"Sampai bila kamu nak jadi macam ni? Kamu tu bukan usia semakin menurun, semakin meningkat tahu tak? Mama ni dah tua, mama nak timang juga cucu." Puan Mahirah menarik kerusi makan dan duduk bersebelahan dengan suaminya, Encik Razak. Farhan yang sedang mengunyah makanan membiarkan sahaja Puan Mahirah membebel sendiri.
"Kamu dengar tak apa yang mama cakapkan ni?" Soalan Puan Mahirah dibiar sepi.
Farhan sudah faham benar dengan sikap mamanya itu. Kalau berjumpa pasti tiada topik lain yang akan keluar. Semuanya tentang kahwin, cucu dan menantu. Ingat senang ke nak cari pasangan lagi-lagi dizaman serba moden ini. Dia bukanlah memilih sangat tetapi kalau mencari pasangan bukan seperti mencari baju. Esok lusa dapat beli yang baru lepas itu yang lama dibuang. Sudah banyak kali dia menerangkan hal itu kepada mama tetapi semua itu hanya sia - sia belaka apabila topik itu dikeluarkan lagi setiap hari.
"Sudahlah awaknya. Setiap hari topik yang sama. Saya pun dah bosan mendengarnya. Kalau dah dia tak mahu kahwin lagi, jangan dipaksa. Perkahwinan bukan benda yang boleh buat main - main." Ujar Encik Razak.
"Betul tu papa. Terima kasih."Farhan menayangkan giginya yang tersusun rapi kepada kedua ibu bapanya.
"Papa, awak tak teringin sangat ke nak timang cucu? Kita ni ada anak seorang je. Rumah ni dah lama tak diserikan dengan suara kanak - kanak. Saya bosan tau tak bila duduk rumah sorang - sorang tak ada teman bila awak berdua keluar. Kawan - kawan saya semua dah ada cucu, semua dok sibuk cerita tentang cucu masing - masing. Tapi saya?" Farhan mengeluh apabila mendengar rintihan mama.
"Kalau awak nak dengar suara kanak - kanak kat dalam rumah ni, awak kena izinkan saya kahwin lain. Awak pun suka dan saya lagilah gembira." Encik Razak berseloroh. Farhan ketawa terbahak - bahak kerana dia pun tak terfikir nak jawab seperti itu. Berani betul papa. Mama dah lah macam harimau bintang, silap sikit pasti dicakarnya.
"Amboi papanya. Dah gatal sangat awak ni nampaknya. Nak kena parang ke kapak? Cubalah kahwin lain kalau tak nak hidup lama." Farhan meneruskan ketawanya apabila ugutan mama membuatkan papa menelan air liur.
"Alah mama pun, kita gurau je. Janganlah ambil serius sangat. Pagi - pagi lagi awak dah membebel dekat anak kita ni, jadi saya pun buatlah lawak."
"Itu bukan lawak papanya . Jangan buat main bab bab nak kahwin lain. Saya sensitif tahu tak? Kalau papa buat, memang siaplah papa."Puan Mahirah memberi amaran. Kali ini Encik Razak pula ketawa terbahak - bahak.
Untuk menduakan isterinya belum ada lagi dalam perancangannya. Isterinya itu dah cukup sempurna dimatanya. Baik, peramah, menjaga adab, cantik serta pemurah. Semua itu dah cukup sempurna jadi untuk apa dia sakitkan kepala untuk mencari orang lain? Biarlah masa tuanya dihabiskan dengan ketenangan serta kebahagiaan. Dia dah tak larat nak bergaduh serta bertikam lidah dengan isterinya. Cukuplah pada zaman mudanya dahulu.
"Kamu Paan, mama tak kira. Dalam masa terdekat kamu bawakan mama calon menantu kalau tidak mama akan carikan calon untuk kamu. Kamu tinggal pilih saja." Terbeliak mata Farhan mendengarnya.
"Mama, cukuplah tu. Setiap kali Paan balik mesti cerita pasal ni. Ini mama nak carikan pula. Biarlah Paan cari sendiri. Kan Paan yang nak bersama dengan dia jadi Paan nak biar Paan cari. Jadi mama tolonglah faham."Terang Farhan. Dia tak sanggup nak sebumbung dengan orang yang tidak dikenali malah tidak dicintai. Semua itu sangat penting untuk kekalkan kebahagiaan rumah tangga.
"Tapi bila Paan nak bawak calon menantu tu? Bagi mama satu tarikh supaya lepas ni mama tak perlu cakap pasal jodoh lagi." Farhan memikirkan tarikh yang sesuai.
"Satu tahun."
"Satu tahun? Kamu tu dah 34 tahun, kalau tunggu lagi dah 35 tahun. Tak boleh! Enam bulan kamu kena bawa dia jumpa mama." Kali ini mata Farhan terbeliak lagi. Cepat sangat tu.

ANDA SEDANG MEMBACA
AH, CINTA SI GEMUK!
Roman d'amourCerpen tentang seorang gadis gempal dan bertemu dengan lelaki yang sudi membantunya dalam operasi menguruskan berat badan. Ikuti kisah ini. Anda pasti suka. Jangan lupa berikan komen tentang kisah ini ye?