Udara malam berpuput lembut memenuhi setiap ruang. Bintang kelihatan bertaburan di dada langit. Bulan sabit pula mengintai di sebalik awan yang tebal. Dedaun pokok di tepi rumah bersiul di tiup angin malam.
Suara cengkerik dan ungas malam terus berlagu menghiasi malam yang mula dingin. Namun tidak mampu menarik perhatian seorang remaja yang sedang tekun menelaah buku dan nota di meja di beranda rumah.
Sejak dari tadi dia berkeadaan begitu. Asyik benar. Seolah olah tidak terganggu dengan bunyi deruan motor anak anak kampung yang sesekali melintas di halaman rumah. Tidak terusik langsung dengan kedinginan malam yang mula mencengkam. Seolah olah buku dan notanya lebih penting daripada benda benda lain yang ada di sekelilingnya.
Di ruang dapur kelihatan seorang wanita dalam lingkungan lewat 30-an sedang sibuk menyiapkan makan malam untuk anaknya. Tidak ada orang lain, selain daripada mereka berdua. Sejak kematian suaminya 11 tahun yang dulu, Linda tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga lagi.
Dia sudah nekad untuk membesarkan anaknya sedaya yang mungkin. Bukan tidak ada lelaki yang ingin menyuntingnya. Namum semuanya ditolak dengan baik. Baginya, Adi sudah cukup membuat dia bahagia. Melihat Adi membesar di depan mata, sudah memadai baginya. Bahagia Adi, bahagialah dia. Sengsara Adi, bermakna dia turut sam merasakan kesengsaraan. Bagi Linda, Adi adalah segala galanya di dunia ini.
Namun Linda tetap manusia biasa. Sesekali godaan pasti datang menghimpit hati dan perasaan seorang wanita. Ketika itu dia bersa bimbang. Takut dia tewas. Ketika itu hanya kegelisahan menjadi peneman Linda. Kebingungan menjadi rakan karibnya.
Linda sedar dia kini sedang berdiri di sebuah persimpangan. Dan persimpangan itu menjadikan dia seorang yang takut dan keliru. Terperangkap antara janji dan keinginan.
Ya! Sebagai seorang wanita dia perlukan perlindungan daripada seorang lelaki yang bergelar suami. Linda akui ada waktu waktunya, dia bagaikan tidak berdaya untuk mengharungi semua cabaran dan godaan dunia ini. Pujuk rayu dunia ini adakala terlalu sukar untuk dielakkan.
Ada masa masanya dia didesak dengan nafasnya sendiri. Itulah yang dibimbangkannya selama ini. Rupa rupanya bukan mudah menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal. Terlalu banyak godaan dan cabaran.
Sering kali Linda berasa berdosa apabila memikirkan tentang anaknya yang seorang itu. Dia akui yang dia pernah berjanji akan menjaga Adi sebaik mungkin selepas kematian suaminya. Janji itu tetap dipeliharanya sebaik mungkin.
Linda ingin melihat Adi membesar di depan mata. Sebagai seorang ibu, dia ingin melihat Adi berjaya di dalam hidup. Tidak sepertinya, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sekurang kurangnya dia ingin melihat Adi berjaya lebih daripada apa yang diperolehi arwah suaminya.
Linda tahu bukan mudah untuk membesarkan seorang anak. Lebih lebih lagi anak lelaki. Melihat keadaan beberapa orang anak muda kampungnya membuatkan dia kecut perut. Bukan sedikit anak anak muda terlibat dengan dadah. Malah pecah rumah dam bermacam macam lagi. Belum cerita lagi tentang anak anak muda yang gemar merempit di sekekeling kampung.
Bukan tidak ada yang terbabas masuk parit atau rempuh tiang lampu akit merempit. Namun anak anak muda itu tidak pernah serik. Memikirkan tentang itu, hati Linda digayut rasa takut dan cemas. Janganlah Adi ikut seperti itu, fikirnya lagi. Yang sudah tu, sudahlah. Jangan Adi terjebak sama.
Asam pedas ikan gelama diletakkan di atas meja. Kemudian Linda memanjangkan leher ke arah depan. Cuba mengintai kelibat anak lelakinya namun gagal.
"Adi!"
Suara Linda memecah keheningan malam. Namun tiada sahutan daripada anak terunanya itu. Linda melangkah beberapa tapak untuk mengambil kendi untuk diisi air di singki.