Syarat Menantu Mak Haji

3.1K 26 12
                                    


1997.

"Pertama, dia mestilah lebih tua daripada kamu. Perempuan lebih matang daripada lelaki. Takut kamu akan sentiasa nampak lebih tua pula daripada dia."

Ain diam.

"Kedua, pelajaran dia mestilah lebih tinggi ataupun sekurang-kurangnya setara dengan kamu. Kalau kamu ada diploma, dia mesti ada ijazah, sarjana, ataupun sama-sama diploma. Takut nanti apa-apa hal, kamu lebih pintar daripada dia. Dan takut timbul isu gaji kamu lebih banyak daripada dia."

Ain diam lagi.

"Ketiga, dia mestilah lelaki bujang. Suami orang tidak boleh. Duda juga tidak boleh, kerana kita tidak tahu apa sebab dia bercerai dan kalau isterinya masih hidup, pasti timbul masalah."

Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak. Kata-kata Mak Haji bagaikan ditelan udara.

***

2006.

"Bila mahu perkenalkan calon suami kamu kepada emak dan ayah?"

Ain diam, seperti biasa.

"Sudah adakah ataupun belum?"

Ain hanya menggeleng.

"Emak pun boleh carikan."

Kali ini Ain merespons.

"Tak perlu. Biar saya cari sendiri."

Giliran Mak Haji diam.

Dan Pak Haji pula bersuara, "Umur ayah sudah 66 tahun. Ayah takut tak sempat."

Ain kembali diam.

***

2013.

"Susahnya, kakak. Nama yang ada dalam senarai saya, semua rejek."

Dahlia diam. Dia hanya merenung wajah kusut Ain.

"Ibu bapa saya memang tidak pernah tahu sejarah perhubungan saya dengan mana-mana lelaki. Fatih, Rizman, Afiq, semua tidak pernah saya kongsikan. Bukan cara saya berkongsi cerita hati dengan ibu bapa yang sukar memahami anak sendiri."

Ain menarik nafas panjang. Dia masih menunduk, tidak memandang terus wajah Dahlia.

"Kalaulah mereka tahu, semua kategori lelaki yang dilarang itu pernah berada dalam hati saya...."

Dahlia menyampuk, "Dan sekarang, Ishqi. Lebih muda tujuh tahun daripada kamu."

"Ishqi hanya kawan sepersatuan, kak."

"Kakak suka lihat kamu dengan dia."

"Kalaulah ibu saya bersikap seperti kakak...."

"Mak Haji hanya mahu lihat anaknya bahagia. Itu sebab diwujudkan syarat-syarat yang ketat."

"Tetapi itu bukan syarat Islam, kak."

Dahlia senyum. Dia memegang bahu Ain yang wajahnya belum reda daripada mendung.

"Dan syarat-syarat ibumu itu juga tidak menyalahi syariat."

"Di mana mahu cari lelaki pada zaman ini yang menepati syarat-syarat itu? Dalam usia saya hampir mencecah 40 ini, hanya lelaki-lelaki yang sudah berkahwin sudi mendekati."

"Dan yang lebih muda?"

Ain tersenyum tawar, dan mengangguk.

"Ishqi cukup semuanya melainkan tahun kelahiran."

"Walaupun dia lebih muda, tetapi dia sudah masuk usia 30. Sudah boleh dikira matang."

"Ibu saya tidak kirakan itu."

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 15, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Syarat Menantu Mak HajiWhere stories live. Discover now