Bab 1

124 6 2
                                    

10 tahun! Bukan sekejap, bukan kisah sehari dua, bukan cerita sebulan dua, bukan setakat setahun dua. Lama! Terlampau lama dan aku betul-betul sudah lelah untuk meneruskannya. Rasa sia-sia.

"Kenapa Phia tak tunggu abang? Kenapa Phia tak nak percaya janji abang?"

Dia mula menangis. Aku jadi menyampah dengan air matanya. Sekadar meraih simpati! Dia yang buat aku pilih kesudahan begini. Buat apa dia nak menangis pula?

"Phia bukan boneka tak ada perasaan."

Aku kalih posisi tubuh membelakangi dia. Ketika ini air mata aku sudah mula bergenang. Menanti masa sahaja untuk luruh ke pipi.

Mengapa dia mesti datang hari ini? Setelah aku sah menjadi milik orang lain! Mengapa tidak dia datang pada masa dan ketika yang dia janji dulu? Kenapa ambil masa sampai 10 tahun?

"Abang tak pernah lupakan Phia. Sejak dulu sampai sekarang. Phia sentiasa ada dalam hati abang."

Dia tundukkan wajah. Nafasnya dihela berat seakan tidak tertanggung beban yang menghuni perasaannya waktu itu.

Sungguh, aku benci detik ini. Kenapa hari ini dia mesti kembali? Sesudah aku buang cerita kami jauh-jauh. Dia ingat 10 tahun itu biasa-biasa? Macam sehari dua, macam sebulan dua atau macam setahun dua... begitu?

"Abang nak kahwin dengan Phia. Kita bina kehidupan bersama, ya sayang?"

Aku kerutkan dahi. Tak percaya dengan apa yang lelaki ini lafazkan. Dia ambil mudah dengan semua perkara. Macam dia sahaja yang ada perasaan.

"Abang memang tak nampak ke atau buat-buat buta? Pandang sekeliling abang!"

Dia mendengus. Aku tahu dia terasa hati dengan teguran pedas aku. Namun dia memilih mengunci bibir dari terus bersoal jawab tentang itu. Dari jauh, sesekali emak curi pandang ke arah kami. Satu pandangan kurang senang. Aku tahu emak keresahan.

"Phia, jangan lama sangat kat luar tu. Kejap lagi masuk."

Satu arahan bernada amaran walaupun suara emak kedengaran tenang bersahaja. Aku sekadar angguk kepala bersama sekilas pandang ke arah emak.

"Biar abang yang bersemuka dengan mak Phia dan dia. Biar abang cerita semuanya. Mereka sayang Phia. Abang yakin mereka tak akan berlaku kejam terhadap cinta kita."

Lelaki itu menghampiri aku, memegang kejap kedua belah bahuku, meminta aku mendongak dan berbalas pandang dengannya. Menggigil tubuhku ketika itu, menahan pelbagai rasa yang mengusik emosi. Berani dia terus bercakap soal cinta kami. Cinta yang sudah aku kuburkan! Cinta yang tinggal kenangan.

Aku tepis kasar kedua tangannya yang melekap di bahuku. Kakiku mengundur ke belakang beberapa tapak agar antara kami ada jarak. Tidak manis begini.

Umar Hazeeq, dia terlalu baik untuk aku lukakan. Dia bukan seperti lelaki di hadapanku ini!

"Phia..." Lelaki itu bersuara lemah. Ada nada kecewa dalam suaranya. Aku tahu dia masih ingin memujuk.

Degil! Faheem - lelaki ini masih tak berubah. Masih pentingkan diri macam dulu. Dia fikir perasaan dia aje. Perasaan orang lain dia tak peduli. Dan aku... aku makin benci dengan lelaki ini. Segalanya kian menyakitkan. Sungguh, aku mahu dia berambus cepat! Jangan pernah muncul lagi dihadapanku selepas ini.

Aku kawal perasaanku sebaik mungkin. Aku tak boleh mengamuk ikut suka hati aku sendiri. Kasihan emak dan Umar Hazeeq! Aku kena ambil kira perasaan mereka yang sayangkan aku.

"Kita tak ada jodoh, abang."

Aku susun ayat itu satu persatu. Perlahan namun aku tahu dia mendengar.

Dia geleng kepala. Laju. Berkali-kali. Enggan akur kepada ketentuan. Selepas itu dia terduduk melutut di hadapanku. Tubuhnya aku nampak mula terhinjut-hinjut.

"Abang sayang Phia."

Dia benar-benar sedih. Aku tahu. Suaranya bergetar mengawal rasa. Ketika itu, beberapa pasang mata mula menyorot pandang ke arah kami. Jiran-jiran yang masih membantu emak membasuh periuk belanga dan mengemas apa yang patut. Pasti mereka becok bercerita perihal aku dan Faheem ketika ini.

Sempat aku tercari-cari di mana Umar Hazeeq ketika itu. Aku tak nampak dia. Namun sorotan mataku sempat bertembung dengan sorotan mata emak. Wajah emak nampak merah padam.

"Phia dah ada dia."

Ayat terakhir yang terpacul dari ulas bibirku. Faheem masih melutut. Wajahnya menekuri tanah. Aku nampak air mata masih menitis di pipi Faheem.

"Safiyya..."

Suara Umar Hazeeq. Suara itu memanggilku tenang. Pantas wajahku dipaling mencari arah suara Umar Hazeeq.

Nun di belakang, hanya beberapa meter dari tempat aku berdiri, Umar Hazeeq sudah terpacak di situ, memandang raut wajah aku sambil melempar senyum. Aku balas senyuman lelaki kacak itu yang masih lengkap mengenakan busana perkahwinan kami.

"Abang...tolong lupakan Phia!"

Bicara kami ternoktah di situ. Aku menghampiri Umar Hazeeq, meraih jemari lelaki itu kejap dan kemudian mengajaknya beredar cepat. Aku tidak boleh berlama-lama lagi di situ. Faheem akan terus buat emosiku meruntun. Silap-silap aku boleh cair dengan pujukan demi pujukan Faheem. Lelaki itu - bukan sekejap waktu kami kenal.

Aduh, My Bos Mr Ex!Where stories live. Discover now