Nabi Muhammad SAW merupakan seorang yang sangat menyayangi haiwan terutamanya kucing.Baginda mempunyai seekor kucing kesayangan yang diberi nama Muezza. Setiap kali menerima tetamu,baginda pasti akan mengendong Muezza dan meletakkannya di atas paha. Pernah suatu ketika,Rasulullah SAW ingin mengambil jubahnya,Muezza sedang lena tidur di atas jubah baginda. Oleh sebab perasaan kasih terhadap kucing kesayangannya itu, Nabi Muhammad SAW memotong bahagian lengan jubahnya kerana tidak ingin menggangu lena Muezza. Masya-Allah! Betapa hebatnya insan yang bergelar Nabi Muhammad SAW ini. Baginda melakukan kebaikan kepada setiap makhluk termasuk binatang sekalipun. Selain itu,kucing kesayangan Rasulullah SAW ini mempunyai sikap yang sangat disukai baginda iaitu suka mengiau setiap kali azan berkumandang. Ngiauan Muezza seakan-akan mengikuti alunan azan tersebut. Pada suatu ketika yang lain pula,ketika Rasulullah SAW ingin mengambil wuduk, terdapat seekor kucing datang dan menjilat bekas yang mengandungi air wuduk tersebut. Melihat keadaan itu, Rasulullah SAW menunggu sehingga kucing tersebut berhenti minum kemudian barulah berwuduk. Sahabat Baginda yang bernama Anas melihat keadaan itu berasa hairan dan bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai kejadian itu. Baginda lantas menjawab, "Kucing itu bukan najis. Ia adalah termasuk dalam kalangan haiwan yang suka berkeliaran di rumah iaitu haiwan peliharaan" (Hadis Riwayat Tirmizi) Oleh sebab air dari bekas jilatan kucing itu bersih dan baginda sangat menyayangi kucing, Rasulullah SAW tetap berwuduk menggunakan air tersebut. Peristiwa ini juga jelas menunjukkan bahawa kucing merupakan haiwan yang bersih dan tidak tergolong dalam golongan najis. Di samping itu, Rasulullah SAW sangat kasih terhadap kucing dan melarang sekeras-kerasnya daripada menyakiti haiwan tersebut. Balasan terhadap mereka yang menyakiti binatang ini sangatlah berat seperti sabda Rasulullah SAW, "Seseorang wanita dimasukkan ke dalam neraka kerana seekor kucing yang dia ikat dan tidak diberikannya makanan bahkan tidak juga membenarkan binatang tersebut makan binatang-binatang kecil yang ada di lantai" (Hadis Riwayat Bukhari) Oleh itu, jangan sesekali kita menzalimi sebarang makhluk ciptaan Allah di bumi termasuk binatang. Sikap kasih dan sayang Rasulullah SAW terhadap haiwan peliharaan ini perlulah sama-sama kita contohi. Jika adik-adik atau kawan-kawan ada membela haiwan di rumah,jagalah mereka dengan sebaik-baiknya. Janganlah terlalu mengharapkan ibu dan bapa kita sahaja memberi mereka makan atau minum. Aspek kebersihan juga perlulah adik-adik dan kawan-kawan ambil berat. Setiap minggu,adik-adik dan kawan-kawan bolehlah memandikan dan juga membersihkan sangkar kucing atau sangkar haiwan peliharaan kawan-kawan semua. Sesungguhnya kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman.
YOU ARE READING
Kisah-kisah Para Nabi dan Sahabat
RandomIa mengisahkan tentang apa yang telah berlaku pada zaman para Nabi terdahulu. Cerita- cerita yang dikongsikan ini diambil dari sumber- sumber yang boleh dipercayai. Semoga sesiapa yang membacanya tersentuh dan terdetik di hati untuk berubah. Amiin.