Dingin malam.
Gadis berambut panjang itu masih teguh di hadapan komputer ribanya. Menaip bait-bait kisah cereka. Memang kegemarannya menulis cerita fiksyen. Genre dambaan -- seram.
"Shasha.."
Gadis itu menoleh kepada kawan seasramanya. Rambutnya yang panjang mengalun selari gerakannya. Macam iklan syampu pula.
"Ya?"
"Kau tak nak tidur lagi ke? Dah pukul 2 pagi ni."
Shasha senyum kambing saja.
"Belum mengantuk. Esok bukan ada kelas pun. Aku nak habiskan sikit lagi cerpen yang aku tulis ni."
Kawannya menjungkit bahunya sedikit.
"Kali ini cerita pasal apa pula Sha?"
Shasha tersenyum girang. Gembira bila kawannya itu berminat nak tahu apa yang sedang ditulisnya.
"Cerita pasal perempuan misteri di blok asrama kolej kita ni. Yang jadi bualan ramai tu."
Kawannya itu mengerutkan kening.
"Ish, kita dahlah duduk sini. Blok sini pula tu. Berani kau tulis cerita pasal ni?"
Shasha senyum saja.
"Alah, bualan orang saja pun. Bukan ada bukti nyata setakat ini pun."
Kawannya tu datang duduk sebelah Shasha.
"Aku ada kisah benar. Kau berhentilah menulis sekejap. Ni cerita tentang adik aku."
Shasha save dokumen tadi. Letakkan bantal di ribaannya. Bagi tumpuan pada kawan di sebelahnya. Dia memang suka dengar kisah-kisah benar. Boleh jadi modal dalam ceritanya. Untung kalau dapat story-telling pula di media sosial untuk ditularkan. Mana tahu, famous dalam sekelip mata.
"Kau ada adik?"
Shasha menyoal bak wartawan.
"Iya. Adik perempuan. Cerita ini masa adik aku berumur 16 tahun. Masa tu, hidup kami sekeluarga susah tahu. Ayah dan mak terpaksa kerja keras untuk sara kami adik-beradik. Adik aku ni jenis keras kepala sikit. Aku sebagai kakak, cakap apa pun bukan dia makan saman. Degil."
Shasha melemparkan pandangannya pada lampu suram dalam kamar mereka. Dalam bilik itu, cuma ada dua katil bujang. Bilik itu terletak di tingkat empat, blok paling belakang antara enam blok asrama yang disediakan pihak universiti kepada para pelajar. Bayaran bulanannya juga rendah berbanding tinggal di rumah sewa. Makan minum saja tanggung sendiri. Lain-lain sudah disubsidikan.
"Suatu hari, aku terjumpa sesuatu bawah bantal adik. Seketul henfon. Bukan henfon biasa. Iphone 6s. Apa lagi, aku terus terkam pada adik. Tanya dia dapat dari mana henfon tu.
Dia cakap kawan bagi.
Aku tanya kawan mana yang baik hati sangat nak bagi. Benda mahal.
Dia jawab adalah. Adalah. Adalah.
Aku bengang, terus hempuk adik aku. Ugut akan beritahu mak ayah pasal ni kalau dia tak berterus-terang pada aku. Akhirnya, dia berterus-terang.
'Boyfriend yang bagi.'
Aku paksa lagi dia beritahu details akhirnya dia ceritakan segalanya. Dia tengah berkasih dengan suami orang. Aku tak tunggu lama, penampar sulung aku singgah di mukanya.
Geram!"
Shasha dapat melihat reaksi muka kawannya yang sedang menahan kemarahan. Mengimbas kembali memori pahit adiknya.
"Apa jadi lepas tu? Dia insaf tak?"
Kawannya menggelengkan kepala.
"Tak sudah hanya di situ. Percintaan mereka berlarutan hinggalah berani tipu kami sekeluarga konon bermalam di sekolah bagai. Tapi, rupa-rupanya, mereka sudah terlanjur hingga ke bilik tidur.
