Suri Cempaka

35 4 1
                                    

Kerlipan indah bintang malam ini memukau sukma. Cahaya rembulan yang bersinar menjadikan malam sedikit terang. Bunyi bising di sebalik kamarku sedikitpun tidak kuhiraukan. Pasti ibu dan pakcik bertengkar lagi.

"Aku mahu dia berambus dari sini." Suara pakcik kedengaran garang.

Aku menapak perlahan dan menekapkan telingaku rapat ke dinding. Siapa yang pakcik maksudkan itu? Siapa yang mahu diusir?

"Tapi dia anak saya, bang." Suara ibu kudengar sedih.

Kini aku tahu siapa yang pakcik maksudkan. Ya, memang sudah lama pakcik bencikan aku. Apa pakcik ingat aku suka padanya? Huh, sejak ibu berkahwin dengan pakcik tidak pernah sekali pun dia cuba untuk rapat dengan ku. Aku juga begitu. Pakcik sudah merampas ibu dan kasih sayangnya.

Memang ibu tidak pernah menunjukkan benci kepadaku tetapi ibu sering kali tidak menghiraukan aku. Aku bagaikan terbuang dalam keluargaku sendiri. Asing sekali aku dalam rumah ini. Lagi-lagi jika Intan ada di rumah.

Intan - adik tiriku. Baru berusia 13 tahun. Dia juga tidak menyukaiku. Dia lebih rapat dengan ibu. Maklumlah, anak bongsu. Segala yang diinginkan akan dipenuhi. Pakcik terlalu manjakan Intan. Cuba saja jika aku yang meminta? Ya, pasti dapat. Bukan dapat apa mahuku tetapi dapat maki.

Pernah sekali aku meminta ibu belikan aku selipar baru kerana selipar aku yang lama sudah putus talinya. Bila pakcik dengar terus saja dia memarahi aku. Katanya aku sengaja memutuskan selipar itu.

'Huh, sakit hatiku.'

***
Pagi itu pakcik memanggilku. Bicaranya baik sekali. Buat pertama kalinya aku merasa bahagia. Pakcik tidak memanggilku dengan panggilan 'tempang' tetapi dia memanggilku dengan namaku sendiri.

Tempang - panggilan pakcik dan panggilan orang kampung terhadap diriku. Ia kerana aku tidak dilahirkan normal seperti orang lain. Aku dilahirkan dengan sedikit kecacatan fizikal. Bukan aku meminta untuk dilahirkan begini. Kakiku yang tempang sebelah kanan dan jari tanganku yang bercantum membuatkan aku lain dari mereka yang normal.

"Suri ikut pakcik ya hari ini?" Suara pakcik kedengaran tidak kasar dan garang seperti selalu.

Aku hanya mengangguk. Aku tidak mahu membantah. Mungkin ini peluangnya untuk aku berbaik dengan pakcik? Bolehlah aku merasa kasih sayang seorang ayah. Sudah lama aku tidak merasakannya. Ayah kandungku pergi saat usiaku baru mencecah 7 tahun. Ayah sangat sayangkan aku walaupun aku tidak sempurna seperti anak-anak lain.

"Hendak dibawa kemana si Suri tu, bang?" Soal Ibu. Pandangan aku dan ibu bersatu.

"Ke laut. Boleh dia belajar. Terperuk saja di rumah, dapat apa?" Jawab pakcik.

Aku hanya menjadi pendengar. Nasi lemak buatan ibu sudah separuh aku habiskan. Sambal tumis ikan bilis memang membangkitkan seleraku. Suapanku terhenti apabila pakcik sudah bangun dan mengajakku segera ke lautan. Aku tidak membantah secara lisan tetapi hatiku sedikit merungut. Sudahlah nasi lemak belum habis dijamah, air milo panas pun tidak sempat kuhirup.
***
Cuaca pagi itu tenang sekali. Setenang hatiku. Dayungan sampan pakcik akhirnya sampai di tempat yang dituju. Jala yang terbiar dari tadi kucapai dan aku betulkan simpulannya lalu kulempar ke dalam laut. Aku menanti dengan sabar. Jala itu semakin lama semakin tenggelam.

'Harap-harap dapat banyak tangkapan hari ni.' Doaku dalam hati.

Sedang aku leka memerhati jala yang barusan aku lemparkan, dengan tiba-tiba tubuh ku terasa ditolak. Aku tercebur dalam air laut. Tercungap-cungap aku mencari nafas. Aku cuba melonjakkan diriku ke arah sampan pakcik yang teroleng-oleng itu tetapi hampa. Sisi perahu kayu itu hanya sempat kutepuk dari luar dan aku semakin ditelan ke dalam gelora lautan ini.

Kulihat pakcik tertawa terbahak-bahak pabila melihat aku terkapai-kapai kelemasan. Fizikalku yang lemah membuatkan aku tidak dapat bertahan lama. Aku semakin tenggelam dan perahu pakcik kulihat semakin menjauh. Sampainya hati pakcik buat begini kepadaku.

Suri CempakaWhere stories live. Discover now