Entah berapa kali orang berteriak di seberang jambatan. Sekumpulan orang muda sedang moginum di tebing Sungai Sembulan yang mengalir hitam dan lesu. Kelesuan Sungai Sembulan sebenarnya adalah vitaliti orang-orang yang mencemarinya. Azan Subuh akan berkumandang sebentar lagi, tapi masih ada yang kemabukan di sana, di seberang jambatan. Aku berkira-kira mahu menyambung tidur yang tak pernah cukup. Tapi malaikat rezeki tidak akan bersahabat dengan orang-orang yang berselimut ketika azan Subuh dilaungkan. Beginilah, kawan. Menjadi gelandangan bermakna kemewahan tidur bukan lagi milikmu. Siapa yang mengatakan sebaliknya sudah tentu bukan gelandangan. Gelandangan sejati tidak pernah cukup tidur. Gelandangan sejati sentiasa waspada, syiling-syiling yang orang lontar ke lantai-lantai basah dan berkuman harus kaurebuti dari gelandangan lain. Burung terawal akan mendapat ulat. Itulah rezeki kami, sisa-sisa orang. Kota ini kejam, kawan. Orang-orang dari luar negara datang ke sini dan dibawa ke wisata-wisata negerimu dengan menaiki bas berhawa dingin, sementara kau terbiar fakir mengikis sisa-sisa di penjuru kota yang tak terlihat oleh orang-orang dari luar negara itu. Kemakmuran yang dicanang-canangkan oleh ketua negara di kotak televisyen masih tak terlihat di mata marginal kami. Entah, seseorang pernah memberitahu visinya di tahun 2020. Terlalu ramai yang dimesinkan. Terlalu sedikit yang dimanusiakan. Dalam mamai subuh begitu, aku berkira-berkira mahu berdoa nanti agar di tahun-tahun mendatang takkan ada lagi yang memvisikan manusia yang berwayar atau berpapan litar.
Barangkali kefakiran adalah dosa kami. Kami adalah kulat. Dihapuskan dari pinggir-pinggir penglihatan orang besar yang berkereta besar, tinggal di rumah besar, berdasi dan bertali leher kupu-kupu ke majlis besar di hotel-hotel besar. Spora-spora kemiskinan kami adalah warisan orang tua. Itupun hendak diperangkan oleh orang-orang besar ini. Ah, maaf. Aku tidak sepatutnya mengeluh. Orang-orang seperti kami dilarang keras mengeluh. Terutamanya tentang status quo. Atau memang telah lama mereka beranggapan bahawa kami memang tak terdidik dan tidak akan pernah faham apa definisi status quo itu sebenarnya. Kita biarkan mereka. Aku mendengar azan dilaungkan. Melalui suara muazinnya, dapat diteka umurnya yang telah lanjut, kerana nafasnya putus-putus dan lenggok dengungnya retak-retak. Aku menggulung beg tidur lusuh (dan sudah agak kurang selesa tidur di dalamnya, sebenarnya) dan berkemas-kemas. Bangku tempat tidurku kelihatan seperti logam yang dicelup lava di bawah cahaya lampu jalan. Aku berjalan menuju ke masjid, melintasi jambatan dan kumpulan anak muda yang bergilir meneguk tuak. Dari arah jalan ke perkarangan Masjid Sembulan, aku melihat dua lelaki tua melintas jalan tanpa melihat kiri kanan. Mujur pemandu mabuk tidak muncul tiba-tiba. Imam perlukan makmum di belakangnya. Bersama muazin, jumlah yang pasti menjadi makmum adalah empat, termasuk aku. Selalunya masjid di sini agak lengang ketika subuh, meski kedudukan rumah penduduk kampung jaraknya cuma sehasta dari masjid dan antara satu sama lain. Barangkali mereka tidak datang kerana ada rencana lain - solat di rumah, misalnya, selepas bersarapan.
Sama seperti yang aku perkirakan, makmum solat kali ini cuma ada empat saja. Imam tak menunggu. Dia tahu, lebih dari tahu, bilangan makmumnya tidak akan bertambah lagi. Maka dimulai takbiratul ihram.
Selepas solat, aku bergerak mendapatkan beg yang kusimpan di para tepi pintu masuk. Tadi aku lupa berdoa tentang kesejahteraan orang-orang selepas 2020. Aku berdoa untuk mendapatkan pekerjaan tetap sahaja. Maaf, kawan. Kadang-kadang aku tidak sengaja mementingkan diri. Aku capai but yang kusorokkan di celah-celah sejadah yang bergulung di luar dan segera memakainya. Aku harus cepat, sebelum gelandangan lain mencuri botol-botol bir di tong sampah kelab malam bersebelahan kompleks beli-belah tepi laut yang baru dibuka berhadapan Marina Court itu. Botol-botol itu boleh ditukar wang dan dengan wang itu boleh aku bersarapan.
"Nak, kenapa mau cepat?"
Aku toleh suara yang menegur itu. Pakcik Bilal rupanya.
"Inda apa la, pacik. Saya mau pi cari botol bah ni." Aku menjawab dengan hormat. Orang tua harus dihormati, pesan arwah ibuku dulu.
YOU ARE READING
Bukan Rencana Asal
Short StoryBayu pun berpuput lembut membelai rambut, matahari pun ceria memancar terang di langit biru. Ramahnya alam, tak seramah manusia yang kutemui. Di jalan-jalan, di lorong-lorong (ramai menghisap gam dan mencucuk jarum) dan tempat-tempat tersembunyi ial...