Ada pun hendak dijadikan cerita, di dalam sebuah kampung yang dipanggil Bukit Kallam ada sebuah rumah urut. Namun tidaklah rumah berpintu sliding door dan berhawa dingin serta berlampu malap itu, dipenuhi dengan noda. Ianya adalah sebuah rumah urut yang mengikut hukum syarak. Di mana kesemua tukang urutnya adalah dari kalangan orang-orang buta. Malah pemilik rumah urut itu merupakan imam surau kampung tersebut.
Maka oleh itu tiadalah perlu si suami merasakan dunianya gelap bila isterinya terlihat dia keluar dari rumah urut tersebut. Secara tidak langsung, hal itu membuatkan rumah urut tersebut kian popular di kalangan penduduk kampung dan juga orang luar yang sudah bertukar menjadi pelanggan tetap.
Bulan November sudah berada di pertengahan ketika Fadzrul Akmal tiba dari Kuala Lumpur. Sudah dua tahun lamanya dia merantau ke negeri orang. Mencari punca rezeki yang tidak ada di kampung halaman sendiri. Bukan dia memilih kerja, tetapi sudah bidang pelajarannya adalah pereka grafik. Tiadalah boleh dia mencari pekerjaan di kampungnya itu.
"Itu la kau. Bapak suruh ambil pertanian, kau nak jugak belajar subjek orang Amerika tu. Moden konon. Tak sedar diri tu membesar kat kampung." Itu adalah antara komen pedas yang pernah dihamburkan oleh bapaknya sendiri iaitu Pak Saad.
"Kalau kamu ikut cakap bapak kamu dulu, takde kamu nak kena merantau jauh ke negeri orang tu nak. Dah la kita takde keluarga di KL tu. Siang malam emak memikirkan keadaan kamu di sana." Itu pula antara ayat pujuk rayu emaknya yang belum pernah berputus asa memujuk dia kembali semula ke kampung.
Fadzrul Akmal bukan tidak mahu bekerja di kampung. Bukan juga sudah lupa diri dan asal usul. Tapi minatnya terhadap seni reka grafik bukan sedikit. Minat itu hadir dan berteman dengannya sedari dia di bangku sekolah rendah lagi. Sebagai peminat kartun luar dan dalam negara, dia memasang impian untuk menghasilkan kartunnya sendiri.
Kini dia sudah semakin hampir untuk mencapai impiannya itu. Dia kini sudah mula menjejak kaki ke dalam industri animasi. Beberapa nama besar sudah dia temui hasil dari peluang yang diberikan oleh salah seorang dari pensyarahnya di universiti.
"Mak. Belakang Mal sakit la." Mengadu Fadzrul Akmal kepada Mak Tim.
"Kamu masuk angin barangkali." Balas si emak sambil melipat pakaian yang sudah kering.
Waktu maghrib sudah setengah jam berlalu ketika perbualan dua beranak itu bermula. Si bapak pula sudah pun ke masjid. Diajaknya Fadzrul Akmal, tapi seperti biasa anaknya itu menolak dengan alasan yang bermacam.
"Urut? Tak nak la mak. Sakit la." Si emak sudah tahu ayat itu akan keluar dari mulut anaknya. Sedari kecil lagi anak sulungnya itu tidak berani berurut. Takut sakit. Sampailah ke usia yang sudah menjangka angka 27, Fadzrul Akmal masih takut diurut oleh mana-mana pihak.
"Kamu ni dari kecil sampai ke besar penakut nak berurut. Kalau tak nak sudah. Kamu tahan aje la sakit belakang kamu tu," ujar Mak Tim kepada anaknya dengan nada selamba bercampur ugutan sedikit.
Fadzrul Akmal sudahnya memilih untuk menanggung semua kesakitan yang berdenyut di belakangnya. Dia lebih rela begitu dari diurut. Kerana baginya, berurut itu seperti menjalani seksaan tahanan perang. Sakit dan penuh derita.
Malam bergerak seiring dengan masa. Sedikit demi sedikit menukar wajah hari dari gelap menuju cerah. Tapi ketika subuh kian hampir, Fadzrul Akmal terjaga dari lena. Belakangnya terasa begitu tidak selesa dan menyeksakan. Tidurnya terganggu secara langsung oleh sakit itu. Menjadikan matanya tetap celik sehingga matahari kelihatan di dada langit.
YOU ARE READING
LANGIT NAN GELAP
Kinh dịLangit Nan Gelap, sebuah antologi seram komedi tulisan Resmanshah. Diterbitkan pada tahun 2013.