BAHAGIAN 1

576 22 0
                                    



MINGGU 1, BULAN JULAI


Sewaktu aku dan Chop Choy tiba di bangsal meletak basikal, hanya kelihatan budak-budak tingkatan empat dan lima di situ. Budak tingkatan tiga telah pulang setengah jam lebih awal sebelum kami. Waktu habis sekolah juga waktu sesetengah pelajar melepaskan perasaan, seolah tertekan sangat dengan kehidupan seorang pelajar. Ada yang menjerit, ada yang mengusik rakan, ada yang tidak tentu hujung pangkal bersikap kasar, merempuh budak lain, menolak basikal orang lain semata-mata hendak lalu cepat di situ.

Aku terpandang seorang budak lelaki Melayu sama tingkatan, entah apa rasukannya menolak basikal Chop Choy hingga terjatuh. Aku kenal budak itu; budak nakal, ada masalah disiplin dan pernah lihat dia dihukum di hadapan perhimpunan. Sesungguhnya perbuatan itu sangat kurang ajar di samping tidak menghormati harta benda orang lain. Kebetulan tuan punya harta benda ada di belakangnya sewaktu dia menolak.

"Hoi!" jerit Chop Choy, terkejut agaknya melihat basikal tumbang di hadapan mata. Aku pun akan berbuat yang sama jika ianya berlaku kepada diri sendiri.

Budak itu buat tidak endah, seolah-olah tahu jeritan itu untuk orang lain. Dengan selamba dia menarik keluar basikalnya, bersedia untuk menghurung basikal pergi. Aturan sekolah, tidak boleh mengayuh basikal dalam kawasan sekolah. Di belakangnya ada dua orang budak yang sedang dalam dunia sendiri bergelak ketawa dengan jenaka ciptaan sendiri – mereka bertiga dalam satu kumpulan. Chop Choy tegak berdiri, merenung wajah budak itu, airmukanya merah dan serius.

"Apa tengok-tengok?" sergah budak itu sebelum berhenti berjalan dan melawan pandang Chop Choy atas bawah. "Ada masalah?" Di waktu ini dua orang rakannya sudah pun berada di sebelah. Mereka yang tadinya bergurau kini terdiam, menunggu melihat apa yang akan terjadi.

"Pasal apa tolak basikal saya?" Chop Choy bertanya sambil menguit dahunya ke atas.

"Siapa tolak? Jangan tuduh-tuduh ah?"

Chop Choy merenungnya tajam. Aku berharap dia menoleh mukanya daripada terus memandang budak itu, melepaskan sahaja rasa marahnya. Ini lebih mudah, berhemah dan dewasa. Tidak perlu melayan kerenah manusia yang memang tidak mempunyai adab sopan.

"Chop Choy, sudahlah tu, biarkanlah," aku berkata kepadanya perlahan. Sedikit pun dia tidak menoleh kepadaku, malah aku sangsi dia benar-benar mendengar apa yang aku katakan sebentar tadi.

Aku sendiri tidak faham dengan sikap Chop Choy. Bukannya dia tidak tahu lebih baik dilupakan atau membiarkan insiden kecil ini berlalu sahaja. Walaupun aku kenalnya baru tahun kedua, aku tahu dia bukan jenis orang yang membiar diri mudah diprovokasi. Dia terlalu matang untuk ini semua. Namun itulah yang sebaliknya dilakukan oleh Chop Choy sekarang ini, membiarkan dirinya dimainkan oleh emosi. Mataku memerhati sekeliling, mencari-cari rakan yang aku kenal, rakan kelas terutamanya. Aku sudah bersedia jika ada apa-apa, aku boleh minta bantuan mereka.

Budak itu menongkat basikalnya, mara dua tapak ke hadapan. "Masih tak puas hati? Lu mau cari pasai ka?" cabarnya sambil mendada sambil mata tajam merenung Chop Choy.

"Lu mau cari pasai ka?" Chop Choy menuju soalan yang sama kepada budak itu. Aku tidak sangka begitu pula reaksinya. Dari mana datangnya semangat berbalas geram ini, tiba-tiba sahaja?

Aku memegang bahu kanannya, bermaksud supaya berhati-hati, jangan melulu ikut nafsu amarah. Dia meloloskan kasar bahunya dari peganganku. Sudah dirasuk agaknya rakanku ini, aku tersentak. Dalam masa yang sama hujung mataku terlihat Farid, berdiri memandang kami semua. Mungkin menangguh dahulu untuk pulang melihat adegan terbaru, ala-ala siri televisyen.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Nov 16, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

1969Where stories live. Discover now