PROLOG - BAB 2

637 15 0
                                    

PROLOG

Segalanya berlaku dalam sekelip mata. Darah memercik seperti bunga api. Maka, terbaringlah sekujur tubuh tidak bernyawa. Kemudian, derapan tapak kaki terdengar perlahan mendekati.

Sejurus itu, irama tetakan berkumandang lagi. Bertalu-talu bunyinya. Terdengar juga dengusan manusia yang kedengaran sedikit lelah. Bau hanyir mula meruap ke ruang udara. Menyebarkan rasa tidak menyenangkan di segenap ceruk dan ruang. Sedikit demi sedikit, ketulan daging kelihatan menggunung di dalam besen. Usai saja menetak, manusia itu menghela nafas panjang. Seperti puas melepaskan geram di hatinya.

Pembunuhan telah berlaku. Ya, dia membunuh. Tanpa ada belas kasihan. Dia sedikit pun tidak peduli akan tangisan anak perempuannya meraung hiba.

"Abah jahat! Abah bunuh Mail!" Si anak berkata dalam tangisan.

"Diam Sari!" Si ayah meningkah.

"Abah pembunuh!"

Tanpa mempedulikan apa-apa lagi, anak kecil itu meluru keluar lalu mengadu apa yang disaksikan olehnya sebentar tadi. Jiran tetangga pun sudah mula menjenguk ke luar rumah. Ada yang sudah cemas dengan apa yang dikatakan oleh anak kecil bernama Sari itu.

"Abah bunuh Mail! Abah bunuh kawan saya!" Tangisan Sari masih deras.

"Ali! Apa kau dah buat?" Mak Siti menjerkah dalam risau hatinya.

Ali, bapa si Sari melangkah keluar dari pintu rumah dengan darah bersisa di tangan. Jiran tetangga mula berkerumun, melindungi Sari. Ada yang membawa batang cangkul, ada yang membawa tukul, ada juga yang membawa penyapu. Ali memandang semua jiran sambil menggelengkan kepala. Satu keluhan panjang dan berat dia hembuskan.

"Sari, mari sini." Panggilnya dalam nada memujuk.

"Jangan kau berani sentuh anak kau! Pembunuh!" maki Mak Siti, jiran sebelah. Tubuh Sari didakap erat-erat. Ali mengeluh lebih berat lagi.

"Kamu semua tak tahu hal sebenar." Ali bersuara sambil melontarkan pandangan kepada semua yang ada di situ.

"Ahh! Jangan banyak cakap!" Tingkah Pak Mustakim, berang. "Mari kita tangkap dia!"

Tanpa membuang masa, jiran tetangga menyerbu dan menyerang Ali. Sari semakin kuat menangis. Jiran tetangga semakin buas. Pada masa itulah, isteri Ali muncul dengan wajah keliru dan terkejut. Di tangannya membawa barangan dapur yang baru dia beli di kedai berdekatan.

"Apa semua ni?" Si isteri bertanya separuh panik.

"Ali bunuh Mail!" Mak Siti memberitahu, yakin.

"Saya yang suruh, kak." Leha, isteri si Ali membalas lalu mengeluh.

"Sanggup kau, Leha?" Mak Siti terpempan. "Sanggup kau bersubahat membunuh kawan anak kau!?"

Kata-kata Mak Siti itu buat Leha geleng kepala seraya masuk ke dalam rumah. Tidak lama selepas itu Leha keluar semula bersama besen yang dipenuhi dengan longgokan daging. Jiran tetangga perlahan-lahan mendekati. Sesudah itu, mereka saling berpandangan. Malah ada yang berbisik-bisik.

Tidak lama kemudian semua mereka mengorak langkah pergi sambil mengeluh kecewa. Malah ada yang marah-marah. Rupanya Ali sudah menyembelih seekor ayam yang dinamakan anaknya sebagai Mail.





(Preview) CINCANG: DENDAM TERBALASWhere stories live. Discover now