SUASANA masih juga kelam, walaupun matahari sudah terpacak, menerangi bumi.
Tingkap di dinding memboloskon hanya sedikit cahaya untuk melaluinya. Begitu kecil, sehinggakan ianya tak akan kelihatan sekali pandang.
Di dalam sini, cahaya bukan peranan yang penting. Lebih gelap, lagi bagus. Tiada siapa yang akan syak.
Di sebalik jeriji besi panjang berwarna biru yang makin pudar warnanya, samar-samar kelihatan sesusuk tubuh yang sedang duduk tersandar di penjuru kanan ruang kecil itu. Kelihatan tak ubah seperti bayang-bayang.
Kehadirannya tidak ubah seperti manusia halimunan.
Keseorangan tidak membuatkan dia terasa sunyi, malah selesa dengan suasana yang sebegitu. 5 tahun, dia ditemani kegelapan, kesunyian serta disimpan jauh dari pandangan manusia lain. Penjagaan rapi ruang itu, menjadi tanda tanya, apakah yang cuba dikawal seketat-ketatnya sehingga tiada siapa dibenarkan untuk mendekati, walaupun pengawal yang ditugaskan untuk menjaga.
Khabar angin yang bermula daripada salah seorang pekerja yang sesat, mulai tersebar luas. Tak ada siapa yang patut tahu, jadi ia kekal misteri hingga kini. Bermacam-macam spekulasi yang timbul, tapi tetap tidak menjelaskan apa yang sebenarnya disembunyikan oleh 'Tuan Besar' di sebalik bangunan itu.
Mungkin... harta warisan?
Mungkin juga... seseorang yang tak sepatutnya lahir ke dunia.
'Kriukkk'
Bunyi pintu besi dibuka, mengalihkan perhatian dia yang sedari tadi ralit membaca. Wajahnya diangkat, melihat pelawat setia sepanjang 5 tahun dia disimpan di sini. Seorang lelaki pertengahan umur, bercermin mata, tersenyum nipis menyapa pandangan. Seperti biasa, dia akan bangun dari kerusi panjang lalu melangkah ke arah meja kecil di tengah bilik yang tersedia bahan-bahan untuk pembelajaran hari ini.
Apabila lelaki itu melabuhkan duduk, dia sudah bersedia untuk menerima sebarang ilmu yang bakal dipelajari. Kalau semalam, tentang pengurusan masa... hari ni apa?
Mungkin dia patut bertanyakan soal keluarga pada Doktor Talhah. Tapi, tak. Belum masanya lagi.
Kotak empat segi berbalut cantik diletakkan penuh cermat di atas meja. Dia pandang lelaki tua itu pelik. Lelaki tua itu sekadar tersenyum manis, memperlihatkan garis-garis kecil di tepi mata.
"Happy 20th birthday, Syilya."
Ya. Mungkin juga lelaki tua itu betul. Dia genap berusia 20 tahun hari ini. Hakikatnya, masa sudah tidak penting lagi. Lama dia meninggalkan masa, hanya menghitung jumlah buku-buku di rak.
Dia ingat apa itu hari jadi. Hari di mana seseorang dilahirkan ke dunia dan setiap tahun ianya disambut dengan pemberian hadiah dan acara memotong kek. Itu, apa yang Doktor Talhah ajarkan, dan dia mengingatinya.
20. Entah betul atau tidak itu umurnya sekarang.
"Syilya masih ingat kan, hari jadi tu apa?"
Dia mengangguk.
Doktor Talhah turut mengangguk. Bukan kerana gadis di depannya bodoh, cuma ingin menguji sejauh mana reaksinya. Jauh lebih baik dari yang sebelum ini.
Andai dia bukan disimpan, pasti sudah jauh gadis ini akan melangkah pergi.
Sekejap saja lagi. Tuan Besar pasti akan mencari jalan.
"Kek tak ada?" Gadis itu menyoal, jelas kedengaran yang dia sekadar bergurau.
"Nanti, Syilya. Nanti."
Melihat Doktor Talhah tersenyum, Syilya juga turut menghiasi wajahnya dengan riak itu.
Dia senyum. Hanya Doktor Talhah yang tahu.
Dia menangis. Tiada siapa yang tahu. Malah, dia sendiri sudah tidak tahu bagaimana untuk menangis. Lagipun, tiada apa untuk ditangisi.
Dia... bukan anak kecil lagi.
Dia... anak yang kuat. Yang mendengar kata. Mungkin sudah lama, namun suara garau itu masih segar diingati.
Biar masa yang tentukan.
"Bukalah." Doktor Talhah menolak perlahan kotak berbalut itu ke depan. Setelah dibuka, ianya hadiah yang tidak asing lagi untuk dia.
Syilya Castiel tersenyum senang.
Ya, dia genap berusia 20 tahun hari ini.
※※※
*watak*
-Syilya Castiel
-Doktor Talhah
YOU ARE READING
FLAWS
RomanceSyilya Castiel Dia... dipinggirkan. Zayan Umar Dia... didambakan. (Your flaws aren't flaws to me)