1. Kali Pertama

511 5 0
                                    

"M.A.Y.A, Mayaaaa!!!!"

Aduh! Berdengung telinga aku dek suara nyaring Anis. Aku menjeling geram. Bengang dengan pencemaran bunyi yang dibuat oleh kawan baik aku ini. Pantang tengok aku senang sikit. Ada saja nak mengganggu. Sudahlah aku tengah syok merenung mamat bermotosikal di sebelah aku ini. Macho beb!

"Kau ni apa hal, Anis? Kacau daun betul lah. Aku baru nak bermain mata dengan mamat sebelah ni" marah aku sambil mengesat pipi. Terasa ada cecair melekat di pipi aku yang putih bersih ini. "Ciss, kau ni Anis, agak-agak lah. Kalau nak menjerit tu pakailah perisai dulu. Ini tak, habis berkembur. Kalau wangi tak apalah juga. Ini dah serupa nasi basi." Sempat aku membebel kepada Anis.

Tersengih-sengih teman aku ini di tempat duduk pemandu. "Habis tu, nak berbuih mulut aku ni panggil engkau dari tadi. Kau buat tak dengar je. Kau ni kenapa?" soal Anis tidak puas hati.

Malas aku hendak menjawab pertanyaan Anis. Sebaliknya aku kembali menghalakan pandangan ke arah lelaki bermotosikal yang sedari tadi menarik perhatian aku. Sedang elok lelaki ini memberhentikan motosikalnya di sebelah kereta Vios aku yang sedang dipandu oleh Anis.

Kalau keluar berdua dengan Anis, aku memang sengaja membiarkan teman baik aku ini yang menjadi pemandu sebab aku sebenarnya lebih suka menjadi penumpang. Kalau jadi penumpang, mata aku ini bolehlah dicuci-cuci sikit. Meluaskan pandangan orang kata. Boleh toleh kepala 360 darjah. Kalau jadi pemandu asyik kena pandang depan saja. Kejur urat kepala nanti.

"Alaa...kan dah melepas!" Akhirnya aku mengeluh hampa apabila lelaki bermotosikal itu memecut laju setelah lampu merah bertukar menjadi hijau.

"Apa yang melepas ni? Kau kentut ke?" Pertanyaan Anis membuat aku hampir tercekik.

"Agak-agak lah sikit." Aku menjeling Anis yang sedang meledakkan tawa.

Ada ke muka ayu macam aku ini nak melepas angin di dalam kereta berhawa dingin ni. Apatah lagi dalam kereta ini hanya ada aku dan Anis. Kalau nak membuang gas pun, biarlah ramai orang sikit dalam kereta ini. Paling-paling kurang tidaklah aku yang terus dituduh. Hehehe...

"Aku tak fahamlah dengan kau ni. Kau ni kenapa? Dah buang tabiat ke? Khayal semacam je." Anis tidak berputus asa menyerang aku dengan soalannya. Dia menghalakan pandangannya ke arah aku.

"Woit, pandang depan lah. Kau tu tengah drive. Kalau jadi apa-apa nanti kau nak jawab macam mana dengan bakal suami aku?"

Bebelan aku membuatkan Anis tergelak besar. Aku buat lawak ke? Gelak sakan minah ni.

"Nak kata kau ni nak nyanyuk, umur muda lagi. Sejak bila pula lah kau ni dah bertunang Cik Mayyadah oiii? Kekasih pun tak ada, nak ada bakal suami macam mana? Atau kau ni sedang mengalami sindrom 3 series?"

Sindiran Anis membuatkan aku menjeling geram kepadanya. Bernanah telinga aku ini mendengar ilai tawa perempuan ni yang dah serupa macam puntianak harum sundal siang. Aku tahulah semalam aku baru menyambut ulang tahun kelahiran aku yang ke 30.

