2 Februari 2005, 11.00 malam
Hari ini merupakan hari yang paling bersejarah buat Rina dan hari yang sangat menggembirakan buat kami. Pagi tadi, Rina telah mendapat surat tawaran daripada Otago University yang terletak di New Zealand. Rina mendapat biayaan penuh daripada kerajaan. Aku cukup bangga dengan adik-adikku.Walaupun kami sudah tidak mempunyai harta tetapi Arman, Nisa dan Rina masih kaya dengan ilmu. Arman sedang membuat kursus A-Level di salah sebuah universiti swasta. Pelajaran Arman ditanggung oleh kerajaan dan selepas ini Arman akan dihantar ke United Kingdom. Nisa pula belajar di sebuah sekolah berasrama penuh dan pelajarannya juga ditanggung oleh kerajaan. Ini merupakan tahun terakhir bagi Nisa kerana dia akan menamatkan pelajarannya di sekolah itu, pada tahun ini. Perkara-perkara seperti ini membuatkan aku melupakan keresahan di hati buat sementara waktu. Rina akan berlepas ke New Zealand dalam seminggu lagi. Maksudnya Rina tidak akan berada di sini ketika papa dibedah. Baguslah, aku tidak akan memberitahu sesiapa tentang penyakit papa sehingga papa selesai dibedah. Tidaklah pelajaran mereka terganggu.
“Mak Limah, Aqis pergi cuci pinggan-pinggan tu dulu ya,”setelah tiada pelanggan di gerai, aku segera ke belakang gerai supaya dapat membersihkan pinggan mangkuk. Apabila aku sudah selesai membasuh pinggan ini, habislah sudah kerja aku untuk hari ini. Aku boleh pulang ke rumah selepas ini.
“Aqis, ke sini kejap nak,” Mak Limah memanggil aku apabila aku hampir mencuci semua pinggan mangkuk itu. Aku segera berjalan ke arah Mak Limah.
“Kenapa Mak Limah?”Aku bertanya sambil mataku meliar mencari mana-mana pelanggan yang belum diambil pesanan makanan dan minuman.
“Tu, ada pelanggan nak jumpa tu,” Aku mula berasa pelik. Sepanjang aku bekerja di sini, tiada siapa yang datang berjumpa aku di sini. Aku mula berjalan ke arah meja yang ditunjukkan oleh Mak Limah. Aku dapat melihat dengan jelas bahawa itu seorang lelaki tetapi aku tidak dapat melihat mukanya kerana dia berpaling ke arah lain. Aku memutuskan untuk menghampirinya dan mengetahuinya tujuannya mahu berjumpa denganku.
“Assalamualaikum,”Aku memberi salam supaya lelaki itu sedar akan kehadiranku di situ.
“Waalaikumsalam,” lelaki itu menjawab salam lalu perlahan-lahan memalingkan mukanya ke arah aku.
“Aizat!” aku terjerit kecil. Kini aku sedang berhadapan dengan seorang insan yang aku tidak sepatutnya bertemu. Dia tidak melakukan apa-apa kesalahan dan aku juga tidak pernah membencinya. Malah, dia pernah aku letakkan di tempat teratas di dalam hatiku selepas mama, papa, Rina, Amran dan Nisa. Dulu dia merupakan lelaki yang aku puja.
Aku dan Aizat berkenalan semasa kami masih di sekolah menengah. Hubungan kami memang diketahui oleh kedua-dua ibu bapa kami dan mereka merestuinya dengan syarat kami tidak mengabaikan pelajaran kami. Walaupun kami bercinta kami tidak pernah mengabaikan pelajaran. Malah cinta kami telah menyebabkan kami belajar dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Buktinya, aku dan Aizat mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM dan kami berdua merupakan pelajar terbaik sekolah. Selepas itu, aku dan Aizat bercadang untuk melanjutkan pelajaran di Negara yang sama supaya kami boleh sentiasa berjumpa dan menjaga satu sama lain. Aku selalu dijemput mama Aizat, Auntie Rafidah ke rumah mereka dan aku sering diperkenalkan kepada kawan-kawannya sebagai bakal isteri Aizat. Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa malunya aku pada saat itu.
Sebulan sebelum aku dan Aizat berlepas ke New York, kemalangan itu menimpa keluarga kami dan keadaan keluarga aku berubah dengan drastik. Ketika itulah, Auntie Rafidah mahu berjumpa aku pada suatu petang.
