Aku asal dari China. Hasil dari kerja tangan seorang kanak-kanak perempuan bawah umur yang baru kehilangan adiknya akibat dilanggar lori sewaktu melintas jalan. Warnaku putih, ada sedikit jalur warna merah biru di bahagian tepi kiri dan kanan dan bersaiz XL. Oh ya, panggil saja aku Nice. Aku kira itu nama yang diberi kepadaku dan ribuan saudara-maraku yang lain sebelum kami disusun dan dipisah-pisahkan mengikut saiz dan jenis di dalam kontena yang ada di dalam kilang itu.
Aku tiba di Malaysia awal tahun 2013. Mereka letakkan aku di dalam kotak bersama dua lagi yang lain, satu hitam dan satu kelabu, sebelum ditindih dengan kotak-kotak yang lain untuk dijual. Aku di bawah sekali. Dari hari ke sehari, satu demi satu saudara-maraku dibeli tetapi setelah sebulan, nasibku bersama-sama si Hitam dan Kelabu masih juga begitu. Tersusup tidak berusik.
Hampir dua bulan kami bertiga di dalam kotak itu sehinggalah satu hari muncul satu tangan penuh bulu yang mencapai. Dia mendekatkan aku ke mukanya. Ada titis-titis peluh di dahi yang minta diusap. Kulitnya berlopak-lopak, mata putihnya agak kekuningan, janggut dan misai pula penuh berselerak. Dia tersenyum sebelum membuka kotak yang dipegang. Aku ditarik keluar sebelum diselitkan ke celah pinggang lalu disorokkan di balik baju kemeja belang-belang di badannya. Hitam dan Kelabu tidak dibawa sekali.
Setiba di rumah aku dicampakkan ke atas katil. Lelaki itu menanggalkan baju dan seluar jeans yang dipakainya. Dia berbogel, menampakkan perut yang buncit dan bulu di dada yang bersambung ke kaki. Ketiak masamnya, dicium. Bulu ari-ari yang semak di bawah pusat digaru-garu sebelum dia memicit lemak di sekeliling pinggang. Kemudian dia berdiri tegak di depan cermin, tersenyum penuh bangga bila aku telah berjaya disarungkan ke badannya.
"Abang, tak pergi kedai ke hari ni?" jerit satu suara di luar.
Dia menoleh ke belakang, membuka pintu bilik sedikit sebelum memanggil suara itu masuk. "Budak-budak mana?" soalnya.
"Belum balik dari tiusyen. Tak pergi tengok kedai awak tu ke hari ni?" tanya perempuan itu lagi dengan telor Jawa yang pekat.
"Saya beli seluar dalam baru. Brand Nice. Nice tak?" Aku diperkenalkan. "Jom?"
"Malas. Buasir saya tak hilang lagi..." jawab perempuan itu selamba. Dia beredar.
Hampa wajahnya mendengar jawapan perempuan itu. Dia membuka almari kayu di depannya. Baju kemeja warna putih dan seluar coklat tua dibawa keluar untuk dipakai. Tak lama selepas itu, dunia aku serta-merta gelap.
******************************************************************************
Dunia aku masih gelap. Aku tidak tahu di mana aku berada waktu itu. Yang kedengaran hanya suara-suara sorakan manusia-manusia yang sedang menonton TV, berbual-bual sesama sendiri, tak kira bangsa dan bahasanya.
"Macam mana business hari ni?" tanya lelaki itu.
"OK saja, Bos. Kita dah buka dekat tiga bulan tapi business macam tu saja. Orang tak ramai sangat macam kedai mamak belakang. Apa pasal ah, Bos?"
"Tak tau lah. Kita kena tukar strategi. Kita kena tengok apa yang dia orang masak, yang lain dari cara kita masak, lepas tu kita tiru tapi kita buat dengan lebih baik. Itu orang kata, inovatif. Kau faham maksud inovatif?"
"Tara faham, Bos. Tapi saya tau, buat yang lebih baiklah..."
"Bagus. So apa kata kau panggil kawan-kawan kau pergi jadi customer kedai tu? Kau beli roti dia orang. Rasa dia orang punya teh tarik. Tanya resipi kalau boleh. Nanti kita cuba buat pulak macam tu. Kita jual lebih murah. Baru customer lari sana, datang sini. Betul?"