Iman tersenyum tatkala terpandang wajah yang amat dirinduinya itu. Pantas, dia mengatur langkah menghampiri. Tidak sabar untuk bertemu dan memeluk abahnya. Sudah tiga bulan dia mninggalkan insan kesayangannya itu kerana menyertai PLKN. Rasa rindu sudah tidak terkira lagi.
Tiba-tiba langkahnya terhenti. Akal nakalnya melintas di dalam kepala. Dia tersengih-sengih sendiri. Beg galas yang hampir melorot dikemaskan letak duduk di bahunya. Perlahan-lahan dia meneruskan langkah menghampiri abah yang masih ralit menghayati suasana petang di tepi sawah.
Iman berdiri betul-betul di belakang abahnya. Ternyata abah langsung tidak menyedari kehadirannya. Diperhatikan susuk tubuh abah dari belakang. Tubuh abah semakin susut. Kesayuan dan kerisauan menjentik hatinya secara tiba-tiba.
'Abah sakit ke?' Pertanyaan itu berlegar di hatinya. Iman masih ralit memerhatikan perubahan fizikal lelaki itu.
"Abah... Iman sayang abah. Tanpa abah, Iman tak tahu apa yang akan jadi dengan Iman. Iman terlalu sayangkan abah. Hanya abah yang Iman ada di dunia ni," bisiknya lagi.
"Hah, makan budak!"
Sergahan secara tiba-tiba membuatkan semangat gadis comel itu terbang melayang. Terduduk dia akibat terkejut yang teramat. Telinganya menangkap ketawa seseorang. Pantas dirinya kembali ke alam nyata. Dilihat abah sedang ketawa melihat tindak balas spontannya. Pantas abah menghulurkan tangan. Tawa abah sudah semakin reda.
Iman menarik muka masam, pura-pura merajuk. 'Hisy... macam mana abah pulak yang kenakan aku ni? Sepatutnya aku yang kenakan abah... ni dah terbalik pulak. Tulah... suka sangat mengelamun. Eei... malunya,' ujarnya di dalam hati.
Abah masih menghulurkan tangan untuk membantunya bangun. Iman memandang abahnya tidak puas hati.
"Meh, sini abah tolong," ujar abah.
Iman masih tidak bergerak dari tempatnya jatuh tadi.
"Hisy... merajuk pulak si comel abah ni. Macam mana nak buat ni ya? Nak dukung, rasanya pinggang abah dah tak kuat. Kalau dukung, mau patah riuk ni. Kalau tak dukung, nanti melekat pulak kat tanah tu." Abah cuba memancing reaksi Iman.
Ternyata pancing abah mengena. Melihat abah sudah berkira-kira mahu mendukungnya, pantas Iman mencapai tangan abah lalu bangun berdiri. Tangan abah yang masih di dalam genggaman pantas disalam dan dicium penuh kasih. Seketika, Iman sudah melekap dalam pelukan abah.
"Iman rindu sangat dengan abah." Kedengaran sayu ucapan Iman. Pelukan terhadap abah masih belum mahu dileraikan. Sungguh, dia benar-benar rindukan abah.
"Dah besar pun nak manja-manja dengan abah lagi?" Abah masih terus ingin mengusik Iman. Dan seperti diduga, wajah comel itu kembali mempamerkan riak masamnya. 'Merajuk lagilah tu!' Abah tersenyum ceria kerana usikannya mengena.
"Abah ni... tak suka Iman balik erk?" Abah tidak memberi reaksi. Hanya senyuman masih tersungging di bibirnya. Sebenarnya, abah senang melihat gelagat rajuk puteri kesayangannya itu. Wajah comel yang dimiliki Iman nyata mempamerkan aksi manja tatkala merajuk.
"Abah!" Panggil Iman, sedikit bentak. Geram dengan gelagat abah yang suka mengusiknya.
"Abah tak suka takpelah... Iman nak pergi," ugut Iman dengan suara yang sengaja dilirihkan. Seraya itu dia melepaskan pelukan abah dan berpura-pura untuk melangkah.
"Merajuk lagi intan payung abah ni."
Iman yang sedang berdiri membelakangi abah tersenyum kerana mendapat perhatian. 'Yes... mengena pun,' jeritnya di dalam hati.
"Dahlah tu, jangan nak tarik muncung macam tu lagi. Tak comellah anak abah muncung-muncung macam ni," pujuk abah lagi.
Tersenyum Iman mendengar kata-kata abahnya. Lekukan lesung pipit pada kedua-dua belah pipi menambahkan lagi kecomelannya.
"Hmm... macam tulah anak abah. Sayang anak abah."
KUNTUMAN bunga-bunga tanjung yang gugur di atas kepala Iman mengembalikan gadis itu ke alam nyata. Terlalu jauh dia mengelamun mengenang kembali memori bersama abah. Kini, abah telah tiada. Telah kembali menghadap pencipta-Nya.
Setitis air mata yang mengalir di pipi pantas diseka. Jiwanya terlalu rindukan abah. Sudah hampir setahun abah pergi menghadap Ilahi, tetapi dia merasa bagaikan baru semalam abah bergurau mengusiknya. Tapi, dia tetap berpegang teguh pada ketentuan Allah dan dia meredhakan pemergian abah. Cuma, dia terkilan kerana abah tidak sempat melihat dia mengecap kejayaan dalam hidup.
Iman memejamkan matanya lantas kedua-dua belah tangan nya ditadah. Disedekahkan al-Fatihah kepada arwah abah dan mendoakan kesejahteraan abah di alam barzakh. Tangannya diraup ke muka serentak itu sebuah keluhan dilepaskan.
Dilirikkan mata ke jam tangannya. Rupa-rupanya sudah hampir satu jam dia melayan kerinduan hatinya di taman rekreasi ini. Iman tiba-tiba teringatkan sesuatu. Pantas dahinya ditepuk.
"Alamak, aku dah lambat! Mampus aku kena lecture." Tergesa-gesa dia bangun membetulkan topi agar elok kedudukannya lantas meninggalkan tempat itu.
YOU ARE READING
Cinta 3 Suku (Herna Diana)
Romance‘Sketsa perang' di pertengahan jalan menjadi detik pertemuan pertama antara Minah Sewel dan Mamat Tiga Suku. Sejak itu, pertemuan demi pertemuan tercipta. Anehnya, setiap pertemian dihiasi insiden perlanggaran. IMAN– gadis comel yang nakal dan berpe...