BAB 1 & BAB2

356 5 0
                                    

1

"Malaysia! Malaysia! Malaysia!"

Masa berbaki dua minit sahaja lagi. Tambahan masa yang diberikan hanya satu minit, sudah tentu tidak mencukupi bagi perlawanan yang padat dengan formasi serangan dan bertahan yang telah dipamerkan oleh kedua-dua pasukan. Setiap sudut Stadium Bukit Jalil gegak gempita dengan sorakan lebih 80 ribu penonton yang sesak membanjirinya. Laungan semangat Harimau Malaya bergema dan tepat merasuk setiap sosok kudrat pemain Malaysia yang bermati-matian bermain di atas padang. Tak kurang juga hebatnya penyokong Singapura yang bersorak kuat menyokong pemain mereka. Scoreboard menunjukkan kedua-dua pasukan belum berjaya menembusi pertahanan terakhir pasukan lawan masing-masing.

Coach Raja memanggil ketua pasukan kebangsaan iaitu Aiman Zharif di tepi padang. "Zharif, cuba simpan tenaga untuk sepakan penalti nanti. Dan jangan sampai buat kesilapan mudah. Fokus semua, fokus!"

Lontaran ke dalam untuk Malaysia dan Aiman Zharif yang akan mengambilnya. Nama Aiman Zharif bukan asing lagi buat peminat bola sepak negara. Ketajamannya melakukan penyudah dan kebijaksanaannya menggunakan helah dalam menggelecek pemain lawan menyebabkan dirinya sering diintai sebagai pemain yang merbahaya. Lihat sahaja pada perlawanan hari ini, lebih kurang dua orang pemain ditugaskan untuk mengekangnya.

Aiman Zharif kemudian melontar bola itu kepada Muthu, pemain sayap kiri negara membentesnya yang menghantar kembali bola tersebut ke kaki Aiman Zharif. Zharif cuba membawa bola ke tengah dan cuba menggerakkan jentera tengah pasukan Malaysia.

"Open, open!" Jerit Zharif meminta rakannya yang lain bergerak untuk prospek terbaik baginya melorongkan bola tersebut.

Kelihatan dua pemain lawan sedang meluru laju ke arahnya. Tak ada cara lain melainkan mesti mendepani terjahan yang bakal dilakukan dua orang pemain lawan itu. Zharif dengan reaksi spontan melakukan flick ke kiri memperdayakan dua orang pemain lawan yang cuba dari arah kanan dan tengah.

Dua orang sudah ditewaskan oleh Aiman Zharif, lantas dia terus meluru laju ke sebelah kanan kubu pertahanan pihak lawan. Dia cuba menggelecek untuk menerobos masuk ke dalam kawasan kotak penalti dan dia berjaya. Satu sepakan deras juga berjaya dilakukan dalam keadaan kakinya sempat dibentes keras oleh pemain pertahanan pihak lawan. Bola tersebut terkena palang gol walaupun penjaga gol Singapura sudah tidak mampu melakukan apa-apa.

Stadium Bukit Jalil gamat teruja dengan persembahan solo yang ditunjukkan oleh pemain bernombor 10 dengan lilitan captain di lengan bajunya. Zharif terjelepuk jatuh mengerang kesakitan akibat dibentes dan pengadil perlawanan nampak secara jelas bentesan keras oleh pemain pertahanan Singapura tersebut. Kad kuning dilayangkan kepada pemain pertahanan tersebut dan natijahnya, pengadil menunjukkan tempat sepakan penalti.

Sepakan penalti untuk Malaysia!

Pemain Malaysia yang lain mendapatkan Aiman Zharif dan membantunya untuk bangun. Mereka semua tersenyum gembira apabila gerakan Aiman Zharif itu membantu Malaysia dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil. Dan pemain yang akan menggalas tugas sebagai pengambil sepakan penalti ialah Aiman Zharif sendiri.

Aku tahu aku boleh! Laung semangat hati kecil Aiman Zharif. Bola diletakkan di tempat sepakan penalti. Berulang kali dia menghembus keluar nafasnya bagi mengurangkan rasa gemuruhnya. Jika dia berjaya menjaringkan gol, dialah hero bagi Malaysia. Yang paling penting, Malaysia akan layak ke peringkat akhir. Jemarinya membuang peluh di sekitar mukanya.

"Zharif! Zharif! Zharif!"

Tiba-tiba namanya dilaung di setiap penjuru Stadium Bukit Jalil. Penyokong Malaysia berjumlah 85 ribu orang melaungkan nama yang sama iaitu Zharif. Pengurusan dan barisan jurulatih negara serta pemain-pemain kebangsaan yang lain juga bersorak dengan nama yang sama. Bahkan ada antara pemain yang mengisyaratkan supaya laungan nama Zharif dikuatkan lagi. Kini dia sudah bersedia dan hanya menanti tiupan wisel daripada pengadil sahaja.

SKANDAL LIBEROWhere stories live. Discover now