Aku duduk bersendirian dengan penuh kebosanan. Mengetahui berita yang baru ku ketahui betul – betul merobek dan melukai hatiku ini. Kenyataan yang harusku telan kini hanya mampu tersangkut di kerongkongku sahaja kerana aku masih tidak dapat menerima kenyataan yang berlaku. Aku lebih rela tidak harus mendengarinya dahulu daripada kecewa sebegini rupa. Apa yang berada di fikiranku sekarang hanyalah mahu melupakan segala yang berada di memori ingatanku. Memori tersebut begitu menghantui hariku sehingga ku sedar rakan – rakan sedar akan perubahan sikapku kebelakangan ini.
Namun, hal itu tidak ku ambil peduli. Aku lebih rela mendiamkan diri dan bersembunyi daripada menerima kenyataan itu. Ku masih lagi teringat peristiwa itu. Saat itu aku baru sahaja pulang daripada sekolah agak lewat kerana terdapat aktiviti kokurikulum yang wajib aku hadiri. Basikal tua milik ayahku dahulu ku sandarkan ke tepi rumah dan membuka kasutku yang sudah using itu. Keluargaku bukanlah orang berada jadi hakikat itu harusku terima seadanya. Ayahku hanyalah seorang nelayan yang turun ke laut bila fajar menjelma. Ibuku pula hanyalah mengambil upah mencuci baju milik orang berada. Kenyataan bahawa diriku ini hanyalah anak seorang nelayan tidak ku peduli kerana aku mensyukuri setiap pemberian Tuhan kepadaku. Ku lebih rela menjadi anak seorang nelayan daripada menjadi bongkak serta angkuh seperti rakan – rakanku di sekolah yang selalu berlagak dengan kemudahan yang mereka peroleh daripada penat lelah ibu bapa mereka.
Aku terlihat motosikal milik ayah sudah ada di hadapan rumah. Ini bermakna ayah sudah pulang daripada menjual hasil tangkapannya di pasar. Aku begitu gembira dan dengan segera melangkah pantas menuju ke dapur kerana aku begitu lapar. Di sekolah aku hanya menahan perutku yang lapar kerana tidak mahu membazir. Namun langkahku terhenti. Suara pertengkaran dapatku dengari. Segala isi pertengkaran ku dengar dengan teliti. Di sinilah episod duka menghantuiku sehingga kini.
“Anak pembawa malang itu harus keluar dari rumah ini dengan kadar segera,” suara ibuku memecahkan suasana.
“Dia tetap anak kita walau apapun yang berlaku,” ayah mempertahankan pendapatnya.
“Dia bukan anak kita dan saya tak akan pernah menerima dia,” ibu meninggikan suaranya lagi.
“Sejak peristiwa itu kenapa awak berubah 180 darjah?” tanya ayah penuh kehairanan. Aku menjadi pendengar setia di setiap isi pertengkaran.
“Kerana dia anak kandung kita pergi kerahmatullah,” jawab ibu dengan esakan tangisan.
“Ini semua sudah kehendak-Nya dan kita yang hidup haruslah merelakan dia pergi,” ayah menegur ibu. Aku masih tidak mengerti apa yang kedua orang tuaku maksudkan. Oleh itu, aku mengambil keputusan untuk terus mencuri dengar lagi.
“Tapi kalau dia tak ada semua ni tak jadi sebegini,” luah isi hati ibu.
“Esah, terimalah hakikat umurnya hanya setakat itu sahaja dan jangan awak ratapi lagi yang sudah kembali ke kepada sang pencipta,” tegur ayah kepada ibu lagi.
“Saya tak peduli dan bagi saya Shira penyebab semua ini berlaku,” kata ibu. Aku terkejut dengan apa yang telah ibu perkatakan. Adakah ini disebabkan pemergian along setahun yang lalu? Adakah ini juga penyebab ibu kurang mesra dengan diriku selama ini?
“Shira anak kita dan tak patut awak berkata sedemikian,” marah ayah.
“Shira bukan anak kandung kita dan entah di tong sampah mana awak pungut pun saya tak tahu,” kata ibu membuatkan aku tersentak. Apakah itu benar?
Aku bagai jatuh ditimpa tangga rasanya. Luka kerana ibu menuduh aku penyebab along meninggal bertambah apabila mengetahui aku bukanlah anak ibu dan ayah yang sebenarnya. Air mata ku pantas mengalir ke pipi. Kemudian, aku dikejutkan dengan bunyi tamparan. Aku memerhati dengan segera. Ibu memegang pipinya yang kemerahan. Aku tidak tahan lagi lalu terus melangkah keluar dari rumah dan menuju ke pantai.
Ya, pantai yang aku berada sekarang inilah merupakan tempat aku tuju setelah mendengar segala – galanya. Cerita sebenar yang telah ibu dan ayah sembunyikan. Namun, aku tak menyangka bahawa kepergian along demi menyelamatkan aku daripada samseng – samseng kampungku setahun yang lalu menimbulkan perasan benci ibu terhadap diriku ini. Aku juga tidak mahu along pergi sebegitu sahaja namun sudah suratan dan takdir tertulis sebegitu jadi ku menerima itu dengan lapang dada.
