Aku tidak tahu mengapa hidup ini terlalu sial. Mahu dituduh Tuhan tidak adil? Masakan aku masih bernafas dan dikurniakan nikmat. Aku makin tidak mengerti dunia apa yang sedang aku duduki. Mungkin dunia sudah di penghujungnya? Atau mungkin aku sahaja yang makin naik gila. Ya, aku gila. Gila kerana seorang makhluk Tuhan yang telah aku kenal. Seorang gadis itulah yang telah datang dan pergi meninggalkan sial pada diri aku. Celaka kau makhluk durjana! Aku pasti dendam akan sentiasa memberkas dalam diri aku hingga akhir nyawa aku!
***
2 Mei 2015Sedang aku menghirup kopi O panas, aku didatangi seorang gadis. Ya, gadis yang alis matanya cantik, bulu matanya lentik, bibir merekah bak delima merah, tahi lalat di hujung bibir sebelah kiri, keningnya lebat hitam pekat, rambut pula tersanggul rapi. Begitu sempurna walau siapa pun melihatnya pasti terpikat. Dia duduk di kerusi depan aku. Aku cuma menjadi penonton pasif memerhati setiap rentaknya. Lirik senyumannya dilemparkan kepada aku. Aku cuba mengawal nafsu serakah ku dan merangkak kembali ke alam nyata. Aku balas dengan senyuman yang menampakkan gigi kuning aku. Jika dilihat, mana mungkin aku dan dia boleh jadi pasangan yang sepadan. Aku hentikan lamunan dan bertanya siapa kah beliau dan niat mendekati aku.
Namanya Julia. Usianya lima tahun muda dari aku. Ternyata sangkaan aku meleset. Pada awalnya aku sangkakan dia cuma mahu menggoda aku untuk menyertai bisnes Tun Eksel nya. Mahu juga aku tolak bulat-bulat jika itu niatnya. Sebetulnya, Julia cuma tertarik untuk berkenalan dengan aku. Cuma mahu bertambah kenalan, katanya. Aku terima saja memandangkan mahu juga aku menayang kenalan baru aku itu di depan kawan-kawan seofis aku. Bermimpi untuk membuat mereka cemburu!
Setelah agak lama berbual dan telah lama dijeling tuan kedai, kami berdua putuskan untuk pulang. Aku bingkas bangun membontoti Julia ke keretanya. BMW. Sudah pastinya bukan orang sembarangan. Julia menghulurkan kad bisnesnya. Tertera nama Julia binti Dato' Hasan, CEO Bentara Holding, syarikat ternama di tengah kota Kuala Lumpur. Tangan aku terketar-ketar jadinya. Aku keluarkan kad bisnes dari wallet di kocek seluar. Aku tertunduk malu kerana jawatan aku yang tidak seberapa di syarikat aku bekerja. Julia ketawa kecil melihat aku. Ya, sungguh aku malu. Dan ketika ini jugalah aku menyumpah dalam hati kerana tidak belajar bersungguh-sungguh di sekolah dahulu. Julia sudah masuk ke dalam perut kereta. Tingkap di buka dan tangannya membuat tanda "Call me". Kami membalas senyuman masing-masing sebelum deruman enjin kereta Julia hilang dalam lautan kereta tengah kota.