Aku dapat tahu benda ni bila adik mengadu sakit perut. Dia demam. Aku bawa dia pergi hospital. Bila doktor periksa, aku terduduk. Terkedu bila dapat keputusan yang adik aku hamil empat bulan dah masa tu.
Kau bayangkanlah, betapa hancurnya hati seorang kakak. Apatah lagi perasaan ayah mak kalau kejadian ini sampai ke pengetahuan mereka. Adik aku merayu aku suruh rahsiakan dari keluarga. Biar aku seorang saja yang tahu. Tapi, perut yang membesar mana mampu diselindungkan?
Aku paksa dia bawa aku jumpa jantan bangsat tu. Aku nak jantan tu bertanggungjawab."
Shasha mendengar cerita itu dengan penuh fokus. Geram juga hatinya sebagai seorang perempuan. Tangannya digenggam. Amarahnya membengkak di dalam.
"Akhirnya, aku jumpa juga. Di tapak pembinaan. Di sebelah malam. Adik aku ikut sekali. Aku jerkah dia, tengking dia, maki dia.
Suruh dia nikahi adik aku. Tanggung dia jadi isteri. Jangan habis manis, sepah dibuang. Tapi, lelaki tu menyeringai saja. Dengan bongkak membentak kembali kami berdua. Enggan bertanggungjawab. Dia kata, adik aku yang bodoh dan gatal. Bagi duit, bagi hadiah, bagi henfon, sudah cair di kamar tidur. Dia pekik pada kami sundal.
Aku tak tunggu lama, aku capai bata tanah yang ada di sekeliling, aku campak di mukanya. Aku ambil lagi bata lain, aku hentak kepalanya sampai berdarah."
Shasha terkejut.
"Kau bunuh dia ke?"
Kawannya berkerut kening.
"Tak. Aku tak bunuh dia. Dia bangun melawan."
TAPPPP!
Lampu bilik mereka padam. Pandangan gelap seketika. Shasha mencari-cari henfonnya. Slide skrin fon untuk menumpang cahaya. Biaskan ke segenap bilik.
"Kau nak dengar cerita ni sampai habis ke?"
Shasha mengangguk dalam suram bilik. Lagipun, dia pasti tak dapat lelap dalam suasana tanpa kipas. Hangat.
"Teruskan...aku okay."
Shasha tak mahu buat kawannya terasa hati, nak biarkan cerita itu dihabiskan. Supaya segala emosi yang terpendam di dalam hati kawannya itu dapat diluahkan padanya. Sekurang-kurangnya, kurang sedikit beban di dalam. Dia juga rasa dihargai bila mana ada kawan yang sudi bercerita masalah dalaman famili. Maksudnya, dia bukan lagi kawan. Tetapi, sahabat. Sahabat baik. Dipercayai.
"Jantan keparat itu capai besi yang ada berdekatan. Dihayunkannya ke arah adik aku. Tak sempat adik aku mengelak. Berderailah darah berhamburan di lantai yang tidak siap. Rebah adik aku tidak sedarkan diri. Aku panik. Marah membara. Menerkam dengan batang besi yang aku capai juga, pukul lelaki itu bertubi-tubi.
Namun, kudrat aku tak seberapa. Tak mampu melawan kudrat seorang lelaki yang lebih berusia. Yang masih gagah. Umurnya juga baru 25 tahun. Bayangkanlah. Hayunan besi singgah tepat di kepalaku.
Terbelah separuh kepalaku.."
Shasha menggigil. Sejuk beku rasa dirinya.
"Terbelah..maksud kau..habis tu..kau..."
Perlahan-lahan Shasha menggerakkan fonnya yang bercahaya. Disuluhkan perlahan-lahan ke wajah kawannya.
Shasha terbeliak.
Muka kawannya berlumuran darah. Otak terburai dari kepala yang terbelah. Matanya jatuh sebelah.
"Ya, Shasha...inilah aku."
Bersambung.........