Bab 1 -3

3.1K 47 6
                                    

         

1

Kalau kau nak tahu, benar-benar nak tahu, pembunuhan pertama yang aku lakukan adalah pada umurku 8 tahun. Yang dibunuh itu adalah seekor katak. Aku sudah lupa katak jenis apa atau besar mana saiznya atau warnanya, tapi ia sememangnya seekor katak. Apa yang paling aku ingat adalah ia berada dalam keadaan terlentang, perutnya terburai, isinya terkeluar bersama darah. Melihat katak itu, aku kehairanan betapa darah yang keluar darinya begitu sedikit, betapa darahku jauh lebih banyak darinya, sehingga aku begitu teruja untuk menekan-nekan perutnya agar semua darahnya keluar untuk aku lihat. Sudah semestinya aku tidak berbuat begitu. Aku tak mahu mengotorkan tanganku. Juga, aku memikirkan tentang bagaimana begitu mudah ia mati—dua kali pukulan dan ia terus terlentang kaku—seolah-olah kewujudannya langsung tiada nilai. Sebentar tadi ia hidup, 5 saat kemudian ia mati; 10 minit kemudian ia akan dikerumuni semut, kemudian ulat; seminggu kemudian ia akan lenyap sepenuhnya sehingga tiada sesiapa yang akan sedar bahawa ia pernah berada di situ, di bawah pohon mempelam itu. Namun seperti aku bilang, umurku ketika itu adalah 8 tahun, maka bilamana aku melonjak dewasa dan memikirkan kembali kejadian itu, aku merasa aneh dan sedikit menyesal kerana apa yang aku fikirkan ketika itu adalah soal darahnya dan soal nihilistik kehidupan, bukannya soal belas kasihan dan simpati. Kerana itu kadang-kadang aku merasa bahawa aku ini seorang sadis. Namun, perasaan yang datang kadang-kadang tidak boleh diambil kira. Apa yang difikirkan oleh otak tidak boleh dijadikan hujah selagi ia tidak dimaterialkan.

Apapun, apa yang aku nak jelaskan di sini bukanlah soal darah itu atau sifat sadisku—yang mana aku bukan seorang sadis—atau senjata yang aku gunakan untuk memburaikan perutnya itu adalah sebatang kayu sepanjang kira-kira 20 inci atau ada seorang kawanku, juga 8 tahun, yang berada di sebelahku dan melihat perbuatanku itu dan tidak memberi sebarang komen samada sebelum atau selepas kejadian—hanya menjadi penonton. Apa yang aku nak jelaskan adalah kesan dan akibat yang aku perolehi kerana perbuatanku itu: beberapa jam selepas itu aku mendapat ruam pada lengan kananku. Sudah tentulah pada mulanya ia sekadar gatal-gatal, dan aku menggarunya dengan harapan ia akan hilang. Tapi, gatalnya tak hilang malah bintil-bintil—sepertimana yang terdapat di atas badan katak—semacam ruam mula timbul betul-betul di engsel siku aku. Aku pulang ke rumah dan emak aku lumurkan minyak gamat padanya. Oleh kerana ia tumbuh di engsel siku, aku susah untuk menggerak dan mengangkat tanganku. Untuk beberapa hari, aku hidup seperti seorang yang kecacatan tangan kanan.

Ruam itu muncul setelah aku membunuh katak itu, tetapi aku tak pernah tahu samada ia disebabkan oleh katak itu atau sesuatu yang lain. Yang pasti, pada usiaku 8 tahun itu, kala emakku memberitahuku bahawa ruam itu disebabkan katak itu, kerana aku telah membunuhnya, aku mempercayainya seratus persen. Pada usiaku 8 tahun aku sudah diajar soal balasan atas perbuatan yang kita lakukan. Emakku bilang, apa yang aku lakukan itu salah, dan setiap makhluk mempunyai nilainya yang tersendiri dan berhak untuk hidup, dan juga setiap yang kita lakukan ada balasannya: perbuatan baik akan dibalas baik, perbuatan jahat akan dibalas jahat, dan balasan itu boleh berlaku terus ataupun pada masa akan datang. Pokoknya, setiap perbuatan kita akan dicatat dan diaudit dan dinilai dan akhir sekali dibalas. Apa yang menimpaku itu boleh dikategorikan sebagai balasan perbuatan jahat yang dibayar terus.

Semenjak itu aku tak lagi membunuh katak, atau mana-mana kehidupan lain—cukuplah ruam di lenganku dan kegatalan yang berpanjangan menjadi iktibarnya—kecuali serangga. Kau tahulah: semut, kerengga, lipas, nyamuk. Aku, dari semasa ke semasa, masih membunuh serangga, dan tidak merasa bersalah melakukannya. Aku tak pernah fikir yang aku perlu rasa bersalah. Aku kira emak aku juga berpendapat demikian kerana dia sewenang-wenangnya menepuk semut atau nyamuk yang hinggap dan merayap pada lengannya. Bukan aku saja, bukan emakku saja, semua orang pun begitu. Semut, kerengga, lipas, nyamuk: kita langsung tak merasa bersalah jika melihat mereka mati. Kadang-kadang aku merasa hairan kenapa kita—manusia—boleh bersikap begitu terhadap serangga sedangkan mereka menghirup udara yang sama dengan kita, mereka membiak sebagaimana kita, mereka makan seperti kita, mereka bekerja seperti kita. Aku bukan seorang yang bijak, jadi aku tak tahu jawapan yang sebenarnya. Aku sekadar dapat simpulkan bahawa hidup serangga tidak bernilai. Betul atau tidak, aku tak tahu.

(preview) JAHAT - sebuah novel Syafiq GhazaliWhere stories live. Discover now