SETELAH menulis waktu kedatangannya di pejabat, Julia berjalan pantas ke bilik guru. Mengingati waktu pertama, dirinya tiada kelas, Julia jalan berlenggang.
Control ayu! Itu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan keadaan Julia sewaktu berjalan.
"Pewittt!" Cikgu Razak yang boroi dan meniti waktu untuk pencen menegurnya.
Julia senyum kelat. Lelaki tua ni nak buat apa? Buang karan betul. Tak ingat diri tu dah isyak ke?
Julia hanya berani melontarkan kata-kata tersebut di dalam hatinya sahaja.
Takkan nak cakap depan-depan. Diadunya pada pengetua, terus aku kena buang kerja. Mana pulak Si Zaini ni? Dibuatnya hari ni dia ada kursus ke... bawak budak kat mana-mana ke... buat rugi aku pakai cun hari ni. Baju cun lain mana ada!
Julia tiba di bilik guru. Matanya melilau memandang tempat duduk guru-guru lelaki. Tiada kelibat Zaini di situ.
Aku buat kerja dululah. Kalau dah jodoh nampak dia hari ni, tak ke mana, kan? Julia memujuk hatinya sendiri. Buku rekod mengajar dikeluarkan dari beg. Julia tekun menulis rancangan pelajaran harian untuk hari itu. Ingatan Julia terhadap Zaini hilang seketika.
Perut Julia berbunyi minta diisi. Jam sudah menunjukkan pukul 10.20 pagi. Waktu rehat bagi pelajar-pelajar telah tiba.
Lapar pulak. Kang kena berasak di tangga kantin dengan budak-budaklah ni!
Julia melangkah laju menuju ke kantin. Masuk sahaja di ruang makan untuk guru, Zaini senyum memandangnya. Dada Julia berdebar kencang.
Control, control, control Ju! Aku tak boleh obvious sangat suka dia ni. Malu Bedah. Imej wanita Melayu Terakhir perlu dipelihara!
Julia membiarkan sahaja Zaini memandangnya. Tidak luak apa pun. Tangan Julia lincah mengambil nasi dan lauk. Julia duduk di meja yang telah dihuni beberapa orang guru perempuan.
"Cantik Julia hari ni. Macam nak bertunang aje." Cikgu Latifah menguntum senyum.
"Tak adalah. Akak ni... buat saya malu aje!"
"Dah ada belum?" Cikgu Latifah bertanya soalan yang mencemaskan Julia.
Nak jawab apa ni? Zaini mesti dengar ni!
"Belum! Akak nak carikan ke?"
"Ha, dengar tu Zaini, Julia ni solo lagi." Cikgu Hafsah pula bersuara.
"Isy, apa akak ni. Apa kaitan saya dengan Zaini?"
"Eh, mestilah ada kaitan. Zaini saja satu-satunya cikgu bujang. Kamu nak cikgu sebelah Zaini tu ke?" Cikgu Latifah ketawa besar.
"Nak saya pun apa salahnya. Ada lagi dua kosong." Cikgu Razak mencelah.
Ada lagi dua kosong? Mean? Err, lagi mau gatal. Nak muntah hijaulah!
"Dia dah ada dua bini ke?" Julia berbisik kepada Cikgu Hafsah.
Cikgu Hafsah angguk.
"Hati-hati, laki dua bini ni bahaya." Cikgu Latifah pula berbisik kepada Julia.
"Oiii... apa yang dibisikkan tu? Tak baik mengumpat tau!" Cikgu Razak melaung dari mejanya. Sememangnya lelaki tua dan beristeri dua ini miang. Terbukti. Lihat sahaja Zaini yang masih solo. Tidak langsung miang seperti Cikgu Razak.
Aduh, yang solo senyap... yang tua wife dua pulak banyak songeh!
Julia mula menyuap nasi ke mulut. Cikgu Razak dan Zaini berlalu daripada ruang makan guru.
Uhhh, lega!
Usai menjamu selera, Julia melangkah meninggalkan kantin, menaiki tangga menuju ke bilik guru.
YOU ARE READING
Mr. Dud Next Door
HumorTajuk: Mr. Dud Next Door Penulis: Aisya Rihanna Muka Surat : 880 Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-22-8 Harga: RM32.00 (Semenanjung) // RM35.00 (Sabah & Sarawak)