Bab 9

5.4K 82 0
                                    

Dia datang bukan dengan cahaya. Tapi dengan pelangi. Pelbagai corak dan warna. Bukan hanya hitam putih.

AIR panas dituangkan ke dalam besen mandi. Tangannya dicelupkan ke dalam besen untuk merasa suhu air. Bak kata Puan Hayati, air biar jangan panas, jangan sejuk. Sedang-sedang saja.

"Yang sedang-sedang saja. Yang penting... dia setia..."

Huish, asal di dalam bilik air aje nak nyanyi.

Pili air sejuk ditutup rapat. Mandian dan syampu Johnson's Baby diletakkan di sebelah besen. Kejap lagi tak ada la tergapai-gapai nak capai.

Okey, semua dah siap. Aira bingkas bangun ke katil. Thaqif yang sedang bermain-main dengan mainannya diangkat. Satu per satu butang baju tidur anak buahnya ditanggalkan, hanya tinggal lampin pakai buang. Terus Thaqif diangkat ke bilik mandi. Karang kesejukan pula dia tak pakai baju. Tuala yang masih elok berlipat juga dicapai.

"Masa untuk mandi! Nanti Thaqif jadi wangi macam aunty chik," omel Aira. Kesian Thaqif. Masih busuk walaupun dah pukul lapan pagi!

Tak lama pun Aira mandikan Thaqif. Sabun, syampu main-main sikit, dah selesai. Terus aje dia capai tuala. Baju dan lampin dicapai sebelum dia mengendong Thaqif yang hanya bertuala ke tingkat bawah. Rasanya bedak dan minyak Thaqif semua ada dekat bawah.

"Kamu berdua dah beli semua barang hantaran?"

Tangan Aira yang semakin cekap memakaikan lampin pakai buang pada Thaqif terhenti. Hampir-hampir dia tepuk dahi sendiri. Macam mana dia boleh lupa pasal barang hantaran? Nasib baik mommynya ingatkan. Kalau tak, rasanya memang esok nak nikah malam ni baru pergi cari.

Heh. Alah, bukan kahwin sungguh-sungguh pun, kan? Takkan la Firzal demand nak itu, nak ini. Beli apa yang rasa waras di otak ini aje la.

"Achik..." Puan Hayati dah buat ulangan suara. Baik jangan biar ibunya tanya lagi sekali. Karang sia-sia aje dengar ceramah percuma daripada dia.

"Kita orang tengah beli la ni. Slow-slow, mommy. Beli sikit-sikit." Cayalah, Aira! Berjaya kau buat alasan cun dekat mommy! bisik hati Aira.

Tangannya mencapai seluar panjang Thaqif. Terus disarungkan seluar itu ke kaki anak buahnya itu.

"Apa pula nak kena beli sikit-sikit? Beli la banyak terus. Lagipun, dah tak lama. Sebulan lagi. Kamu ingat sempat ke?"

Aira sengih dua saat. Alasan dia tadi tak boleh diguna pakai, eh?

Sebulan. Itu dia masa yang mama dengan abah Firzal cadangkan malam tadi. Tak payah tunang. Puan Hayati dengan Encik Muhammad setuju aje. Tak banyak bantah.

Aira?

Aira rasa tak percaya. Macam kerja gila aje pergi terima permintaan Firzal hari tu.

Ya, dia tahu Firzal ada gaya bapa mithali. Gaya pencuri hati pun ada.

Tapi yang payahnya, dia sendiri masih kekok dengan Firzal. Yalah. Sebelum ni pun mana ada dia rapat dengan mana-mana lelaki kecuali Zulfa. Along dengan Dik Qi tak payah nak kiralah. Darah daging sendiri.

Kejap. Zulfa!

Dia belum lagi bagi tahu dekat Zulfa dia nak kahwin. Tak bagi tahu lagi...

"Achik!"

Aira mengurut dada. Hesy, mommy ni. Nasib baik anak mommy ni sihat walafiat. Kalau tak, sia-sia aje kena sakit jantung.

"Mengelamun pula. Mommy cakap ni." Puan Hayati dah buat muka tak puas hati. Aira sengih. Bedak talkum disapu pada kedua-dua belah pipi Thaqif. Mengekek dia ketawa apabila Aira cubit pipi gebu dia.

Pencuri Cinta Kelas SatuWhere stories live. Discover now