CUCUK kek ikan, cucuk udang, cucuk kerang... akhir sekali Jia cucuk-cucuk lapis kuetiau goreng hingga tebal dengan garpu yang sama. Angkat garpu sekali dengan angkat muka yang sedang tersenyum puas. Kecur liurnya bila nikmat gabungan empat rasa itu dah terasa bergulung-gulung di atas lidah. Semasa dia menganga nak menyuap kuetiau goreng itu ke dalam mulut, baru Jia perasan Rizal yang duduk berhadapan dengannya sedang ralit merenung dia. Muka senyum tak senyum Rizal pamerkan. Pantas Jia katup semula mulutnya.
"Tak pernah tengok aku makan kuetiau guna garpu ke?" Jia buat muka, langsung tak jadi makan. Malu kena tenung macam tu di dalam restoran yang sesak dengan pengunjung.
"Selalu."
"Habis tu... yang kau tengok aku macam tu kenapa?"
"Geram."
Erk! Ada yang nak kena simbah dengan air sirap limau ni nanti...
"Jangan ngada-ngada boleh tak?" Jia menjeling. Baru kali pertama dating, Rizal dah tunjuk gatal. Cara Rizal sebut geram dan cara Rizal pandang Jia semasa dia sebut geram, bukan kata Rizal geram sebab marah Jia makan tak senonoh. Memang geram gatal, hokeh!
"Dah memang aku geram kat kau, nak buat macam mana?"
Tak tentu hala Jia Rizal buat. Selalunya Jia tak rasa begini. Sebelum ni kalau Rizal cakap yang bukan-bukan, Jia tak pernah rasa apa. Jia sekeh kepala Rizal lagi ada. Mengada-ngada sangat cakap kat Jia macam dia cakap kat makwe dia kan... . Tetapi petang tu Jia rasa sangat malu dan Jia rasa sangat tak selesa.
Jia terus toleh ke arah tukang masak, cari topik lain untuk bersembang. "Mana makanan kau ni? Kenapa tak sampai lagi? Kau order apa? Daging gajah ke?"
"Biarlah. Dapat aku tengok muka kau puas-puas."
"Kau ni dah kenapa hah, Rizal? Dah buang tebiat ke?" Jia pandang Rizal. Mula naik geram. Yang ini gerenti geram marah. Kening berkerut, pelik dengan perangai terlebih gatal Rizal petang tu. Mamat ni terpegang miang buluh ke apa tadi sebelum dia datang ambil aku?
"Taklah. Aku nak cakap aku sayang sangat kat kau."
"Ya Allah... jebon betullah cakap kuat-kuat kat sini," bisik Jia sambil gigit-gigit kuku. Mata tengok kiri dan kanan. Mujur orang di situ semua buat hal sendiri, tak menyibuk hal orang lain. Kalau tidak... mana dia nak sorok muka?
"Ikutkan hati, aku nak jerit kuat-kuat supaya semua orang tahu yang aku sayang sangat pada kau."
"Kau jeritlah! Aku lempang muka kau nanti!" Jia bagi amaran. Lepas tu dia sedut minuman laju-laju. Mata pandang merata. Gabra.
"Aku rela kau lempang aku, Jia."
"Kau ni dah kenapa, Rizal? Jangan buat aku risau, mangkuk..." Jia hempas gelas minumannya di atas meja. Habis terpercik air ke tangan. Muka memang risau habis. "Aku rasa tak jadilah aku nak jadi girlfriend kau. Kita kawan biasa baliklah!"
"Okey. Tapi nanti, kau tolong carikan aku girlfriend satu," kata Rizal, selamba.
Terkebil-kebil mata Jia pandang Rizal. Dia acah-acah ugut saja tadi. Tak sangka pula Rizal serius. Tertanya-tanya dalam hati Jia, kiranya dia orang ni macam mana? Dah putuslah, ya?
YOU ARE READING
Sayang Sangat
ChickLitJia rimas bila emaknya membebel tanya bila dia nak kahwin. Jodoh tu kan Allah yang tentukan? Belum sampailah tu. Dah sampai nanti, Jia kahwinlah. Satu hari tu, Rizal ajak dia jadi couple. Padahal dia orang kawan baik. Kamceng habis. Tapi hari pertam...