Assalamualaikum Warahmatullah. Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahi Robbil 'Alamin. Segala pujian tertentu kembali pada Allah, Wasolatu Wassalamu A'la Asyrafil Anbiyai Wal Mursalin, Walhamdulillahi Rabbil A'lamin. Seperti biasa mari kita baca surah al-Fatihah dan hadiahkan kepada Rasulullah SAW serta kepada ahlul bayt, para Sahabat dan para solehin. Al-Fatihah.
Alhamdulillah, sekali lagi dapat menambah usrah. Kerana ini tidak boleh jadi melainkan dengan izin, taufiq dan hidayahNya. Maka bersyukurlah. Kita minta semoga kali ini kita keluar dari sini melainkan dengan ilmu bermanfaat. Aamiin. Diucapkan terima kasih kerana sudi membaca, sudi meluangkan masa untuk membaca usrah kali ini. Sebab ada yang sibuk dengan bermain permainan video, lepak di kedai kopi, tetapi antum semua sudi meluangkan masa sebab hendak menambah ilmu. Barakallah.
Kali ini adalah Tokoh Islamiyyah. Kita sudah habis berkongsi tentang 4 Khalifah ar-Rasyidin yang agung pada masa lalu. Kali ini adalah tentang 10 Sahabat Nabi SAW yang sangat mulia hingga dijaminkan Syurga untuk mereka. Mereka inilah yang dikira Sahabat-Sahabat Nabi SAW yang sudah memperjuangkan Islam dengan segala-galanya termasuk nyawa mereka. Merekalah yang patut kita kenangkan. Berapa ramaikah diantara kita yang hafal 10 nama para Sahabat Nabi SAW yang agung ini? Ada yang tidak kenal dengan 4 Khalifah itu, bagaimana pula dengan yang ini? Zaman sekarang ini semakin teruk, remaja-remaja ini tidak lagi mengingati para Sahabat Nabi SAW. Jadi, bagaimana mereka hendak jadi mukmin yang baik? Dari siapakah yang kita boleh mengambil contoh untuk menjadi seorang mukmin yang baik? Maka jawabnya, dari para Sahabat, para Tabiin, para Ulama' yang dulu baik salaf mahupun khalaf. Inilah yang kita patut ikut. Maka InsyaAllah, kita akan berjaya seperti mereka.
Dalam sabda Nabi SAW, sebaik-baik dalam umatku adalah generasiku, dan generasi selepas itu, dan generasi selepas itu. Hadis ini adalah merujuk kepada Salafus-soleh. Merekalah yang sebaik-baik umat Nabi. Salafus-soleh adalah para Sahabat Nabi, dan selepas itu para Tabiin, dan selepas itu adalah para Tabi'tabiin. Para Sahabat adalah mereka yang berjumpa dan beriman dengan Nabi. Para Tabiin, adalah mereka yang tidak berjumpa dengan Nabi tetapi mereka berjumpa dengan Sabahat-Sahabat Nabi. Para Tabi'tabiin pula mereka yang tidak berjumpa dengan para Sahabat, tetapi mereka berjumpa dengan para Tabiin. Baiklah, jadi itu tentang Salafus-soleh. Kita pergi pada tajuk kita iaitu, "10 Sahabat Nabi Yang Dijamin Syurga." Siapakah mereka?
Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda, 'Dari Adurrahman bin 'Auf, dia berkata: Rasulullah ﷺ, bersabda: Abu Bakr di syurga, Umar di syurga, Uthman di syurga, Ali di syurga, Thalhah di syurga, Az Zubair di syurga, Abdurrahman bin 'Auf di syurga, Sa'd di syurga, Sa'id di syurga dan Abu Ubaidah inu Jarrah di syurga." [HR at-Tirmidzi (3747), hadis sahih] . Hadis ini Nabi sudah jaminkan 10 Sahabat yang pasti masuk syurga. Kalau Nabi sudah kata demikian, itu memang sudah pasti. Sebab itu Syiah yang melaknat Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Uthman ini memang jatuh kafir.
1) Abu Bakar, iaitu Abdullah bin Uthman at-Taimi. Digelar dengan As Siddiq Al Akbar. Wafat pada bulan Jamadil Awal tahun 13H pada umur 63 tahun.
2) Umar, iaitu bin Khattab Al 'Adawi, Abu Hafsh. Digelar dengan Al Faruq. Syahid pada bulan Zulhijjah tahun 23H.
3) Uthman, iaitu bin Affan Al Umawi, Abu Abdillah. Digelar dengan Zun Nurain. Syahid pada bulan Zulhijjah setelah Aidail Adha tahun 35H dalam umur sekitar 80 tahun.
4) Ali, iaitu bin Abi Thalib Al Hasyimi, Abul Hasan. Digelari dengan Abu Turob. Anak pakcik Nabi
ﷺ dan suami dari anak perempuannya, iaitu Fatimah RA. Syahid pada bulan Ramadhan tahun 40H pada umur 63 tahun.
5) Thalhah, iaitu bin Ubaidillah At-Taimi, Abu Muhammad. Digelari dengan Thalhah Al Fayyadh. Syahid pada Perang Jamal tahun 36H dalam umur 63 tahun.
6) Az Zubair, iaitu bin 'Awwam Al Asadi, Abu Abdillah. Syahid pada tahun 36H setelah pulang dari Perang Jamal.
7) Sa'd, iaitu bin Abi Waqqas Az Zuhri, Abu Ishaq. Orang yang pertama memanah dalam perang jihad fi sabilillah. Wafat di 'Aqiq pada tahun 55H. Beliau adalah paling terakhir meninggal dunia di antara 10 orang Sahabat yang dijamin masuk syurga.
8) Abdurrahman bin 'Auf, Abu Muhammad Az Zuhri. Termasuk Sahabat yang paling awal masuk Islam. Wafat pada tahun 32H.
9) Sa'id, iaitu bin Zaid bin 'Amr bin Nufail Al 'Adawi, Abul A'war. Wafat pada sekitar tahun 50H.
10) Abu Ubaidah ibn Jarrah, iaitu Amir bin Abdillah Al Fihri. Digelari dengan Aminu Hadzihil Ummah (Orang yang dipercayai umat ini). Termasuk dari anggota pasukan Perang Badar. Syahid disebabkan oleh wabak Taun yang menular di kota Amwas pada tahun 18H dalam umur 58 tahun.