"MACAM mana dengan calon menantu ibu tu? Mana rupa orangnya? Cantik tak? Bila nak bawa ibu jumpa dia?" Bertalu-talu soalan ditanya oleh Puan Kamariah. Sebaik sahaja ternampak kereta Hafiz memasuki pekarangan rumah, terus sahaja Puan Kamariah yang sedang berehat di ruang tamu bersama Encik Mansor dan Farah meluru mendapatkannya. Hafiz tersengih. Ibunya ni, kalau bab menantu memang tak menyempat sungguh.
"Ibu ni... Biarlah along tu duduk dulu. Penat pun tak hilang lagi tu, dah disoal siasat macam polis pula. Kasihan kat along. Pergilah buat air kat dia ke, apa ke..." Farah menyampuk.
Puan Kamariah yang mengekor Hafiz ke ruang tamu terus melabuhkan punggung di sebelah Hafiz. Biarlah apa yang Farah nak cakap, tapi dia memang tak sabar sungguh hendak tahu pasal menantunya itu. Semasa Hafiz cakap hendak bercuti di kampung anak buahnya sambil menjejak bakal isteri, hati Puan Kamariah bukan main suka lagi. Tak kesahlah perempuan kampung sekalipun. Siapa pun pilihan Hafiz akan diterima dengan hati terbuka. Janji Hafiz bawa balik menantu untuknya.
"Farah, pergi buat air untuk along. Penat along ni, berjalan jauh," arah Puan Kamariah. Farah mencebik. Dia pula yang kena buat air. Walaupun dalam hati membantah namun arahan ibunya tetap dituruti.
Encik Mansor sekadar memerhati dan mendengar perbualan anak-beranak itu. Buat masa ini dia tidak berniat untuk mencelah. Rancangan televisyen lebih menarik perhatiannya.
Hafiz melepaskan lelah seketika. Perjalanan tanpa henti dari kampung Rina agak memenatkan. Sayu rasa hatinya meninggalkan Rina tadi. Apa lagi dengan keadaan gadis itu yang sedang sakit. Nasib baiklah sebelum berangkat tadi, Rina sudi menghantarnya ke laman rumah. Dapat juga dia melihat wajah gadis itu sebelum pergi. Kalau diikutkan hati, dia hendak berlama-lama di sana. Namun tugasan kerja terpaksa didahulukan.
"Macam mana, Fiz?" soal Puan Kamariah lagi tidak sabar.
"Semuanya okey, bu."
"Maksud Fiz?" Bulat mata Puan Kamariah. Menunggu Hafiz bercerita boleh bikin dia sakit jiwa.
Hafiz senyum. Dia tidak tahu hendak kata apa dengan ibunya. IPhone 5S dikeluarkan dari poket seluarnya. Dia mencari-cari sesuatu, sehinggalah terjumpa pada wajah yang comel itu. IPhonenya dihulurkan kepada Puan Kamariah tanpa banyak bicara. Biar gambar sahaja yang bercerita. Nasib baik dia sempat mengambil gambar Rina secara curi semasa Rina sedang menyiapkan makan malam bersama Fazli hari tu.
"Ini ke orangnya?" Hafiz mengangguk.
Pandangan pertama Puan Kamariah apabila melihat gambar itu ialah cantik, comel... Tapi macam muka budak sekolah. Nampak macam sebaya dengan Farah saja. Gambar itu ditunjukkan kepada suaminya. Encik Mansor melihat seketika dan kemudian mengangkat ibu jari kepada Hafiz. Hafiz senyum bangga.
"Siapa nama dia?" Puan Kamariah mula merisik serba sedikit tentang bakal isteri Hafiz.
"Rina."
"Rina saja. Bukan Roslina ke, Norlina ke?"
"Tak, Rina aje," balas Hafiz. Memang nama Rina pendek sungguh. Baguslah, senang dia nak sebut masa akad nikah nanti. Hafiz senyum senget.
"Eh... Ada gambar bakal kakak ipar ke? Nak tengok juga..." ujar Farah yang melihat ibunya ralit melihat sesuatu di iPhone alongnya. Air oren di dalam gelas diletakkan di atas meja. IPhone yang dipegang oleh Puan Kamariah lantas diambil. Puan Kamariah jegil mata, Farah buat tak tahu saja.
"Comel. Sebaya Farah ke ni? Nampak muda aje," komen Farah.
"Memang muda pun. Sekolah pun tak habis lagi..."
Puan Kamariah, Encik Mansor dan Farah tercengang. Biar betul Hafiz ni, takkan hendak kahwin dengan budak sekolah kut? Entah-entah SPM pun tak lepas lagi.
YOU ARE READING
Mak Tak Nak Kahwin
RomanceBacaan Awal Sahaja.. Tajuk: Mak! Tak Nak Kahwin Penulis: Tinta Biru Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-95-1 Harga: RM21 (Semenanjung) // RM23 (Sabah & Sarawak) Begitu keras Rina menolak untuk dijodohkan dengan Hafiz. Maklumlah dia masih muda lag...