DUA

21 2 0
                                    

Mada sudah berada di kaki gunung. Tidaklah dia tahu gunung apa sebab kalau dilihat dari bangunan tertinggi kota Ajhia, tanah kelihatan rata dari semua arah sejauh-jauh pemandangan. Gelap hutan membatasi pergerakan Mada. Berpandukan cahaya bulan, akhirnya Mada terpandangkan silauan di arah kirinya.

Air!

Mada terus membasahkan tekaknya. Aaaahhhhh. Betapa nikmatnya air itu melalui kerongkongnya disaat kehausan dan kepenatan. Airnya jernih, nampak tapak tangan. Dingin pula. Muka disegarkan dan uncang air sebesar setengah hasta diisi sepenuh-penuhnya. Mada akhirnya duduk mendiamkan diri menikmati suasana itu. Jauh di dasar hatinya paling dalam, rasa rindu dan menyesal berperang sesama mereka.

"Andori, maafkanlah kanda kerna meninggalkan dinda."

Sebak dada Mada mengenangkan perbuatannya. Dia terpaksa. Tidak mahu Andori disabit bersalah kerana bersubahat. Bila ditimbang-timbang, rasa lega berlegar-legar mengambil alih peperangan perasaannya tadi. Sekurang-kurangnya isteri aku selamat. Tidaklah dia mahu melihat kulit putih Andori terguris kerna dahan-dahan pokok. Tidak pula sanggup melihat isterinya termengah-mengah menahan nafas semata-mata menjadi pelarian. Tidak. Andori ditempatkan dirumah keluarganya, dipaksa agar Andori mengikut sahaja kemahuan Mada, untuk keselematannya juga.

Meraung-raung Andori apabila dia dikunci di dalam ruang rumah itu oleh ayahnya sendiri, Andui. Sebelum Mada menyelinap ke hutan, Anduilah yang membaca mantera perlindungan dan menghadiahkan rantai yang mengikat satu objek hitam. Tidaklah Mada tahu. Bukan Mada untuk percaya mistik.

"Pergilah kau jauh-jauh wahai anakku Mada. Moga tuhan sentiasa menghantar cahaya membantu kamu. Usahlah khuatir akan Andori. Aku bapanya. Aku akan pastikan dia selamat." Andui menepuk-nepuk bahu menantunya itu.

"Apabila keadaan sudah getir, biarpun sudah seratus tahun ataupun seribu, sekiranya masih nafas wujud di dada, datanglah ke tanah ini untuk mengambil isterimu kembali."

Tiada salahnya Mada. Andui malah seisi warga kota tahu dan kenal siapa Mada, pemuda yang jujur. Banggalah dia apabila dimenantukan Mada. Kini susah hatilah dia kerana menantunya menjadi buruan Sultan yang zalim. Raungan Andori semakin lemah. Terduduk dibirai katil menangisi takdir.

Setelah seketika, tergugurlah air mata jantan Mada, jatuh bertitik-titik di dalam kolam air itu.

☆☆☆☆

"Sekarang mak nak Aina tidur." Emak Ateh sudah bangun dari sofa tetapi ditarik kain batiknya oleh Aina. "Alaa mak.. habiskanlah cerita Mada tu. Tolonglah." Aina memandang tepat ke mata maknya, tetapi disambut gelengan perempuan di pertengahan usia itu.

"Mak janji esok kita sambung lagi cerita Mada. Okay? Bangun awal. Siapkan kelengkapan menoreh." Emak Ateh tersenyum dan berlalu ke dapur, meninggalkan Aina yang rasa hampa. Dia betul-betul hendak tahu apa kesudahan cerita Mada. Kasihan Andori, siapalah yang suka kena tinggal suami oi!

Aina menggeleng kepala. Seperti kebanyakan hikayat yang diceritakan maknya, semuanya mengambil masa hampir sebulan untuk diceritakan. Boleh saja meminta Emak Ateh membuat ringkasan tetapi tak seronoklah begitu. Aina tersenyum keseorangan.

Tuk! Tuk! Tuk!

"Emak Ateh! Oo Emak Ateh! Aina! Ainaaa!"

Seakan mahu runtuh pintu rumah itu diketuk bertalu-talu. Kelam-kabut Aina ke pintu rumahnya sambil mengeringkan rambutnya dengan tuala. Sudah malam-malam begini, apa halnya entah. Emak Ateh sampai dahulu ke pintu lalu membukanya. Terjatuhlah si lembut Payed dan terduduk tersimpuh dimuka pintu rumah itu termengah-mengah. Merah mukanya yang cerah itu. Hendak sahaja dijerkah Payed, mengetuk rumah malam-malam macam nampak hantu tetapi dihentikan niatnya dan memberi masa kepada Payed untuk mencapai nafasnya. Boleh mati si Payed kalau dibiarkan. Aina segera mencapai botol air ditepi televisyen dan memberikan kepada Payed.

MEELDEWhere stories live. Discover now