Bab 3

1.9K 44 8
                                    


Awira tiba-tiba terbangun. Mata dia membulat dan terus memandang ke atas. Jantung dia berdegup laju. Nafas juga tidak teratur. Dia bermimpi dikejar hantu tanpa kepala. Sampai suatu ketika, hantu itu berjaya menggigit lehernya dan dia terus terbangun dari lena.

Awira cuba bertenang . Nafasnya dikawal. Itu cuma sekadar mimpi. Tidak sampai mengganggu realiti. Tangan dia diatur ke atas meja dan meraba-raba mencari sesuatu. Apabila dipegang sesuatu yang bulat, Awira menarik benda itu ke arah mukanya. Jam ketika itu baru meniti ke angka 3.00 pagi. Awira menoleh ke arah katil rakan sebiliknya. Sofi tiada di situ.

Nak bercinta pun agak-agaklah. Sampai pukul 3.00 pagi tak reti nak balik bilik. Apa kes? Tidak semena-mena Awira melepas geram di dalam hati.

Malas hendak ambil tahu pasal rakan sebiliknya, Awira terus menarik selimut sampai ke bawah dagu. Tidur lagi sedap daripada mengutuk Sofi. Nanti tidak pasal-pasal kena makan daging mentah manusia. Jijik pula rasa.

"Awira, kenapa tak tidur lagi?" tanya satu suara halus yang Awira sendiri tidak tahu dari mana datangnya. Suara itu datang bersama dengan deruan angin yang menerpa wajah Awira.

Pelik. Rasanya semua tingkap sudah ditutup dengan kemas.

Bebola mata Awira bergerak ke kiri dan kanan. Cuba untuk mencari arah datangnya suara. Namun tidak nampak sesiapa. Hanya katil kosong Sofi. Ketika itu juga mula lah terbayang perkara yang bukan-bukan. Paling tidak mesti perempuan berjubah putih yang sengaja menyeru namanya untuk dijadikan mangsa. Hisy! Kenapalah aku boleh berfikir sampai ke situ, gumam Awira dalam hati.

"Tidurlah. Awal pagi esok kan kau ada kelas," sambung suara itu lagi. Mustahil pula hantu tanpa kepala tadi muncul pula di alam realiti.

Tak kan sampai ke sini kau nak kejar aku, bisik Awira dalam hati. Awira mula dilanda keresahan. Peluh mula merenek di dahinya.

"Kau siapa, ha? Kau ingat aku takut dengan kau. Kalau kau iblis, keluarlah. Berhadapan dengan aku. Setakat cuba nak main-mainkan aku macam tu, kau ingat aku heran," marah Awira pada suara itu. Dia rasa sangat tercabar bila ada yang ingin main-mainkannya.

Sebaik-baik sahaja Awira marah, serentak dia berasa badannya dihimpit, menyebabkan dia sukar hendak bernafas. Mata Awira terbeliak memandang ke atas. Terlihat kepala Sofi bersama urat-urat leher yang menjalar. Dia melekat di siling sambil biji matanya mencerlung tepat ke wajah Awira. Darah membasahi wajah Sofi.

Awira kaku di atas katil dan tidak mampu membuat apa-apa. Mulutnya kelu untuk berkata-kata.

"Awira... tolong aku Awira. Tolong Awira, tolong ambik kembali kepala aku. Tadi aku panjat siling. Tetapi entah kenapa kepala aku boleh melekat kat siling dan badan aku ada kat badan kau." Sayu kedengaran suara Sofi meminta tolong.

"Tidak...!" jerit Awira sekuat hati.

Buk!

Tiba-tiba Awira terasa ada bantal mengenai kepalanya lalu wajah Sofi yang menakutkan itu hilang.

"Kau dah kenapa, Awira? Mengigau!"

Terkejut Awira. Dia melihat ke arah katil Sofi sekali lagi dan Sofi memandangnya dengan tajam.

"Sofi, kau ke tu?" Cuba memastikan yang dia tidak bermimpi lagi.

"Iya. Akulah. Kau ingat aku hantu. Itulah. Tidur tak basuh kaki. Tak solat. Kan dah mendapat." Riak Sofi mengejek.

"Maaflah Sofi. Aku dapat mimpi buruk tadi. Kau tidurlah balik," balas Awira. Dia menghembus nafas lega. Nasib baik itu hanya semata-mata mimpi.

"Kau mesti tengok kepala aku melekat kat siling , kan? Sudahlah aku pun sama macam kau Awira waktu mula-mula masuk dalam bilik ini. Abaikan aja mimpi itu. Tak payah fikir sangat," beritahu Sofi tanpa menoleh ke arah Awira lagi. Dia ingin menyambung tidur. Selimut ditarik melepasi kepala.

Room MateWhere stories live. Discover now