“Shira, apa kau menungkan tu?” tanya sahabat karibku Huda.
“Apa kau cakap?” tanyaku semula gara – gara sibuk berkhayal.
“Kau ni, dah cepat pergi dewan sekarang sebab keputusan SPM kita dah nak diumumkan,” kata Huda dan segera menarik tanganku kearah dewan di mana keputusan SPM kami bakal diumumkan.
Aku berasa gemuruh dan resah. Aku yakin aku telah melakukan sebaik mungkin namun aku khuatir konflik yang ku alami mengganggu konsentrasiku ketika menjawab peperiksaan awam itu dahulu.
“Apa hal muka kau pucat semacam ni?” tanya Huda lagi.
“Gemuruh,’’ jawabku sepatah.
Kini ku lihat satu per satu pelajar ke hadapan setelah guru mengumumkan nama mereka. Aku menanti penuh debaran. Ketakutan dan kerisauan bersatu di hatiku seolah – olah mahu memerangkapkan aku di dunia negatifku. Namun, ku segara mempositifkan diriku kerana aku dah berjanji kepada diriku dahulu bahawa aku akan mendapatkan keputusan yang cemerlang demi membalas kebaikan kedua – dua ibu ayah angkatku. Meskipun ayah dan ibu tidak tahu bahawa aku sudah mengetahui perkara sebanarnya, aku tetap berkelakuan seperti biasa sekarang setelah dapat menerima hakikat itu.
“Shira Lailani Binti Ahmad Daud,” ku terdengar namaku dipanggil.
Aku melangkah penuh debaran ke hadapan. Jantungku berdegup kencang seakan – akan bakal tercabut sebentar nanti. Nafas ku turun naik apabila melihat guru – guru memandangku serius. Adakah ini bermaksud aku telah gagal? Oh, aku tidak mahu itu berlaku. Setelah sampai di hadapan guru yang memberikan keputusan SPM, aku segera menyambutnya dan melihat keputusanku.
Air mataku bergelinangan dan memeluk guru di hadapanku. Cikgu Sufiah hanya tersenyum dan aku segera berlalu. Huda setia menanti diriku untuk mengetahui apakah keputusan SPM ku. Aku menyerahkan slip keputusanku dan Huda terkejut melihatnya.
“Ya Allah, tahniah Shira,” kata Huda dan aku terus memeluknya.
“Kau macam mana?” tanyaku kepada Huda. Dia menyerahkan slip SPM nya dan aku segera meneliti.
“Tahniah,” ucapku setelah melihat keputusannya. Huda mendapat 5 A dan 4 B dan itu merupakan satu keputusan yang cemerlang.
“Aku mahu menunjukkan kepada orang tuaku,” kata Huda dan segera melambaikan tangannya sebelum pergi meninggalkanku.
Aku pun mengambil langkah untuk pulang ku rumah untuk menunjukkan keputusanku itu. Aku punya satu harapan setelah menunjukkan slip ku itu. Semoga apa yang ku harapkan akan dapat aku kecapi. Hanya itu sahaja yang mahu. Aku berjalan dengan gembiranya sambil memegang erat slipku. Aku berjalan dan terus berjalan. Berbagai bayangan muncul di birai mataku. Senyuman kegembiraan terpancar di wajahku.
Aku terkejut apabila melihat ibu berada di seberang jalan sedang membeli sesuatu di gerai milik Mak Leha. Aku menjerit nama ibu dan berlari menuju ke arahnya. Namun, malang tidak berbau. Sebuah kereta melanggarku. Aku dapat lihat ibu memandangku dengan wajah terkejutnya. Aku rebah di jalan dan tidak mampu untuk bergerak. Aku terdengar suara – suara insan yang menjerit terpekik terlolong.
Saat itu juga ku rasakan satu tangan lembut mengangkat kepalaku. Ku perhatikan itu ialah ibu. Aku memberikan slip yang masih ku pegang erat di tangan kananku. Meskipun slip itu penuh darah aku dapat melihat ibu menelitinya dengan tekun. Ibu memandangku dengan mata yang bergenang. “Tahniah kerana mendapat semua A, Shira,”kata ibu angkatku kemudian memberikan senyuman yang telah lama tidak ku lihat. Senyuman manis yang menghiasi wajah ibulah yang ku harapkan. Aku mahu mendapatkan keputusan itu demi secebis senyuman. Senyuman itu yang aku harapkan. Aku tersenyum dan terus rebah. Ketika itu dapat ku rasa takdirku setakat di sini sahaja.
YOU ARE READING
Secebis Senyuman ✔
Teen FictionHanya kerana secabis senyuman yang ingin dilihat. Dia sanggup melakukan apa sahaja kerana itu. Dia mahu wajah tersebut terus tersenyum. Rasa benci yang meluap - luap itu ingin dia padamkan. Mampukah dia melakukannya?