Part 2

1.9K 50 19
                                    

Shasha menjerit semahunya. Terloncat jauh dari katilnya. Henfon yang kemas berada dalam genggamannya tadi, terlucut. Jatuh di atas katil tempat mereka berdua bersembang.

Sedang dirinya, tersudut di bucu bilik. Dalam suasana gelap. Menanti cahaya di skrin fonnya yang bila-bila masa saja akan padam bila habis lima belas saatnya. Memang dia sengaja tetapkan begitu untuk menjimatkan bateri fon.

Degupan jantungnya berdebar dengan begitu kencang sekali.  Apatah lagi, posisinya sekarang jauh dengan pintu keluar. Shasha menggigil kuat. Nak bergerak, takut. Nak berlari, kaku. Terpuruk dirinya di bucu dinding. Berharap moga kawannya yang berubah bentuk dan wajah tadi, tidak bergerak maju ke arahnya.

Dia mengagak jam juga sudah sekitar 2.40 pagi kala itu. Suasana cukup sepi. Penghuni asrama sudah lena dibuai mimpi indah. Mungkin tidur mati tak sedar apa pun yang berlaku di sekeliling mereka semua. Tak sedar yang di dalam bilik bernombor 31 -- yang terletak di tingkat teratas blok, kedudukan yang paling jauh dengan tandas utama blok -- orang di dalamnya sedang mengalami peristiwa yang tak mampu diungkapkan gerunnya cuma dengan bingkisan kata-kata. 

Kaki Shasha terasa sejuk. Segera dia menangkap kedua-dua lututnya. Peluk erat kedua-dua batang kakinya.  Matanya tidak dipejamkan. Dia tak mahu pejam. Takut. Takut bila pejam nanti, buka-buka mata, kawannya tadi sudah berada di hadapan mata. Pasti lebih mengerikan. Shasha cuba membayangkan, dia sedang menonton cerita zombie di dalam The Walking Dead atau persis filem Train to Busan dengan kerangka watak-watak yang hodoh tidak cukup sifat. Sengaja dia cuba bayangkan. Cuba psiko dirinya sendiri untuk lebih tenang. Tapi, sikit pun tak mampu menenteramkan jiwanya. Degup jantungnya begitu padu saat itu. 

Dia cuba baca surah-surah yang teringat di memorinya. Tapi, kacau betul pemikiran ketika itu. Berbalah sendiri di dalam kotak fikiran; baca pun tak jadi apa, bukannya dia perawat Islam yang berhati putih mampu buka siri bercakap dengan jin. 

Dia ingat lagi dengan jelas, ada kawannya yang dirasuk. Lantas, kawan-kawan yang lain berkumpul bacakan Ya Sin dan ayat-ayat ruqyah yang lain, sedikit pun tidak memberi kesan. Malahan, jin yang menguasai diri kawannya gelakkan pula. Ia kata, seolah mendodoikan lagu. Buat ulit tidur dengan lebih lena. Untuk mengusir keluar dari tubuh, tidak sama sekali. Ini yang buat Shasha buntu akal. Yang dirasuk dengan wajah tidak bertukar pun susah nak keluar, apatah lagi yang bertukar fizikal depan-depan mata ni, pasti lebih sukar dari itu. 

Keyakinan.

Gadis itu mungkin tidak tahu. Hati yang tidak tuntas yakin pada ayat-ayat Tuhan, tidak benar-benar beriman dengan kalam-Nya, itu yang sebenarnya buat ianya tidak proaktif. Seolah-olah seseorang yang ada senapang di tangan, tapi tidak yakin pun dia dapat menembak dengan tepat. Mana mungkin kena pada sasarannya jika tidak fokus pada satu titik? Inilah yang tidak ada pada Shasha. Tidak yakin bahawa ayat Allah akan melindungi pengamalnya. Titik paling besar yang dia gagal lihat --- Allah Maha Berkuasa sedang makhluk tiada kuasa.

Telinganya menangkap bunyi gerakan di atas katil. Bunyi cadar yang bergeseran. Nak saja dia bertempik melaung panggil mak ayah masa tu. Melaung panggil warden dan kawan-kawan bilik sebelah datang. Dia nak menjerit, namun suaranya bagai lekat di kerongkongan sendiri. 

Cahaya di dalam biliknya padam. Pasti skrin fonnya sudah automatik tutup sendiri. Sudah masanya. Gelap gelita.

"Semua ini hanya ilusi."

"Semua ini hanya mimpi."

"Semua ini hanya imaginasi aku!"

Cuba menenangkan diri sendiri. Namun, ketenangan tidak kunjung tiba.

"Shasha.."

Terkejut.

Shasha tersentak sendiri di sudut bilik. Takut. Kawannya tadi memanggil namanya. Suaranya sedikit pun tidak berubah dengan suara kawannya masa cakap-cakap tadi.  Suara normal. Seratus peratus tidak berubah. Seperti tiada apa yang berlaku.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 12, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Sebelum Shasha Menjadi FiksyenWhere stories live. Discover now