PROLOG

146 4 0
                                    


Sekujur tubuh kecil kaku terlentang di pinggir pantai sebuah pulau tidak berpenghuni. Wajah anak kecil itu pucat. Terdapat tompokan darah di bahagian dahi, belakang kepala dan tubuhnya. Pernafasannya lemah membayangkan ajal bakal merenggut nyawa yang menyaluti tubuh. Sesekali ombak pantai menampar tubuh kecil itu melekapkan butir-butir pasir kecil di tubuhnya. Cahaya bulan penuh menerangi alam semesta pada malam itu. Awan hitam berkepul menyelimuti langit yang kelam seolah-olah berkabung dengan nasib yang menimpa anak kecil itu.

Ombak besar yang melanda di tengah lautan telah menenggelamkan sama sekali kapal yang dinaikinya beserta kedua ibu bapanya dan ahli keluarga yang lain. Percutian yang dirancang bagi menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-8 telah bertukar menjadi tragedi yang memilukan. Semuanya lenyap di perut lautan. Hanya dia yang terselamat dengan izin ALLAH terdampar di pinggir pantai.

Dadanya berombak semakin lemah. Maut seakan-akan telah mengintai dari tabir langit yang ketujuh. Hanya menunggu detik yang tepat bagi mencabut nyawanya. Tidak semena-mena dari dalam hutan keluar segerombolan serigala. Masing-masing berjalan secara berkumpulan menuju ke arah kanak-kanak tersebut. Di barisan paling hadapan, seekor serigala berbulu lebat berwarna putih seolah-olah menjadi ketua mengepalai serigala-serigala yang lain yang berwarna coklat muda. Saiznya juga sekali ganda besar berbanding serigala lain dan berbulu kehitaman di kawasan dahi menjalar sehinggalah ke telinga.

Sebaik tiba di kawasan kanak-kanak itu terbaring, gerombolan serigala itu berhenti. Serigala putih bertapak selangkah dua mendekati kanak-kanak itu. Matanya merenung tajam. Menghidu-hidu dan kemudian melingas kepala ke kiri dan kanan dengan matanya yang bersinar kekuningan. Kemudian, serigala putih itu menjilat-jilat wajah kanak-kanak tersebut. Manakala, serigala yang lain mula berjalan mengelilingi kanak-kanak dan serigala putih tersebut seolah-olah membuat satu bulatan.

Lolongan demi lolongan bersahutan antara satu sama lain. Serigala putih galak menjilat wajah dan tubuh kanak-kanak tersebut seperti seekor kucing membersihkan anaknya.

Tiba satu saat gerombolan serigala lain yang mengelilingi mereka berhenti berjalan dan melolong. Masing-masing duduk pegun dengan menyatukan keempat-empat kaki dalam bulatan mengelilingi serigala putih dan kanak-kanak tersebut sambil merenung tajam. Serigala putih berhenti menjilat. Dia bertapak di atas kanak-kanak tersebut menggunakan keempat-empat belah kakinya. Mendekatkan wajahnya dengan wajah kanak-kanak tersebut. Seolah-olah satu kuasa disalurkan, darah yang menyeruak di bahagian kepala dan dahi kanak-kanak itu mulai mengering. Beberapa luka di tubuh kanak-kanak tersebut juga pulih dengan sendiri. Daging-daging yang terkoyak tumbuh semula dan bercantum dengan cepat. Pernafasan kanak-kanak itu juga kembali teratur dan normal. Wajah yang pucat kembali kembali kelihatan bermaya.

Sebaik pemulihan selesai, serigala putih mendongakkan kepalanya ke langit melihat bulan penuh yang terang warnanya. Perlahan-lahan dia melolong dengan lolongan yang sayu dan menyeramkan. Lolongannya bergema dan melantun-lantun di sekeliling pulau tersebut. Lolongan itu membuatkan kanak-kanak itu terjaga dan membuka mata seluasnya. Anak matanya bersinar kemerahan!  


You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 09, 2015 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

RAUNGANWhere stories live. Discover now