Kau tahu,
Manusia kini,
Ibarat buih di lautan
Terbang berasingan, tanpa ikatan
Tidak terikat oleh muafakat,
Jadi terlerai dek rasa hasad
Buat sekian kalinya, dia merenyuk kertas yang berintikan puisi itu. Bait-bait puisi itu merupakan luahan rasa hatinya sendiri. Hatinya sakit. Atmanya menjerit. Sampai bila semua ini bakal berakhir? Dia juga tidak tahu jawapannya. Hanya dia yang tahu bagaimana rasa hatinya. Rasa sakit yang baginya boleh membunuh bak barah yang tidak henti memamah.
Sungguh dia tidak mengerti. Atas nama apa seluruh keluarganya digadaikan? Atas nama apa nyawanya bakal dipertaruhkan? Dendam yang terkejam pada abad ini. Itu yang sering diwara-warakan oleh bapa angkat yang selama ini membesarkannya. Tidak pernah dia sangka, dia dibesarkan untuk menjadi senjata kepada perang dendam antara bapa angkatnya dan kerajaan Loptiniks.
Hampir 25 tahun dia membesar di luar negara. Sejak bayi, tidak pernah sekalipun dia merasai walaupun setitik susu ibunya. Kata Lennon Matrix yang merupakan bapa angkatnya, dia dibuang oleh ibu kandungnya sebaik sahaja dia lahir ke dunia. Hatinya sangat terluka dengan kenyataan itu membuatkan dia tidak langsung bertanya lagi atas salah apakah dia diperlakukan sedemikian oleh ibu kandungnya sendiri.
“Dennis? Awak di dalam?” Mendengar sahaja suara itu, dia langsung menyimpan semula kertas yang sudah berjuta kali direnyukkannya ke dalam laci meja kerjanya. Ya, dia mempunyai banyak nama dan di kerajaan Loptiniks ini, Dennis Lapricorn namanya. Entahlah, dia sendiri tidak pernah tahu yang mana satu nama asalnya. Sekurang-kurangnya, itu yang tercatat pada kad pengenalan palsunya sementara tugasnya di Loptiniks belum diselesaikan.
Sebaik sahaja kertas itu selamat disimpan, terdengar suara seorang wanita memanggilnya keluar makan. Dia mengenali wanita itu sebagai Damia Estacelle, warga Loptiniks yang turut ditindas oleh pemerintah kerajaan tersebut dan dia sebagai seorang manusia, berasa bertanggungjawab untuk membantu manusia lain yang ditimpa kesusahan.
Loptiniks bersempadan dengan kerajaan Sampuria dan kerajaan Fabiliks. Kata Lennon, Loptiniks merupakan tanah kelahirannya, namun sejauh mana kebenarannya dia juga tidak pasti. Dia sendiri malas hendak menggali kebenaran mengenai status dirinya lantaran dia juga sudah tidak peduli lagi.
Bersatu kita teguh,
Bercerai kita roboh,
yang ringan sama dipikul,
yang berat dijinjing sama,
sepakat membawa berkat,
belum sempat lagu nada dering telefon bimbitnya berhenti, dia sudah menekan punat hijau pada telefon bimbit itu terlebih dahulu. Dia sempat menjeling sekilas pada nama yang tertera di skrin telefonnya sebelum dengan pantas menekapkan telefon tersebut di telinganya. ‘Ayah Lennon’, itulah nama yang terpapar sebentar tadi, membuatkan Dennis tidak mahu bertangguh walaupun sesaat untuk mendengar suara bapa angkatnya itu. Dia yakin ada perkara penting yang ingin disampaikan lelaki separuh abad itu kepadanya kerana lelaki itu memang sangat jarang menghubunginya jika tidak ada sebarang kepentingan.
“Dennis, aku tak puas hati dengan kerja kau. Kenapa kau tak bunuh sahaja bajingan itu? Kenapa perlu kau buat begitu? Aku dah pesan awal-awal supaya bunuh sahaja dia, bukan?” Tengking Lennon sebaik sahaja panggilannya bersambut.
“Ya, saya faham, ayah. Tetapi kita tidak boleh membalas dengan cara itu. Hutang darah tidak seharusnya dibayar dengan darah. Jika begitu sampai bilakah semua ini akan berakhir? Saya tidak mahu orang yang tidak bersalah turut menjadi mangsa. Lagipun, saya yakin bahawa keputusan saya untuk menyerahkan Kadlo kepada pihak berkuasa merupakan keputusan yang tepat. Dengan cara ini, rakyat akan ingat akan semua kejahatan yang dilakukannya. Jika kita bunuh dia, pasti kejahatannya tidak dapat dibongkar. Ayah jangan risau. Saya ada cara saya sendiri.” Ujar Dennis. Tegas.
YOU ARE READING
Wira Loptiniks
ActionHye, Alls.. Act, cerpen ni merupakan kerja sekolah yang diberi oleh guru saya yang tercinta. Maka, laras bahasanya agak berbeza sbb kena mengikut format peperiksaan yang betul. So, this one memang gaya penceritaannya agak kurang santai. Anyway, the...