SW-Part 1

16.8K 352 13
                                    

"HAH? Anak Mak Cik Zara?" Sekali lagi aku bertanya. Terkejut pun ada. Beberapa kali aku bertanya, beberapa kali juga ibu mengangguk.

"Kenapa kau terkejut sangat?" tanya ibu.

"Ibu... ibu dah..." Kata-kataku mati di situ. Mahu saja aku cakap 'gila' di akhir ayat. Tapi takkanlah aku sanggup kata perkataan tu kepada ibu yang aku sayangi ini. Tapi betul. Ini kerja gila. Ada ke dia hendak kahwinkan aku dengan anak Mak Cik Zara? Aku rasa macam hendak menjerit saja.

"Kau ni kenapa?"

"Ibu, Dayah tahu, ibu dan ayah dah capai jalan buntu nak teruskan majlis perkahwinan Dayah yang tinggal sebulan lagi, tapi... janganlah terdesak sampai begini." Aku mula bersuara.

Kalau tidak kerana bakal pengantin lelaki lari dari rumah dan gagal dikesan sehingga kini, semua ini takkan berlaku. Lagi takkan berlaku, kalau mereka-mereka pandai-pandai hendak jodohkan kami. Kononnya hendak menguatkan hubungan silaturahim antara kedua-dua keluarga. Kalau ya pun, mintalah pendapat kami berdua dahulu. Orang zaman sekarang ini bukannya boleh terus ikut pilihan keluarga. Bila sudah memberontak, habis menyusahkan semua orang.

Huh! Aku masih angin lagi dengan Ammar, lelaki pengecut yang keluarga aku berkenan untuk jadikan menantu dan suami aku. Dalam waktu kemuncak begini boleh pula dia buat hal. Kemudian, aku pula yang dipersalahkan kerana tak pandai jaga tunang sampai boleh lari dengan kawan karib aku sendiri.

Salimah. Tapi nama glamor dia Sally. Dia kawan karib aku ketika kecil. Sejujurnya, aku sendiri terkejut bila dapat tahu dia lari dengan tunang aku. Selama ini dia langsung tak pernah menunjukkan yang dia minat kepada Ammar. Dia juga sering bagi aku nasihat supaya terus menerima Ammar sebagai tunang. Bila aku dengar namanya menjadi sebutan, sudah tentulah aku tidak percaya.

Tapi bila aku gagal hubungi Sally, barulah aku percaya. Aku juga tersedar yang selama ini aku sudah dipermainkan oleh dua orang yang rapat dengan aku. Aku sendiri tak tahu apa salah aku sampai mereka sanggup buat aku begini.

Ammar, dia memang tunang aku walaupun aku susah hendak terimanya sebagai tunang. Aku bertunang dengannya sebab dia pilihan keluarga. Bila dia dah jadi pilihan keluarga, aku sudah tak boleh nak buat apa-apa lagi. Lagipun bukan sahaja melibatkan ibu dah ayah, tapi termasuk mak cik-mak cik dan nenek yang inginkan aku berkahwin dengan Ammar.

Di situ aku sudah nampak, tak guna lagi aku berkeras lancarkan mogok lapar semata-mata nak suruh mereka hentikan rancangan ini. Aku reda. Jadi, aku cuba memujuk hati menerima Ammar. Lagipun, aku tak ramai kawan lelaki. Apa salahnya kalau aku cuba mencintai Ammar.

Segala kekusutan hati aku luahkan kepada Sally. Bagi aku Sally adalah kawan yang baik. Dia sanggup mendengar segala rintihan hati aku. Semua perasaan aku, tak kira gembira atau sedih, aku kongsikan kepada Sally. Dia juga seperti penasihat aku. Dia selalu bagi aku nasihat untuk menerima Ammar seadanya. Dia juga memberikan idea bagaimana hendak pikat hati Ammar.

Yup. Ammar seorang lelaki yang langsung tak ada perasaan kepada aku. Baginya, (dia pernah berterus terang kepada aku) aku seorang yang membosankan. Seribu kali bosan katanya. Aku tak macam perempuan lain. Langsung tak mencabar sifat kejantanannya. Jadi, sebab itulah Sally suruh aku supaya pikat hati Ammar.

Macam-macam aku buat untuk pikat hatinya. Sampai aku sanggup habiskan duit gaji dan berlapar semata-mata hendak hadiahkan iPhone 5 semasa hari jadi Ammar tahun lepas. Tapi semua ajaran Sally tidak menjadi. Dan sekarang, aku sudah tahu kenapa. Sally dan Ammar. Rupa-rupanya mereka sudah menjalinkan hubungan di belakang aku sejak lima tahun lepas. Lima tahun lepas juga, aku bertunang dengan Ammar.

