Tanah ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang terbiar. Tanah ini masih perlu diusahakan. Sama seperti kita. Manusia yang tidak terbiar tetapi perlu diusahakan. Tanah itu juga yang telah menanam uri kita. Uri yang merupakan kembar kita seperti kata orang dahulu. Jadi, jangan dibiarkan tanah itu tidak diusahakan. Ia kembar kita. Kembar terakhir sebenarnya.
******
"Aku mengerti maksud Bang Taib tu. Kita ni bukanlah orang asing. Kita ni sudah lama kenal. Kita ni juga dah macam adik-beradik. Orang kata, cubit paha kanan, paha kiri terangkat. Kenalan kita ni bukanlah setahun dua." Pak Taib batuk lemah. Dia mengurut sigup kasar yang terpaut di bibir kering tuanya itu.
"Aku faham tu Naf... Aku tahu..." Pak Taib batuk lagi. Asap berkepul ke udara. Manaf tertawa kecil. "Janji tu takku lupakan... Tak pernah."
"Baguslah begitu. Aku ni juga berpegang pada janji kita berdua 10 tahun lalu. Kerana janji tu lah aku datang ke mari. Dari ia terbiar begitu, ada baiknya diusahakan. Jadi, sebab tu aku datang ni nak kita buat pakat baru. Janji lama tu bukanlah dilupakan tapi kita barukan janji. Kita tengok balik nilai tanah tu bagaimana? Bang Taib jual kat aku saja. Gadai janji tu kita lupakan. Jumlah gadaian Bang Taib dulu aku tambahkan jumlah bayar belian tanahnya. Bagaimana?" Pak Taib memandang Manaf yang begitu panjang berkata menjelaskan maksud kedatangannya petang itu.
"Beginilah Naf. Aku ni bukannya tak boleh nak beritahu keputusannya. Biar aku bincang dulu dengan anak-anak tentangnya. Lagipun..." Manaf menunggu jawapan Pak Taib. Pak Taib menggilat bibirnya yang bersisa rasa sigup kasar itu. Pak Taib batuk.
"Yalah... Aku tunggu saja keputusan Bang Taib. Harap-harap ia tak lama. Sayang kalau dibiarkan tanah tu tak diuruskan." Pak Taib mengangguk dengan cadangan Manaf itu.******
"Dia dah balik?"
"Siapa?"
"Tanyalah lagi... Abang Ijam." Jawapan itu dibalas dengan tawa mengejek. "Malas betullah dengan Abang Deris ni..."
"Takkan Abang Deris tak boleh nak bergurau kot dengan Sita? Tu..." Sita berpaling dan melihat Ijam sedang menumpahkan ikan ke dalam bekas merah dan biru. "Tak banyak ikan yang ditangkap. Air tak baik sangat." Jelas Deris namun Sita sudah berjalan menghampiri Ijam. Deris tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.
"Abang Ijam..." Ijam mendongak dan melihat Sita sedang tersenyum kepadanya. "Dapat banyak ikan?" Sita menghampiri Ijam.
"Syukur alhamdulillah. Adalah juga ikannya ni." Sita masih tersenyum.
"Abang Ijam mesti penat..." Ijam ketawa kecil. Sita tersenyum sipu. Ijam mengangkat dua ekor ikan parang yang sudah berikat.
"Ini untuk Sita sekeluarga."
"Tak apalah... Sita cuma nak jenguk Abang Ijam." Sita tersenyum lagi.
"Alah, orang dah bagi tu, ambil sajalah..." Deris ketawa sambil menyusun bekas-bekas berisi ikan tangkapan mereka selama tiga hari di laut.
"Abang Ijam sedekah macam biasa." Sita mengambil gembira. "Bapa Sita bagaimana, sihat?"
"Ya. Dia sihat. Emm... Abang Ijam, nanti kita jumpa macam biasa."
"Aik... kalau dah macam ni, lebih baik kahwin. Tak payah nak tunggu lama-lama..." Deris menyampuk lagi. Ijam tersenyum dan menolak bekas ikan tersebut.
"Nanti Abang Ijam datang." Sita mengangguk dan berpaling pergi. Ijam menyoroti langkah Sita. Deris memerhatikan tingkah Ijam itu.
"Sudahlah tu Ijam. Lebih baik minta bapa kau pinangkan si Sita tu. Jangan melepas sudahlah. Nanti putih mata kau." Deris berkata cuba memberikan sedikit nasihat. Ijam ketawa kecil.
