Samad gelisah. Malam ini sudah empat malam Samad didalam kegelapan,elektrik terputus dek bencana yang melanda kampungnya. Bencana yang melanda kampungnya sudah semakin reda,namun bencana sama yang melanda ibu daerahnya yang menyebabkan pencawang elektrik besar yang membekalkan elektrik ke seluruh daerah turut terlibat sama,menyebabkan kampung Samad turut bergelap. Ini bukanlah kali pertama Samad terlibat didalam bencana ini,namun ibu daerahnya tidak pernah mengalami bencana itu menyebabkan semuanya kelam kabut.
Kalau mengikut darah mudanya,mahu sahaja Samad menyeranah kepada pihak berkuasa tetapi minda usia lewat 20-an Samad ditambah pula dengan statusnya sebagai bapa dengan dua anak telah merasionalkan fikiran Samad yang tidak tahan dengan tangisan anaknya yang takut tidur didalam gelap.
"Haisha,awat tak buat pencawang tu dekat tempat tinggi? Kasihan anak aku menangis ni. Bila malam saja menangis", Samad bermonolog didalam hati. Namun Samad sedar siapalah dirinya ini,hanya orang kampung biasa yang membanting tulang belakang di sawah,masakan pihak berkuasa hendak dengar pendapat marhen macam dirinya.
Samad terkebil-kebil didalam gelap dengan ditemani dengkuran kecil isterinya disisinya. Anaknya sudah tidur selepas dipujuk oleh Samad.Tiba-tiba,Klik! lampu terpasang.....
Hampir sahaja Samad melompat ke bulan kerana bekalan elektrik sudah pulih,terbayangkan telefon bimbitnya yang sudah tiga hari kehabisan kuasa,ingin ditonton televisyen dengan sepuas hati,ingin tidur dibawah kipas,hatinya berbunga apabila melihat sinaran lampu kalimantan di rumahnya. Namun semuanya kembali gelap dalam masa 10 saat,Samad tergamam,hancur musnah impian dan harapannya.Kali ini usia dan status Samad sebagai bapa dua anak hancur di tangan darah mudanya. Samad menyeranah sekuat dan sepenuh hati.