Lama Ammar jadi tunang aku, bukan? Itu sebab sudah tradisi keluarga kami, dengan alasan memberi ruang kepada bakal pengantin seperti kami ini saling mengenali.

Sebenarnya, keputusan mereka untuk menjodohkan kami bukanlah kejam sangat. Tempoh lima tahun itu digunakan untuk saling mengenali. Kalau salah seorang daripada kami tidak setuju, boleh saja kemukakan rayuan untuk putuskan hubungan ini secara baik. Dengan syarat, kedua-dua pihak mestilah bersetuju. Kalau satu pihak saja bersetuju, rayuan kami takkan berjaya.

Aku sudah banyak kali cakap kepada Ammar, tapi lelaki itu begitu pengecut hendak bertindak. Bila tarikh perkahwinan semakin hampir boleh pula dia lesap begitu saja. Sekarang ni, bila pengantin lelaki sudah hilang, aku pula yang susah. Aku dituduh tak pandai jaga tunang. Aku dituduh lemah dan kurang matang oleh keluarga Ammar. Sungguh tak masuk akal.

Aku lemah? Aku kurang matang? Habis, tindakan anak teruna kesayangan dia yang lari daripada tanggungjawab tu, apa cerita?

Kemudian, dia tuduh aku macam-macam. Kononnya, anak dia lari sebab dia pernah nampak aku keluar dengan lelaki. Waktu itu aku rasa macam hendak jadi raksasa saja. Bila masa pula aku keluar dengan lelaki? Aku bukannya kaki jalan. Kalau aku nak keluar, sama ada bertemankan ayah atau Sally saja. Mana datangnya lelaki asing dalam hidup aku? Mengata aku, padahal, anak dia terang-terang pergi lari dengan perempuan lain.

Jadi, kelam-kabutlah nenek dan mak cik-mak cik aku yang lain carikan calon menantu gantian.

Inilah mentaliti orang lama (mungkin sebahagian). Bagi mereka, kalau lelaki tinggalkan perempuan, maknanya ada sesuatu tidak kena dengan perempuan itu. Semua tuduhan jatuh kepada perempuan. Yang lelaki, sudah terang-terang pergi kahwin lari di Thailand, dipertahan pula.

Argh! Aku rasa hendak jerit sekuat hati. Tambah lagi sekarang ni ibu tetap dengan pendiriannya hendak jodohkan aku dengan anak teruna Mak Cik Zara! Adui, anak Mak Cik Zara tu!

"Apa masalahnya dengan anak Mak Cik Zara?" tanya ibu berbuat tidak tahu.

"Ibu, takkan ibu tak tahu dengan anak Mak Cik Zara tu? Dia tu... hati batu!"

Sudah bermacam-macam cerita aku dengar tentang anak Mak Cik Zara. Dia boleh dikatakan saudara jauh aku dan pernah juga aku berjumpa dengannya beberapa kali. Orangnya, boleh tahan. Ada rupa dan ada kerjaya. Sebenarnya, banyak juga sepupu-sepupu aku pernah hampir dijodohkan dengan anak Mak Cik Zara, tetapi semuanya tak menjadi. Daripada yang aku dengar, anak Mak Cik Zara seorang workaholic. Hidupnya asyik kerja, kerja dan kerja!

Sebab itulah sampai sekarang anak Mak Cik Zara membujang. Dan sekarang, mereka hendak kenankan aku dengan dia pula! Aduhai...

"Alah, tak cuba mana tahu. Pergi sajalah jumpa Syazwan tu. Mana tahu kan hati berkenan ke. Senang sikit nak berumah tangga nanti."

Hati memang berkenan. Mana tidaknya, sudahlah handsome macam Lee Min Ho. Hormat orang tua (ini daripada pemerhatian aku). Tambah lagi seorang yang bekerjaya (aku sangat suka tengok dia pakai baju kot, cair!). Tapi satu saja yang aku tak berkenan. Dia seorang yang pendiam. Orang tanya sepatah, dia jawab sepatah. Kadangkala angguk dan geleng. Siapa tahan?!

"Esok, pukul 10.00 pagi jumpa Syazwan di sini." Ibu memberikan sekeping kertas yang tertulis tempat yang sudah ditetapkan.

Aku menerimanya dengan reda. Apa yang aku perlu buat esok? Mampukah aku bertahan?


SUAMIKU WORKAHOLICWhere stories live. Discover now