"Bukannya aku tak nak pinang dia. Tapi kau faham-faham sajalah yang aku ni cuma nelayan. Tak mampu nak menyara anak orang makan." Ijam mengangkat bekas ikan itu ke dalam lori. Deris menurut sama.
"Apa yang nak dikisahkan kalau kita ni nelayan... Kerja halal juga ni. Lagipun, bukannya kau buat kerja ni saja. Tu tanah bapa kau tu kan ada. Usahakan."
"Itulah yang sedang aku buat Deris. Aku tengah usahakan. Tanam ubi kayu. InsyaAllah, sebulan dua akan memberikan hasilnya." Ijam bangga memberitahu dengan usahanya selama ini.
"Baguslah begitu. Ada juga hasilnya." Mereka bekerjasama menaikkan bekas ikan itu ke dalam lori.******
"Aku ni bukannya nak mengumpat ke, mengutuk ke apa, Leha." Kalsom membetulkan tudungnya. Leha mengira jumlah kuih cincin yang berlonggok di dalam dulang. Plastik diangkat dan dibuka. "Kau ni pengusaha kuih cincin kat Labuan ni. Tapi yang aku tengok, kau tu macam tak pedulikan adik-beradik kau yang lain. Tu, Abang Ijam kau tu. Sepatutnya, kau boleh ambil dia bekerja kat sini. Tak payahlah dia bersusah payah turun ke laut, menangkap ikan yang tak seberapa tu. Tolong Deris tu, bukanlah ada untungnya." Kalsom melirik-lirik pandang kepada Leha yang sedang mengisi kuih cincin ke dalam plastik.
"Kuih cincin aku ni bukanlah besar sangat. Jual pun cuma kat Labuan saja. Kalau terlepas kat Menumbok tu pun cuma sebungkus dua." Leha memberikan jawapan. "Manalah aku dapat gajikan Abang Ijam bekerja kat sini."
"Kerja kat sini cuma ditolong dua tiga orang saja." Suhaimi menyahut jawapan Leha, isterinya itu dan mengambil beberapa botol kuih cincin yang sudah terisi itu. Suhaimi menjeling malas kepada Kalsom. Kalsom turut menjeling.
"Abang Ijam tu lebih suka bekerja macam tu. Tak boleh nak dihalang. Lagipun, manalah dia pandai buat semua kerja ni. Abang Suhaimi yang menjadi penghantar kat kedai-kedai Labuan ni." Leha menyambung kata lagi.
"Emm... yalah. Ah, aku datang sini pun bukanlah nak cerita pasal benda ni." Leha melihat Kalsom. Kuih cincin itu sudah dimasukkan ke dalam plastik. Plastik diletakkan ke tepi. Dia mengambil sehelai lagi dan memulakan kerjanya seperti tadi.
"Sebab apa?" Leha mengambil kuih cincin dan memasukkannya ke dalam plastik. Kalsom tertawa kecil.
"Aku datang ni sebab nak tanya tentang tanah bapa kau. Aku tengok macam tak terusahakan saja tu."
"Habis tu, Kak Som nak buat apa dengan tanah tu?" Kalsom menarik nafas dalam.
"Begini... Kalau tak diusahakan, aku nak tanah tu. Maksud aku..." Leha terhenti memasukkan kuih cincin itu ke dalam plastik. "Aku nak beli tanah tu. Kau bincang dengan adik-beradik kau. Bincang dengan bapa kau, Pak Taib. Aku sanggup nak beli kalau kau jual dengan harga RM 300 ribu." Bulat mata Leha mendengar kata Kalsom.
"Biar betul Kak Som?"
"Apa pula tak betulnya. Aku memang nak beli tanah tu. Aku tengok tanah tu dua bulan lalu terbiar begitu saja. Jadi, aku dah berbincang dengan suami aku, Abang Jali untuk beli tanah tu dan tanam dengan pokok pisang. Maklumlah, pokok pisang sekarang ni laku. Mahu ke tak kau nak jual tanah tu?" Leha berfikir dengan dirinya sendiri dengan cadangan Kalsom itu.
"Aku memang berminat tapi..."
"Kau bincanglah dulu dengan adik-beradik dan bapa kau tu. Dah dapat kata putus, kau beritahu. Aku ni memang sudi nak membelinya." Kalsom bermanis muka dengan Leha. Leha mengangguk mengiyakannya.
YOU ARE READING
KEMBAR TERAKHIR
Short StoryJika kita benar-benar manusia, kita akan bersama dengan tanah. (Cerpen ini mendapat Johan dalam Sayembara Cerpen Labuan 2014)