"Kau tu mulut tak ada insurans. Aku tahulah aku ini dah masuk 30 tahun 12 jam 20 minit. Mentang-mentanglah engkau tu baru 29 tahun 11 bulan 28 hari, sedap-sedap hati je kau nak mengata aku. Kau tak ingat ke apa ustazah kita selalu beritahu dulu, setiap manusia yang dijadikan di muka bumi ini berpasang-pasangan. Jodoh kita ini sudah ditetapkan di Loh Mahfuz. Mestilah aku ada bakal suami, cuma aku tak jumpa je lagi. Faham?" tempelak aku dengan suara yang sedikit meninggi.

Perit pula aku rasa anak tekak aku ini. Bercakap dengan Anis ini memang tidak sah kalau anak tekak aku ini tidak tercedera. Dah nama pun kawan baik kan. Kalau dah mula bercakap tu memang tak ada tapis-tapis dah. Kalau orang lain dengar mesti ingat kami ni tengah bergaduh.

"Ooo... patutlah kau renung macam nak tembus dekat mamat bermotosikal tadi? Kau ingat lelaki itu calon suami kau?" perli Anis masih lagi dengan gelak tawa nya.

"Aku cuba nasib je, manalah tahu kan. Lagipun aku sukalah tengok lelaki yang bawak motosikal macam tu. Macho habis lah!" balas aku sambil tersenyum.

Terbayang-bayang kelibat lelaki bermotosikal tadi di ruang mata aku. Dengan berjaket kulit dan helmet full face, bikin hati aku goncang.

Hahahaha.... Apa kena dengan aku hari ini. Agaknya betullah kata Anis tadi. Sudah terkena sindrom 3 series.

"Bawak motosikal cabuk macam tu kau kata macho? Entah-entah mat rempit. Kau tak tengok tadi dia mencilok kiri kanan. Takkanlah pilihan calon suami seorang senior accountant perempit jalanan?" tingkah Anis tidak puas hati.

"Motosikal sikit punya lawa macam tu kau kata cabuk? Smart apa motosikal macam tu. Lagipun tak baiklah kau tuduh lelaki tu bukan-bukan. Berdosa tau! Tuhan tak ampun dosa kita dengan manusia ni selagi kita sendiri tak minta maaf dengan orang tu. Buatnya kau tak jumpa dah lagi dengan lelaki tu, kau nak minta maaf dengan siapa?" bentak aku sempat lagi menyelitkan tazkirah pendek.

Anis ni memang cepat membuat persepsi negatif. Zaman sekarang mana boleh menilai buku dari kulitnya saja.

"Yalah, aku salah" tutur Anis mengalah. Tazkirah aku nampaknya berjaya membuatkan Anis terkedu. "Pantang orang kutuk sikit dah kena tazkirah. Aku tahulah motosikal Yamaha Lagenda tu favorite kau. Siapa-siapa yang bawak motor macam tu semuanya handsome dan baik di mata kau. Tapi aku pelik lah dengan kau ni. Orang lain minat motor besar-besar. Harley Davidson ke, Ducati ke, Kawasaki Ninja ke. Ini motor spesies Honda Cup juga yang kau suka" sambung Anis. Sempat lagi dia mengejek aku.

"Ala, Anis. Kalau semua orang suka motosikal mewah saja, kesianlah dekat motosikal berkuasa kecil ni. Kira aku ni macam pembela nasib orang-orang yang kurang berkemampuan. Lagi pun, Allah ciptakan manusia dengan pelbagai ragam dan cita rasa. Tak begitu, Cik Anis sayang oooi" jawab aku masih tidak mahu mengalah.

"Pembela nasib konon. Bawak motor pun tak pandai" ketawa Anis kembali kuat. Minah ni memang. Pantang kalau ada peluang mengejek aku.

"Sebab itulah, aku nak cari bakal suami yang pandai bawak motor. Sekurang-kurangnya nanti aku boleh bonceng motor suami aku je. Jadi, dia akan menutup kelemahan aku. Bukankah suami isteri ini melengkapi satu sama lain?" bahas aku lagi memangkah ejekan Anis.

"Yalah, yalah.." ujar Anis mengalah.

Kalau hendak diamkan mulut kawan aku ini mesti kena siap sedia dengan tazkirah. Barulah terkulat-kulat nak membalas.

Aku tersenyum menang.

Cinta Yamaha LagendaWhere stories live. Discover now