menyisipkan straw ke bibir. Menyedut perlahan teh O ais limau itu.

Kaisara ketawa. "Jangan buat kelakar. Yang kedua pun kena reject! Lagipun, orang beli pun belum tentu lagi ada hati nak buat filem atau drama." Tangannya bermain dengan straw. Dikacau minuman yang masih belum terusik.

"Kenapa ni? Ada masalah? Jom share?"

Inilah kelebihan Bakhtiar. Sekali Kaisara jeling, lelaki itu sudah tahu apa yang berada dalam benaknya. Macam ada telepati!

Semasa kami ketawa bersama. Semasa kami bertengkar kerana perkara yang tidak ada kena-mengena dalam hidup kami berdua. Semasa berbicara sepanjang malam tentang benda yang kami suka dan sebaliknya. Semasa kami saling menyokong antara satu sama lain apabila rasa lemah tiba. Semasa kami saling mendoakan kejayaan kami berdua. Semasa kami berkongsi rahsia kerana saling percaya dan semua perkara yang kami lakukan bersama. Dan di celah semua itulah kami saling jatuh suka kut?

"Hoi berangan! Aku tanya, kan?" Sergahan daripada Bakhtiar menyebabkan Kaisara terkejut.

"Terkejut aku!" Kaisara mengusap dada! Lemah semangat disergah begitu. Hilang sejarah lama yang menjengah dalam benak.

Alergi Mamat RomantikWhere stories live. Discover now