BAB 1

1.9K 14 0
                                    

Bosan! Itulah rasa yang sering memenuhi ruang di hatiku. Detik-detik yang pantas berlalu tidak pernah sekalipun menitipkan aku sekelumit bahagia. Hidup ini bagai satu percaturan yang sering menjadikan aku sebagai mangsanya. Biarpun kuat mengepung rasa, sesekali tergelincir jua dari landasannya dan sesekali aku bagai hilang pedoman. Seringkali bertanya pada diri, untuk apa sebenarnya hidup ini kalau bukan untuk bahagiakan diri sendiri? Namun, untuk apa aku impikan bahagia sedangkan diri ini tidak pernah punya apa-apa kecuali nyawa dan jasad yang dipinjamkan olehNya. Benar...Jika dihitung dengan kekayaan, keluargaku punya segalanya tetapi diri ini masih terasa serba kekurangan.

Pun begitu, aku tetap setia bersujud, mengharap agar diberikan hidayah dan rahmatNya. Moga-moga di penghujung hayat nanti aku mati dalam keredhaaNya. Tiada apa yang aku harapkan dalam kehidupan ini kecuali melangkah dan bernafas dengan tenang biarpun ketenangan itu tidak pernah mahu bertapak lama di hatiku.

"Abang rindukan Dya." Lirih suara Abang Ari meremangkan bulu tengkukku. Kepulangannya untuk menetap di Malaysia meragut kejam seluruh ketenangan yang aku kumpulkan sekian lama. Kedatangannya ke sini dua hari lepas bagai menggegarkan seluruh ruang hatiku.

"Semenjak kita kenal, ada dua benda yang tak pernah kau tinggalkan sepanjang masa." Bicara Nyza memanggil aku untuk berpaling ke arahnya. Matanya terpaku pada buku, seolah sedang berbicara dengan buku tersebut. Gilakah dia?

"Termenung dan mengeluh," ujarnya, masih terus menatap buku di tangan. Sahabat yang aku kenali semenjak menjejakkan kaki ke kampus UPM Serdang ini sememangnya begitu. Mulutnya akan berbicara mengikut apa yang terlintas di kepala walaupun ketika itu matanya sedang terpejam rapat.

"Masalah harus dikongsi untuk meringankan, bukan disimpan jadikan pekasam yang akhirnya akan membusuk di hati," sambungnya lagi dengan mata yang masih setia menatap buku di tangan.

Bagaimana untuk berkongsi masalah ini? Dari mana harus dimulakan? Perlukah diselak satu persatu tirai yang menutupi detik-detik yang memalukan itu? Hendak kuluahkan terasa malu akan kekurangan diri, hendak disimpan takut lama-lama memakan diri. Hendak kupendam takut nanti menjadi racun yang akhirnya akan membunuh seribu nyawa.

"Bercakap dengan kau, baik lagi aku bercakap dengan dinding, ada juga bunyi bila diketuk." Kali ini dia sudah meletakkan buku ke sisi dan matanya dihalakan ke wajahku.

"Kau bercakap dengan aku ke? Ingatkan bercakap dengan buku." Aku sengaja mengenakannya.

"Sejak dua hari ni aku tengok kau gelisah semacam. Sekali tengok macam kucing hilang anak, dua kali telek macam orang gila meroyan pun ada." Lepas bicaranya, aku tidak pernah terasa hati. Kebiasaan itu adakalanya boleh menyakitkan telinga orang lain yang mendengarnya.

"Kau gaduh dengan Syamir ke?" Dia cuba meneka.

"Itulahhh....Dari awal lagi aku cakap dia tu kasanova, tak sesuai untuk kau."

"Kau membebel apa malam-malam buta ni? Tersampuk atau kena santau?" Aku terus mematahkan niatnya untuk mengutuk lelaki itu. Entah kenapa, sejak dari awal teman-temanku tidak pernah bersetuju tentang hubungan baikku dengan Syamir, padahal tiada apa yang buruknya pada lelaki itu.

"Hoi! Jom ke bilik aku, ada 'tulang ayam' aku beli kat pasar malam tadi." Suara Anim yang tiba-tiba muncul di muka pintu memecah ruang bilik yang kecil itu. Kerangka tulang ayam yang dicelup tepung dan digoreng garing merupakan makanan kegemaran kami bertiga.

Dari bilik Nyza kami berarak ke arah bilik Anim yang sama arasnya. Selalunya bilik Nyza menjadi tempat lepak kawan sekepala dan bilik Anim pula sesekali menjadi pantry kami. Bilikku jarang dicerobohi kerana roomateku ketua usrah, silap cakap pasti berjela ceramah agama. Akibatnya, berhari-hari aku diburu rasa berdosa.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 12, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

BEBUNGA KASIHWhere stories live. Discover now