Aku melepaskan lelah di anak tangga rumah. Emak yang sedang menyapu sampah memerhati aku sekilas pandang.
Penat! Aku ingat peluang kerja ini dapat kurangkan beban yang aku tanggung. Lagi menambahkan masalah adalah!
Hendak kata aku ni memilih kerja rasanya tidak. Jawatan cleaner pun aku try apply. Tapi, hampeh. Megah Setara Holdings juga yang buka peluang untuk aku! Macam satu jalan untuk aku berbaik-baik dengan lelaki itu semula.
Susah payah aku cari jalan kebahagiaan sendiri tanpa dia. Aku terima Umar Hazeeq walau tanpa cinta di hati kerana aku yakin suatu masa suatu ketika pasti rasa cinta itu wujud juga antara kami asalkan aku tidak lelah mencubanya.
"Phia, mana Umar dengan Naufal? Kamu tak singgah ambil mereka?"
Emak menghampiri aku lalu ikut duduk di sebelah aku. Perlahan kepala ku geleng bersama helaan nafas kecil. Emak sudah pandang aku semacam. Barangkali sedang menebak sesuatu dalam fikiranku.
"Kejap lagilah Phia pergi ambil diorang."
Emak masih tidak berkalih pandang ke arah lain, kekal menyorot tepat ke wajahku. Dahinya berkerut seribu mendengar bicaraku begitu.
"Dah alang-alang kamu lalu depan rumah mertua kamu tadi, kalau terus singgah ambil mereka kan senang. Tak payah kamu nak keluar semula."
Emak mendengus, tidak suka dengan caraku. Buat kerja dua tiga kali sedangkan aku boleh selesaikan sekaligus aje. Emak memang pantang kalau begitu.
"Mak, Phia tak nak kerja kat tempat tu."
Aku luahkan terus hasrat yang terbuku di fikiranku sejak tadi. Emak nyata sangat terkejut dengan keputusanku. Iyalah, semalam bukan main meloncat gembira aku memberitahu Umar Hazeeq dan Naufal yang aku akan start kerja dengan gaji yang boleh tahan sedap. Manalah orang tua itu tidak pelik dengan keputusan mendadakku ini.
"Dah kenapa pula? Kerja tu berat sangat ke sampai Phia tak tahan?"
Aku geleng kepala. Perlahan wajahku di tala ke arah lain. Ada wajah Faheem ketika itu terlayar diruang mata. Satu wajah bersama satu senyuman. Nafasku kembali sesak.
"Kalau dah bukan pasal tu, apa sebabnya Phia? Kamu tak ingat berapa banyak syarikat kamu pergi cuba interview? Satu pun tak sangkut. Kerja cleaner pun kamu tak dapat. Ini dah elok-elok kamu dapat kerja tu, baru satu hari kerja kamu dah nak berhenti? Umar dengan Naufal tu, kamu lupa ke? Belanja perubatan Umar, belanja susu dan pampers Naufal, bukan sikit Phia. Mak ni bukan orang senang. Setakat nak bantu makan minum tu mak boleh lagi, lebih dari tu mak tak mampu, Phia."
Aku membisu. Aku faham kerisauan emak. Tak perlu diingatkan. Aku tahu Umar Hazeeq dan Naufal bergantung harap sepenuhnya kepada aku.
"Mak bukan berkira Phia. Mak ni orang susah. Umar menantu mak. Naufal cucu mak. Kedua-duanya mak sayang. Kalau mak mampu, mak tak kisah keluarkan belanja keperluan mereka."
Aku tarik nafas dalam-dalam, mengumpul kekuatan untuk berterus terang dengan emak.
"Megah Setara Holdings tu abang Faheem yang punya, mak."
Emak terkedu seketika. Memandang aku terus menerus. Mungkin terkejut dengan apa yang menerpa telinganya tadi.
"Faheem Dato' Fakhrul?" Emak meminta kepastian.
Lambat-lambat aku angguk kepala. Dan selepas itu, aku dengar emak mengeluh. Rasanya mungkin emak baru faham mengapa aku putuskan untuk tidak mahu bekerja di Megah Setara Holdings itu.
"Phia tak boleh jadi PA dia, mak. Phia tak boleh berdepan dengan dia hari-hari."
Emak diam. Dengusannya kedengaran kali ini. Aku tahu emak kecewa. Kalau emak merasa begitu, aku lagi lah bertambah-tambah kecewa. Di bahuku terpikul beban yang bukan sedikit.
Melihat emak bangun, mendaki anak tangga terus ke dalam rumah, aku sekadar mengetap bibir.
"Rezeki ada di mana-mana, mak."
Ungkapku perlahan. Aku nekad. Esok, Megah Setara Holdings tidak akan aku jejaki lagi.
YOU ARE READING
Aduh, My Bos Mr Ex!
RandomSafiyya Hanan dan Faheem - Cinta yang dipupuk sejak zaman universiti ternyata penuh kebahagiaan lantaran keluarga kedua belah pihak saling merestui. Namun takdir Allah nyata berbeza dengan perancangan mereka berdua. 10 tahun Safiyya Hannan menanti F...