Bab 1

652 17 5
                                    

NAMANYA Layla. Layla Amir. Tiada apa yang istimewa tentangnya. Bapanya seorang pemandu. Ibunya pula seorang suri rumah.

Layla bercita-cita ingin belajar di luar negara seperti abangnya. Abangnya, Zarif belajar di Ireland dalam jurusan seni bina. Kakaknya, Nura pula di USM dalam bidang Kejuruteraan Petroleum. Kakak dan abangnya memang hebat. Sentiasa jadi sebutan orang kampung.

Sejak ayah mereka, Pak Amir bekerja dengan seorang hartawan yang agak pemurah, kehidupan mereka agak senang berbanding dahulu.

Layla bukan genius seperti kakak dan abangnya. Dalam banyak keadaan, Layla perlu usaha lebih. Dia terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkan A. Tidak seperti abang dan kakaknya yang mempunyai otak geliga.

Bukan senang untuk menjadi anak tengah. Ibunya selalu menegur Layla yang sering masak nasi hangit kerana leka membaca novel. Dalam banyak perkara, cuma ayahnya saja yang memahami hatinya.

Ayah selalu nasihatkan Layla supaya apa-apa pun yang Layla lakukan, Layla mesti ingatkan keluarga. Ingat Allah. Layla melihat lelaki itu sebagai ayah yang hebat. Ayah yang sanggup buat apa saja untuk kelangsungan anak-anak dan isterinya. Ayah yang tidak akan makan selagi anak-anak tidak kenyang. Ayahnya juga seorang suami yang penyayang dan romantik.

Dua tiga minggu lagi keputusan SPM akan keluar. Entah tercapai harapan ibu untuk lihat dia lulus dengan cemerlang dalam SPM. Memang dia sudah berusaha. Tapi, semua kemungkinan boleh berlaku. Sebab dia adalah manusia yang paling tidak konsisten dalam apa sahaja yang dia lakukan.

"Kalau SPM Layla tak bagus, Layla kahwin ajelah. Ibu dan ayah bukan ada duit nak hantar belajar kolej swasta," kata Mak Mah ketika Layla sedang menghidang makanan tengah hari.

Berdesing telinga Layla. Wajarkah ibu suruh dia kahwin? Inikan abad 21. Mana ada orang kahwin selepas SPM? Layla menarik muka. Terasa mahu saja dia menghempas bekas lauk di atas meja. Tapi takut pula kalau ayah kata dia kurang ajar. Nanti tak semena-mena kena penampar free daripada ayah pula. Layla lihat ayahnya diam sahaja tanpa berkata apa-apa walaupun dia memang mengharapkan ayah berkata sesuatu.

"Ibu, Layla tak nak kahwin lagi. Masak nasi pun belum pandai," jawab Layla perlahan sambil menahan marah di dada. Dia telah pun duduk sambil menyenduk nasi ke dalam pinggan.

"Hmm... kena belajarlah. Dah kalau tak nak belajar kat universiti belajar jadi isteri aje," sela Mak Mah lagi.

"Hisy awak ni... tunggulah keputusan dia keluar dulu. Jangan fikir bukan-bukan. Nanti masin mulut awak tu terpaksa pulak kita terima menantu." Pak Amir bersuara.

"Saya risau. Macam manalah keputusan Layla ni nanti. Awak tengok PMR dulu. Buat malu kita aje. Tak macam Zarif dan Nura."

Layla tersentak mendengar kata-kata ibunya. Nasi di mulut rasa tidak tertelan. Air mata seolah mahu menitis, tapi segera ditahan.

"Sebagai ibu... awak kena doakan dia, bukannya cakap macam ni. Saya pasti Layla dah buat yang terbaik. Tapi, kalau tak kesampaian bukan rezeki namanya. Awak sepatutnya lebih tahu daripada saya benda-benda macam ni," nasihat Pak Amir.

"Awak menangkanlah anak kesayangan awak tu. Dia banyak lemak dah sebab awak asyik bela dia. Sebab tu, dia jadi macam tu!" marah Mak Mah. Dia merenung Layla dengan tajam.

Layla hanya diam. Kenapa ibu tidak faham perasaannya? Ibu tak sayang dia ke? Kenapa kasih ibu berbeza untuknya? Anak angkatkah dia? Kalau tidak kerana dia masih hormatkan ibu dan ayah, dia sudah lari ke bilik.

"Dahlah. Tak baik depan rezeki cakap macam tu. Jom makan. Belum masanya kita bincang perkara ni. Keputusan pun belum keluar lagi. Apa yang awak ribut-ributkan pulak. Kita tengok macam mana nanti. Yang penting, kita doakan Layla berjaya," kata Pak Amir.

Mak Mah terdiam, tapi mukanya mencuka kerana rasa tidak puas hati.

Layla merenung nasi di dalam pinggan. Kalaulah dia tidak dapat keputusan yang terbaik dalam SPM nanti, habislah angan-angannya untuk ke universiti. Entah dengan siapalah ibu mahu jodohkan dia. Dia resah. Cepat sahaja dia mengangkat pinggan meskipun nasinya masih bersisa. Selepas itu, dia terus bangun.

"Tengok... nasi pun makan tak habis. Membazir. Itu tanda buat kerja tak sempurna," bebel Mak Mah.

"Layla kenyanglah, ibu." Layla memberi alasan.

"Kalau dah kenyang, kenapa ambik banyak tadi? Hisy! Membazir aje," sela Mak Mah lagi.

Layla tinggalkan saja ibunya dengan perasaan berbuku. Segera Layla basuh tangan dan pinggan di singki.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 29, 2015 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Faris Loves LaylaWhere stories live. Discover now