Tuk! Tuk! Tuk!
Bunyi ketukan pada pintu bilik tidur menyebabkan lenaku terganggu. Aku toleh ke arah jam yang terletak di meja bersebelahan katil. Sudah jam 9.05 pagi, bisikku. Lantas selimut tebal berwarna putih yang membaluti tubuh, aku tarik dan dicampak jauh-jauh.
"Good morning," kataku kepada teman tidurku.
Senyap.
Aku toleh ke sebelah kiri dan hampa. Hampa kerana tubuh separa bogel teman tidurku sudah tiada. Hampa kerana sapaan selamat pagi-ku tidak berjawab. Hampa kerana tiada ciuman selamat pagi ataupun cumbuan atau pelukan. Hampa kerana aku hanya –
Aku malu, sendiri.
Tuk! Tuk! Tuk!
Bunyi ketukan pada pintu bilik tidur itu menganggu lamunanku. Rambut ikal separas bahu yang baru aku warnakan semalam, aku pintal-pintal. Sengaja, bukan bertujuan untuk menggoda sesiapa.
Blaus berwarna merah yang aku campak ke lantai malam semalam, aku kutip dan aku sarungkan pada tubuhku yang hanya bersalut coli dan panty berwarna hitam tanpa membutangkannya.
Aku tersenyum tanpa sebab.
Aku tinggalkan katil dan terus ke pintu. Klak. Tombol pintu dipulas dan seorang perempuan berdiri betul-betul di hadapanku. Wajahnya sedikit kaget melihat aku yang berpakaian seperti aktres Hollywood yang baru bangun dari tidur. Maklumlah, Malaysia.
"Kenapa?" soalku sambil tersenyum.
"Tuan, suruh bagi cik," katanya sambil menghulurkan sampul surat dan sekeping nota. "Tuan suruh cik breakfast dulu sebelum pergi," tambahnya.
Sampul surat berserta sekeping nota itu aku ambil dari tangannya. "Okay, thanks," ucapku. Senyum pada wajah masih lagi kekal.
Wanita itu mengangguk dan terus berlalu pergi. Mungkin dia mahu menyediakan makanan?
Pintu bilik aku tutup kembali dan bilik air menjadi destinasi aku.
Jam 10 pagi, aku tinggalkan rumah besar milik teman tidurku dengan pakaian yang sama seperti malam semalam.
Tiada siapa yang mengucapkan selamat tinggal kepadaku. Tiada siapa yang menunggu di pintu sambil memerhatikan aku melangkah pergi. Tiada siapa yang menangisi permergiaanku. Dan tiada siapa yang meminta aku untuk kembali ke rumah besar itu lagi.
Aku sudah biasa. Aku cumalah seorang penumpang yang datang tak diundang dan pergi tidak dihalau. Aku hanyalah seorang –
Sampul surat dan sekeping nota yang ditinggalkan teman tidurku, aku keluarkan dari poket belakang jeans. Isi sampul surat itu, aku belek-belek dan aku senyum sendiri. Ternyata teman tidurku begitu pemurah. Aku bersyukur lantas menyimpannya kembali.
Nota di tangan yang tertulis "Stay for another night, love" aku tatap. Aku tak berapa mengerti maksud bait ayat itu dan aku juga tak mengerti apa mahu penulis nota tersebut.
Aku bukan perempuan yang seperti itu. Aku bukan!
***
Bila langit malam menjelma, kehidupan aku bermula. Lampu jalanan yang melimpahkan cahaya oren sentiasa menjadikan aku bersemangat dan bertenaga untuk mencari manusia yang menginginkan teman.
Katakanlah, berapa sekali pun yang kau sanggup bayar. Aku tidak peduli. Aku bukanlah pekerja seks. Aku cuma seorang perempuan yang mencari teman tidur dan tempat untuk bermalam.
Aku bukan pelacur. Aku bukan –
Sebuah kereta yang aku tak tahu model apa, berhenti di tepi jalan tempat ku menunggu manusia yang sanggup mengutipku untuk dibawa pulang. Cermin tingkap kereta diturunkan dan sepasang mata berwarna coklat tua menjamah tubuhku dari hujung rambut ke hujung kaki.
Aku tersenyum.
Pemilik mata berwarna coklat tua itu pun tersenyum.
Aku menuju ke arahnya tanpa berfikir panjang.
"Bawa aku pulang, ke rumahmu," kataku.
Dia mengangguk, tanda setuju. Wajahnya mengukir senyum nakal.
Wajahku mengukir senyuman, tanda syukur.
Aku bukanlah perempuan murah atau pun pekerja seks. Aku cuma seorang perempuan yang memerlukan teman buat tidur dan tempat buat bermalam.
Tidak. Aku hanyalah perempuan yang merindui rumah. Dan aku menjumpai rumah dan juga sedikit kebahagian dengan cara ini.
Aku bersyukur.