"Daaaaannn!"
Ramadan tersentak dari lamunannya. Dia memandang sekeliling, mencari punca suara yang memanggilnya. Kelihatan kelibat ibunya, Mak Cik Zabedah Rustam menyinsing lengan berjalan ke arahnya.
"Kau ni lah Dan, termenung aje kerjanya! Dah dah, tolong mak pergi kedai Pak Tam, beli kelapa parut sebungkus. Mak nak masak gulai ikan tenggiri ni."
"Ala mak.. Suruhlah si Ros ke, si Raihan ke.. Dan tengah sibuk ni!"
"Kau sibuk buat apa..?? Mak tengok kau melangut je dari tadi. Dah dah, pergi tolong mak! Adik-adik kau ada kerja sekolah nak buat!"
Ramadan mencebik.
"Duitnya mana..?"
Mak Cik Zabedah menjeling. Dihulurkannya duit kertas berwarna biru nila kepada anak bujangnya itu.
"Aik? Singgit je..? Mana cukup maaaaakk."
"Ish kamu ni! Nak perasap mulut le tu! Apa nak jadi le kamu nii...!"
Mak Cik Zabedah menghulurkan lagi dua keping wang kertas berwarna biru nila. Benci tapi sayang.
Ramadan tersenyum. Lirih.
Mak Cik Zabedah hanya mampu menggelengkan kepala, sambil matanya menyoroti Ramadan yang menyarungkan selipar Jepunnya dan berlalu pergi. Berbaju tebal dengan hud yang tertulis 'Shi*t Happens. Why Despair?' di belakangnya. Berseluar pendek, berserabai bulu kaki yang mengerinting panjang.
Apa nak jadilah dengan kau ni Dan.
Ramadan Mubarak. Satu-satunya anak lelaki pasangan Mak Cik Zabedah dan Pak Cik Karim Ruslan. Mereka dikurniakan dengan lima orang cahaya mata; empat perempuan dan Ramadan seorang lelaki. Ramadan anak yang kedua.
Sindrom anak kedua. Serabut juga Mak Cik Zabedah dibuatnya.
Ramadan terutamanya, sebagai satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, ditatang bagai minyak yang penuh. Dia dimanjakan oleh Pak Cik Karim. Apa sahaja yang dipinta anak bujangnya itu, pasti akan dipenuhi olehnya. Sedangkan apabila anak-anak perempuannya meminta sesuatu daripadanya, dia akan berkira-kira dahulu. Kadang-kadang diletakkan kuota dan syarat untuk setiap permintaan. Ah dasar chauvinis.
Mujurlah Ramadan adalah seorang anak yang, err, bolehlah dikatakan taat dan baik. Luluslah ujian tahunan 'Anak Baik Lagi Comel' anjuran Taman Panda Gemilang, taman perumahan tempat tinggal Pak Cik Karim dan sekeluarga. Tidaklah pula Ramadan mengambil kesempatan atas kasih-sayang yang dilimpah-ruahkan oleh ayahnya itu. Ok kadang-kadang ada jugalah dia mengambil kesempatan, terutamanya ketika permainan aksi hidup Naruto baharu keluar di pasaran dahulu.
Mujur juga adik-beradik lain tidak berapa kisah dengan layanan yang diberikan kepada Ramadan. Jika tidak, pasti perang saudara sekali seminggu dibuatnya! Kakak sulungnya, Ramisah Maimun, pada mulanya agak cemburu juga pada Ramadan. Lama-kelamaan dia sudah boleh menerimanya. Adik-adik Ramadan yang selebihnya, Ruhani Mariah, Rosnah Maratib dan Raihan Markonah lebih rapat dengan si ibu, jadi tidaklah mereka begitu terasa dengan layanan istimewa Pak Cik Karim kepada Ramadan.
Semuanya berjalan dengan baik dan lancar untuk keluarga Pak Cik Karim. Pak Cik Karim yang bekerja sebagai seorang tukang masak di sebuah hotel terkemuka berupaya untuk menyediakan kehidupan yang selesa untuk seisi keluarganya. Tidaklah mewah, tapi bolehlah sekali-kala membawa mereka bersiar-siar di Bukit Bintang atau minum teh mutiara perisa strawberi.
Keluarga Pak Cik Karim adalah keluarga ideal yang dicemburui oleh para penduduk Taman Panda Gemilang. Dengan anak-anak yang comel-comel cantik-cantik dan baik-baik, dengan kehidupan keluarga yang harmoni dan gemilang kadang-kadang potong rumput bersama-sama di waktu petang sambil minum teh o ais limau, semuanya tampak sempurna dan baik-baik sahaja dengan keluarga Pak Cik Karim. Bak kata pepatah omputih, keluarga Pak Cik Karim adalah keluarga 'Happily ever after.' Ewah.
YOU ARE READING
Saya, Ramadan
HumorMengisahkan tentang Ramadan, seorang anak muda nakal yang cuba memaknai bulan Ramadhan. Nota: Ini juga karya lama. Maaflah asyik kitar semula karya-karya lama. Idea tak muncul tiba nak buat macam mana. Wahaha. InshaAllah nantikan karya yang lebih se...