Bab 1

3.3K 58 34
                                    

"Peningnya!" Shasha sudah 27 kali mencuba pelbagai jenis baju dalam koleksi almarinya. Tiada satu pun yang sepadan. Baju yang ke-28 kini tersarung di tubuh. Terasa mahu menjerit apabila melihat imej biasan di cermin!

     "Serius aku nampak hodoh pakai baju kebaya ni."

     Shasha mengeluh sendiri. Baju kebaya yang ditempahnya khas dari butik itu dipandangnya dengan penuh benci padahal ia tiada langsung cacat cela. Baju itu dibeli sempena raya tahun lepas. Masih kelihatan baru kerana hanya pernah disarung ke tubuh sebanyak dua kali. Kali pertama sewaktu bersalam-salaman dengan saudara-mara di pagi raya. Kali kedua sewaktu menghadiri majlis pertunangan teman rapatnya, Linda.

     Sungguh Shasha bingung! Dia sudah penat mencari baju yang sesuai bagi acara malam nanti. Tiga jam sudah dihabiskan di hadapan cermin, semata-mata mahu memastikan penampilannya tampak sempurna. Itu belum lagi masuk bab solekan, pilih kasut, pilih beg tangan dan gaya rambut. Ah, susah benar rasanya jadi perempuan!

     Shasha menyelak-nyelak lagi baju di dalam koleksinya. Kebanyakan baju yang tergantung itu adalah pakaian ke pejabat. Terlalu formal, amat membosankan. Shasha perlu mencari baju yang dapat mempamerkan keayuannya dan menyerlahkan kecantikannya.

     Memang sah lagi muktamad! Dia tiada baju yang sesuai bagi acara oenting malam nanti! Pening kepala Shasha dibuatnya. Dia mengerling jam di dinding bilik. Sudah pukul 7.00 malam. Pukul 9.00 malam majlis bermula. Dia perlu tiba lebih awal ke sana. Tidak sesuai pula majlis sudah bermula baru terhegeh-hegeh mencari tempat. Shasha mencongak-congak di dalam kepala. Hanya tinggal satu jam setengah untuk dia mempersiapkan diri.

     Ketika itu Shasha terasa hendak menjerit! Hatinya berdebar-debar apabila menyedari masa makin suntuk. Tiada lagi pilihan, dia akhirnya mencapa baju blaus hitam polos jenama Zara yang dipadankannya dengan skirt berbunga hitam putih. Padanan beg tangan dan kasut jadi mudah apabila memilih warna sebegitu dia tanpa ragu-ragu memilih kasut tumit tinggi jenama Clarks berwarna hitam supaya dia dapat berjalan ke sana sini dengan selesa. Beg tangan hitam dari koleksi Prada melengkapkan gaya.

     Tepat pukul 8.30 malam, Shasha sudah menghidupkan enjin keretanya  bersama debaran di dada, kereta dipandu menuju ke arah Hotel Shangri La, Kuala Lumpur.

×××××

Malam itu suasana kelihatan sungguh meriah. Dewan utama Hotel Shangri La tampak mewah dan indah dihiasi cahaya lampu. Dekorasi bunga-bunga ros merah segar menyambut kedatangan tetamu nyata mampu mengundang senyuman ketenangan. Alunan muzik klasik lembut menjadi halwa telinga para tetamu 

     "Ramai juga yang hadir ke majlis reunion ini rupanya!" bisik hati kecil Shasha.

     Muka-muka yang nyata dikenali tetaoi tidak diingati nama menjadi jamuan mata. Puas rasanya cuba mengingati kembali, namun Shasha buntu. Itulah akibatnya apabila sudah hampir 10 tahun berjauhan. Memori-memori zaman persekolahan itu bagaikan sudah terpadam dari ingatan.

     Shasha memerhati lagi keadaan sekelilingnya. Dia mahu beramah mesra daj bertegur sapa dengan kenalan lama, tetapi rasa segan dan kekok lebih menguasai dirinya. Badannya tiba-tiba dipeluk erat dari belakang.

     "Hoi Shasha! Kau datang pun!" Suara ceria seorang perempuan yang teramat dikenali menusuk pendengarannya.

     "Bertuah betul kau, Linda! Kau ni memanglah! Buat aku terkejut! Mati-mati aku ingat ada lelaki yang jatuh cinta pandang pertama pada aku dan terus main peluk-peluk!" Gurauan Shasha kedengaran riang.

     Dua sahabat itu tergelak mesra.

     Linda yang mendengar menjelir lidah tanda mengejek. Dalam masa yang sama, dipautnya lengan Shasha erat-erat bagaikan tidak mahu dilepaskan. Pandangan Shasha meliar ke arah sekitar majlis yang berlangsung penuh gilang-gemilang itu. Fokus mata cuba mencari wajah-wajah lain yang mungkin dikenali.

Impiana - Karya Ain MaisarahWhere stories live. Discover now