Bab 3

6.2K 143 2
                                    

SAFFIYA yang ternampak kelibat Ashraff yang baru kembali ke pejabat segera berdiri.

"Tuan." Ashraff pantas menoleh. Keningnya diangkat sedikit.

"Ya, ada apa?"

"Tan Sri mahu tuan ke biliknya sekarang."

Ashraff mendekati Saffiya. "Macam mana Tan Sri tahu I dah balik ke pejabat semula?"

"Maksud saya, Tan Sri nak tuan berjumpa dengannya bila tuan dah balik ke pejabat." Ashraff mengangguk faham.

Pintu biliknya dikuak lalu Ashraff menghilang ke dalam biliknya. Saffiya duduk sambil melepaskan keluhan berat.

"Dah balik tu terus ajelah jumpa dengan Tan Sri. Karang aku juga yang kena marah dengan Tan Sri. Tak sampaikan maklumatlah, tak cekaplah, tak call bos la, itulah, inilah." Saffiya membebel perlahan. Sangat perlahan. Takut kalau bos dengar. Mampus!

Tidak sampai seminit selepas Saffiya membebel, Ashraff keluar dari biliknya. Saffiya spontan berdiri. Takkan dengar kut?

"I jumpa Tan Sri. Kalau ada sesiapa cari I, ambil pesanan." Saffiya mengangguk. Melihat Ashraff yang berlalu dari meja kerjanya, Saffiya terduduk di atas kerusi semula.

Dadanya diusap perlahan. Fuh, gila. Mati-mati Saffiya ingat dia nak kena marah tadi.

TAN SRI AHMAD BIN SALLEH. Pintu bilik berwarna hitam itu diketuk perlahan. Yakin orang di dalam mendengar ketukan itu.

"Masuk!" laung Tan Sri Ahmad.

"Assalamualaikum, pa." Tan Sri Ahmad yang sedang tekun membuat kerja terus panggung kepala memandang anak bujangnya yang sedang melangkah masuk ke dalam biliknya.

"Waalaikumussalam, Ash. Dari mana ni? Lambat masuk ofis hari ni." Tan Sri Ahmad sempat melirikkan matanya ke jam yang tergantung di dinding. Almost 3.10 p.m.

"Ash keluar makan dengan Adi tadi. Tak sedar bersembang lama sangat sampai pukul dua setengah petang. Sambil balik tu Ash singgah solat dekat masjid kejap."

Tan Sri Ahmad angguk lagi. "Berborak apa sampai tak sedar nak masuk kerja?"

Ashraff sengih segan. "Berborak pasal Helly. She's coming back from London tonight."

"For good?" soal Tan Sri Ahmad.

Ashraff mengangguk. Senyuman mekar terukir di bibirnya.

Tan Sri Ahmad sengih melebar. Suka dengan khabar berita yang dibawa oleh Ashraff.

"Baguslah. Boleh papa dan Tan Sri Faruk berbincang pasal perkahwinan Ash dengan Helly. Lagipun kamu berdua dah lama sangat berkawan. Papa tak nak nanti Helly dikebas orang lain."

Ashraff melepaskan keluhan berat. Dah agak dah, kalau bercakap pasal Helinna pasti perkara utama yang timbul dalam perbincangan ialah tentang perkahwinan. Adoi, dia bukannya tak nak kahwin dengan Helinna tapi Helinna masih belum bersedia. Dia pun kalau boleh masih lagi nak membujang.

"Pasal kahwin, Ash kena bincang dulu dengan Helly. Papa tahu kan Helly tu nak sangat jadi model antarabangsa. Sekarang masa untuk Helly cipta nama di Malaysia. Ash tak boleh paksa Helly kalau Helly belum bersedia."

"Macam mana Helly nak bersedia kalau kamu pun masih tak bersedia? Papa tengok Ash bukan main lagi usung perempuan ke hulu ke hilir. Kita ni jangan jaga solat aje Ash, tapi akhlak tak terjaga."

Dah mula dah ceramah percuma Ustaz Ahmad.

"Mana ada Ash buat macam tu. Ash hanya..."

Sekeping surat khabar dicampak ke atas meja. Ashraff telan air liur. Ah, paparazi mana pula yang menyibuk ambil gambar dia berparti di rumah Wirda ni?!

Aku, Dia dan StilettoWhere stories live. Discover now