“Balqis Amirah, auntie tak nak kamu berjumpa dengan Aizat lagi, faham? Auntie dah ada calon isteri yang lagi cantik dan kaya daripada kamu untuk Aizat. Kamu boleh minta berapa banyak wang yang kamu mahu supaya kamu tidak berjumpa dengan Aizat lagi dan auntie boleh beri berapa sahaja,” Tegas Auntie Rafidah bersuara.
Aku tidak mampu bercakap apa-apa lagi kerana rasa terkejut yang teramat. Hanya air mata yang mampu aku linangkan. Begitu cepat Auntie Rafidah yang penyayang itu boleh berubah menjadi manusia yang tidak berhati perut hanya kerana keluarga aku sudah tidak mempunyai harta. Aku hanya mampu menganggukan kepala tanda setuju sebelum aku berjalan meninggalkannya. Sejak itu, aku tidak pernah lagi berjumpa dengan Aizat dan kini, selepas bertahun-tahun lamanya,dia sedang berada di hadapanku.
“Kamu tidak boleh berjumpa dengan Aizat!” tiba-tiba aku teringat amaran Auntie Rafidah. Aku tidak boleh berjumpanya. Aku lari meninggalkan Aizat di gerai itu. Aku terus berlari dan aku juga sedia maklum bahawa Aizat masih mengejarku. Setelah beberapa lama, aku sudah tidak boleh berlari lagi. Aku hanya seorang perempuan dan kudratku tidak mampu mengatasi kudrat seorang lelaki. Akhirnya Aizat menghampiri aku lalu memegang erat tanganku. Mungkin dia takut aku akan melarikan diri daripadanya lagi.
“Mira, kenapa nak lari daripada Aizat? Apa yang Aizat dah buat pada Mira? Bertahun-tahun lamanya Aizat cari Mira tapi tak pernah jumpa. Nasib baik kawan kelas kita dulu beritahu Aizat yang dia pernah jumpa Mira kat sini. Kenapa Mira? Aizat nak tahu sekarang juga,” suara Aizat kedengaran pilu.
‘Mira’ Sudah lama aku tidak mendengar orang menggelar aku dengan nama itu. Hanya Aizat yang memanggil aku begitu walaupun orang lain memanggil aku ‘Aqis’. Aku langsung tidak sangka bahawa Aizat masih ingat akan nama itu walaupun setelah lapan tahun berlalu.Aku sudah tidak mampu menahan tangisanku lagi apabila insan kesayangan aku sudah berada di hadapan aku kini, setelah begitu lama. Di dalam hatiku, aku berasa bangga kerana pilihan aku tidak salah. Aku memilih seorang seorang jejaka yang setia kepada cintanya dan mampu melalui apa sahaja untuk menjayakan cinta itu.
“Semuanya kerana mak Aizat,” sayangnya aku hanya mampu meluahkannya dalam hati. “Aizat, Mira tak sesuai dengan Aizat. Aizat patut cari gadis yang sesuai dengan Aizat,” aku cuba mencari alasan supaya dia dapat melupakan aku.
“Kenapa sekarang baru Mira cakap yang Mira tak sesuai dengan Aizat. Dulu, Mira tak pernah cakap macam tu pun. Mira, Aizat nak Mira tahu satu perkara. Tak kira apa keadaan Mira, Aizat akan tetap cintakan Mira sampai bila-bila. Aizat tak boleh cintakan orang lain kerana hati Aizat sudah lama Aizat serahkan kepada Mira,” pandangan Aizat tajam menusuk mataku. Tangisanku makin mencurah-curah bagaikan hujan yang lebat apabila aku mendengar kata-kata yang terbit ikhlas dari hati Aizat. Kalau boleh, mahu sahaja aku memeluknya tapi suara Aunty Rafidah terus terngiang-ngiang di telingaku.
“Aku juga tidak mampu menyintai lelaki lain, Aizat. Hanya kau yang satu,” aku hanya mampu meluahkannya di dalam hatiku. Aku terus meninggalkannya dengan air mata yang mencurah-curah dari tubir mataku. Dia sudah tidak mengejarku lagi. Aku berpaling sekali lagi dan Aizat masih lagi berdiri di tempat yang sama sambil memerhatikanku. Hatiku terasa perit. “Ya Allah, kenapa kau mengujiku sampai begitu sekali. Apa dosaku?”
YOU ARE READING
Diari Seorang 'Aku'
Teen FictionTiga beradik, Arman, Rina dan Nisa gigih mencari kakak mereka yang sudah lama terpisah angkara sebuah salah faham. Akan bertemukah keempat-empat adik beradik itu? Akan terungkaikah salah faham di antara mereka? Jika ya, apakah salah faham di antara...